Skip to main content

Menteri KPT Tinjau Kesiapsiagaan UMP Tangani Penularan Covid-19

Kuantan, 10 April- Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad berkunjung ke kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini bagi meninjau kesiapsiagaan UMP menangani ancaman penularan wabak penyakit Covid-19 yang melanda negara ketika ini. Turut sama menyertai kunjungan tersebut adalah Timbalan Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, YB Tuan Mohd Shahar Abdullah.

Ketibaan Dato’ Dr. Noraini disambut Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff diiringi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato Dr Yuserrie Zainuddin  dan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd Fitri  Zulkafli di UMP kampus Gambang.

Dalam pertemuan ini, Dato’ Dr. Noraini dan delegasi berpeluang mengadakan perbincangan dan mendengar taklimat situasi semasa universiti menangani penularan wabak Covid-19 serta laporan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di kampus. Beliau turut menyampaikan sumbangan topeng muka dan sumbangan pihak KPT berjumlah RM3,000 kepada UMP.

Menurut Prof. Ir. Dr Wan Azhar, pihak UMP mengalu-alukan kehadiran Dato’ Dr. Noraini ke universiti tatkala negara berdepan dengan situasi PKP ini. Pihaknya menyambut baik usaha pihak kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam membantu universiti terutamanya dalam menanggung sepenuhnya perbelanjaan penyediaan makanan pelajar di kampus.

“UMP sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kebajikan membabitkan seramai 1260 orang pelajar. Ini termasuklah pengurusan makanan, minuman, kemudahan kesihatan dan keperluan harian pelajar yang turut melibatkan para pelajar yang tinggal di luar kampus,” katanya.

Pihak UMP turut menghargai sumbangan  pihak luar  terutamanya dalam memastikan bekalan makanan, minuman dan keperluan harian mencukupi. 

Selain itu, kemudahan UMP Campus Pantry yang dikendalikan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) turut berjaya mengumpulkan keperluan asas dan makanan kering hasil sumbangan program Food Bank Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga pihak luar. Ini termasuklah sumbangan perseorangan untuk kegunaan pelajar UMP di kampus.

Pada kunjungan ini juga, Dato’ Dr. Noraini turut melawat Kolej Kediaman Pelajar dan berkesempatan melihat pengurusan pengagihan makanan untuk makan malam kepada pelajar yang dilaksanakan secara bersistematik dan mengikut prosedur keselamatan. Para pelajar perlu mengimbas kod yang disediakan bagi tujuan perekodan data, mencuci tangan dengan pensanitasi tangan yang disediakan dan berada pada jarak sosial yang ditetapkan.

Dalam pertemuan dengan pelajar, Dato’ Dr. Noraini meminta agar para pelajar bersabar dan kekal berada di kampus atas nasihat dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mengambil kira bahawa pergerakan pelajar secara beramai-ramai sekiranya pulang ke kampung akan membawa risiko penularan semula Covid-19 yang kini telah mula menunjukkan tanda-tanda pengurangan. 

Justeru, Kerajaan memutuskan agar pelajar terus kekal berada di lokasi masing-masing sehingga arahan terbaharu dikeluarkan dari masa ke semasa.

Beliau yakin para pelajar turut memahami bahawa Kerajaan sedang berhadapan dengan saat getir dalam menangani ancaman global ini. Kerajaan juga menghargai pengorbanan dan solidariti yang telah ditunjukkan para pelajar untuk bersama-sama memerangi wabak ini. Apa yang diperlukan pada ketika ini ialah sedikit kesabaran untuk terus bertahan berada di dalam kampus sehingga usaha memutuskan rantaian COVID-19 ini berjaya dilaksanakan.

Dalam pada itu, Dato’ Dr. Noraini turut memuji dan berterima kasih kepada semua petugas dan barisan hadapan UMP dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar yang berada di kampus terpelihara tanpa mengabaikan aspek keselamatan serta kesihatan sepanjang PKP ini dikuatkuasakan.

 

Disediakan oleh Mohd. Ferdaus Musa daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri