Pelajar UMPSA terokai budaya Korea, timba inspirasi daripada Duta Besar Republik Korea
KUALA LUMPUR, 16 Julai 2026 – Seramai 20 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berpeluang mendalami bahasa, budaya dan sistem pendidikan Republik Korea menerusi program Annyeong Korea: Explore K-Culture yang dianjurkan oleh Kelab Bahasa Korea UMPSA (K-Chingu), sekali gus memperkukuh aspirasi universiti melahirkan graduan berfikiran global dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Program yang berlangsung di Korean Education Center (KEC) dan Korea Plaza itu bukan sahaja membuka ruang kepada para peserta mengenali keunikan budaya Korea Selatan, malah memberi pendedahan secara langsung mengenai peluang melanjutkan pengajian, biasiswa serta prospek kerjaya di negara berkenaan.
Kemuncak program menyaksikan para peserta berpeluang bertemu dan berdialog bersama Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung-bae, yang berkongsi pandangan mengenai hubungan erat Malaysia dan Republik Korea dalam bidang pendidikan, kebudayaan serta pembangunan modal insan.
Menurut beliau, generasi muda memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan hubungan kedua-dua negara.
“Saya sangat gembira dapat meluangkan masa bersama pelajar UMPSA hari ini.
“Generasi muda inilah yang menjadi sandaran dan harapan masa depan negara,” ujarnya.
Sesi dialog itu turut memberi peluang kepada para pelajar mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan peluang pengajian di Korea Selatan, program pertukaran pelajar, pembelajaran bahasa Korea serta prospek kerjaya dalam persekitaran global.

Perkongsian tersebut bukan sahaja menambah pengetahuan peserta, malah menyuntik inspirasi untuk mereka meneroka lebih banyak peluang pendidikan dan pembangunan diri di peringkat antarabangsa.
Sepanjang berada di KEC, para peserta turut mengikuti taklimat mengenai sistem pendidikan Korea Selatan, peluang biasiswa dan pelbagai program akademik yang ditawarkan kepada pelajar antarabangsa sebelum mengakhiri sesi dengan kuiz interaktif yang menawarkan hadiah bertemakan budaya Korea.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan pembelajaran bahasa Korea di UMPSA, pihak KEC turut menyumbang bahan pengajaran bahasa Korea kepada universiti.
Lawatan diteruskan di Korea Plaza yang memperkenalkan peserta kepada keunikan budaya Korea, destinasi pelancongan popular serta perkembangan industri kreatif yang menjadi pemacu fenomena K-Wave (Hallyu) di peringkat global.
Suasana program semakin meriah apabila para pelajar berpeluang menyertai aktiviti melukis beg bermotifkan pusat pelancongan Pohang, mencuba pakaian tradisional Hanbok serta menyertai kuiz interaktif yang menawarkan pelbagai hadiah eksklusif termasuk album kumpulan K-pop terkenal seperti Seventeen dan BTS.
Bagi salah seorang peserta yang juga pelajar antarabangsa UMPSA, Gul E-Nayyab, pengalaman mengikuti program tersebut menjadi antara kenangan paling bermakna sepanjang bergelar mahasiswa di universiti itu.
“Kami telah meneroka dan mempelajari banyak perkara baharu, di samping mencipta memori indah yang akan sentiasa dikenang,” katanya.
Program Annyeong Korea: Explore K-Culture membuktikan komitmen UMPSA dalam menyediakan pengalaman pembelajaran holistik yang menggabungkan elemen pendidikan, budaya dan diplomasi antarabangsa.
Inisiatif seumpama ini bukan sahaja memperluas perspektif pelajar terhadap kepelbagaian budaya dunia, malah memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa universiti selaras dengan aspirasi UMPSA untuk melahirkan graduan yang memiliki kompetensi global, kefahaman rentas budaya serta mampu menyesuaikan diri dalam landskap dunia yang semakin dinamik.
Disediakan Oleh: Amir Haikal Imran dan Mahzaton Aqma Abu Talip, Pusat Bahasa Moden
- 52 views
Reports by: