Skip to main content

Pokok Peluru Meriam jadi tarikan delegasi UMK

PEKAN,10 Disember 2021 - Satu-satunya pokok Peluru Meriam (Cannon-ball) atau nama saintifiknya Couroupita Guianensis yang terdapat di Rimba Lestari Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjadi tumpuan delegasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ketika berkunjung menyaksikan inisiatif UMP dalam melestarikan kampus hijau baru-baru ini.

Spesies pokok unik yang berasal dari Amerika Selatan itu merupakan pokok asing yang terdapat di Malaysia memandangkan pokok ini hanya ditanam sebagai tanaman penyelidikan selain untuk tujuan kajian botanical.

Ia hanya terdapat di beberapa lokasi antaranya di Taman Tasik Taiping, Taman Botani Pulau Pinang, Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) dan Taman Pertanian Tenom Sabah.

Selain Peluru Meriam, di Rimba Lestari ini turut terdapat pokok Tongkat Ali, Meranti Tembaga, Cengal, Beruas, Ketapang, Jelutong, Simpoh Air, Meranti Rambai Daun dan Sungkai yang merupakan antara 27 jenis pokok rimba dan pokok kayu tropika.

Terdapat sebanyak 1,802 pokok ditanam hasil kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). 

Ini termasuklah UMP-FRIM (fasa 1) seluas enam ekar dan kawasan projek penghutanan semula UMP-FRIM (fasa 2) yang dinamakan sebagai Rimba Lestari seluas 5.6 ekar.    

Delegasi UMK yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Arham Abdulllah dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman itu hadir bersama penyelidik lain.

Delegasi turut melawat beberapa kawasan hijau UMP seperti dusun buah-buahan, tapak ladang sayur-sayuran dan Taman Arboretum Bioaromatik yang menempatkan tumbuhan beraroma dan herba untuk kegunaan ubat-ubatan atau pun masakan.

Ketibaan tetamu disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Profesor Dato’ Ts. Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP. 

Turut serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zamli, Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar, Hazmin Aris, Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) UMP, Dr. Mohamad Idris Ali dan Pengurus PPPH, Ernie Nurazlin Lizam.  

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, kunjungan ini merupakan lawatan balas ketika beliau berkunjung ke kampus UMK baru-baru ini bagi melihat sendiri perkembangan agroteknologi dan strategi pemindahan ilmu kepakaran dalam bidang keusahawanan serta sektor pertanian.

“Kujungan ini juga melihat potensi penternakan lebah kelulut di dalam kampus UMP dan perkongsian kepakaran dalam penanaman sayur-sayuran bagi memanfaatkan ruang yang terdapat di dalam universiti,” katanya.

Pada masa yang sama, pihak UMK turut menyumbang sebanyak enam anak pokok Halia Hitam dan Kunyit Hitam yang ditanam di Taman Arboretum sebagai simbolik termeterainya jalinan kerjasama erat antara kedua-dua universiti.

Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Arham juga mengucapkan terima kasih kepada pihak UMP dalam berkongsi kepakaran terutamanya dalam penarafan universiti.

Tambahnya, pihak UMK sentiasa memastikan strategi pemindahan ilmu kepakaran dan penyelidikan kepada masyarakat sekaligus dapat menjana ekonomi berasaskan asas tani. 

“Pada masa yang sama, matlamat UMK adalah untuk menerapkan kemahiran keusahawanan dan teknikal kepada warganya termasuk penduduk setempat untuk menceburi bidang keusahawanan dalam sektor pertanian,” ujarnya.

 Pihaknya turut berkongsi pembangunan komponen pertanian lain seperti tanaman sayur-sayuran dan sistem fertigasi, nurseri, jualan pokok dan tumbuhan hiasan, serta ternakan kambing, lembu, itik penelur dan burung puyuh.

Dalam pada itu, Profesor Dato’ Ts. Dr Yuserrie mengalu-alukan kunjungan delegasi dan semoga dengan kunjungan ini dapat bertukar-tukar pandangan dan input bagi merencanakan universiti sama ada dalam bidang penyelidikan mahupun kemajuan universiti.

Pada sesi lawatan itu juga turut diadakan sesi pembentangan mengenai Pembangunan Lestari ‘Sustainable Development Goals’ (SDGs) yang ingin dicapai menjelang tahun 2030 yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti, Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi dan pembentangan mengenai kampus hijau oleh  Dr. Mohamad Idris Ali.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris