Pemerkasaan pendidikan TVET agenda utama UMP
Pekan, 14 Jun- Sebagai sebuah universiti awam dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan terus memartabat dan memperkasa agenda transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2050. TVET juga mampu melahirkan tenaga kerja tempatan yang diperlukan industri dan negara bagi berdepan Revolusi Industri 4.0.
“Dengan menggunakan kepakaran yang dimiliki universiti, tahap kecekapan dan produktiviti industri dapat ditingkatkan dalam menyelesaikan masalah industri serta berdepan dengan cabaran teknikal, justeru UMP perlu berkolaborasi mantap dengan agensi berkaitan yang mampu menyumbang lebih banyak peluang pekerjaan juga berpotensi tinggi dalam melahirkan graduan yang kompeten,” kata Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad di Auditorium Perpustakaan UMP Pekan dalam program Coffee Talk With UMP Chairman.
Hadir sama Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, ahli Lembaga Pengarah UMP, Haji Ahmad Zakie Haji Ahmad Shariff, Dato' Mohd Zafir Ibrahim Nor, Shaiful Suliman dan Mohd Fuad Kamal Ariffin.
Menurut Dato’ Sri Ibrahim, dalam menjadikan sesebuah organisasi itu cemerlang perlu mempunyai warga yang mempunyai sikap seronok bekerja. Setiap tugasan atau tanggungjawab yang diberikan kepada warganya mestilah dipilih berdasarkan kebolehan dan bakat mereka. Beliau menasihatkan warga kerja UMP agar melaksanakan tugasan yang diberikan dengan penuh amanah, berintegriti dan bertanggungjawab.
Ujarnya, warga kerja atau staf merupakan aset yang berharga buat universiti. Dengan mewujudkan program kesarjanaan dapat memberi peluang warga kerja untuk menyambung pengajian, pembangunan bakat, peluang kenaikan pangkat juga peluang mengikuti latihan kepimpinan dalam dan luar negara. Turut dititik-beratkan adalah pencapaian, tatacara kerja dan governan selain beberapa perkara dalam pengurusan universiti antaranya iaitu pengurusan pelanggan, staf, pengurusan risiko, perolehan dan aset.
Bagi Pengurus Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat merangkap Presiden PPTI, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais amat teruja dengan perkongsian aspirasi Pengerusi Lembaga Pengarah UMP yang banyak berkongsi mengenai hala tuju UMP untuk menjadi lebih cemerlang pada masa akan datang. Beliau turut berterima kasih di atas keperihatinan pihak universiti bagi meningkatkan kredibiliti staf menerusi penganjuran latihan kepada semua staf.
Manakala Presiden Kesatuan Kakitangan Sokongan UMP (KESUMP), Abd. Latip Hj Deris memuji penganjuran program yang buat julung kalinya diadakan ini sebagai sebagai platform melibatkan pihak LPU dalam memainkan peranannya dan berkongsi pandangan ke arah menjadikan UMP terus cemerlang dan menjadi rujukan.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Kakitangan Akademik (PAKAD), Ahmad Johari Mohamad berkata, program libatsama pihak LPU dengan pengurusan dan warga kerja ini dapat memberi peluang untuk mendapatkan pencerahan dan berkongsi sudut pandang termasuklah berkenaan Nilai Teras UMP (Core Value) iaitu hubungan yang kuat dengan yang maha Pencipta, teguh mempertahankan prinsip yang disepakati, kreatif membuat keputusan yang bijaksana, cekal menghadapi cabaran dan pro aktif dalam tindakan sebagai amalan budaya kerja cemerlang.
Seramai 300 warga kerja dalam kalangan pengurusan universiti, ahli PPTI dan KESUMP hadir dalam program yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Prof. Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun.
Disediakan Nor Salwana Mohd Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat
- 393 views