Skip to main content

Sesi Libat Urus UMPSA, KPT, industri dan rakan kerjasama strategik perkukuhkan ekonomi negara

KUALA LUMPUR,  6 Mei 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini telah mengadakan Sesi Libat Urus bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), industri dan agensi rakan kerjasama strategik bagi mendapatkan sumbangsaran idea, pertukaran pengetahuan, mengetahui isu-isu semasa di industri/agensi serta penciptaan peluang kerjaya seterusnya memperkukuhkan hubungan antara akademia serta pemain industri/agensi. 

Program yang bertemakan ‘Empowering Industries: Innovating TVET for The Future’ itu berjaya mendapatkan pelbagai input penting daripada rakan industri dan agensi yang bakal dimanfaatkan untuk perkembangan signifkan di peringkat universiti bagi mencapai hala tuju universiti. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, pertemuan ini amat bermakna buat universiti apabila melibatkan pembuat dasar di peringkat kementerian, pemain industri serta rakan-rakan agensi.

LIBAT URUS

“Kerjasama antara pihak industri dan institusi TVET memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ekonomi negara serta memberikan peluang pekerjaan dan kemajuan kepada masyarakat. 

“Selain itu, kerjasama yang kukuh antara industri dan institusi TVET ini akan memastikan bahawa tenaga kerja negara dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk memenuhi tuntutan pasaran global yang sentiasa berubah. 

“Malahan melalui inovasi dalam kurikulum dan pengajaran, universiti dapat memastikan bahawa graduan TVET tidak hanya mempunyai kemahiran teknikal yang kukuh tetapi juga berkeupayaan untuk beradaptasi dengan cepat kepada perubahan-perubahan dalam industri,” ujarnya. 

Antara perkara yang diberi perhatian adalah berkisar kepada keperluan akademik dan kurikulum, keperluan latihan di peringkat industri, mengupaya bakat dan potensi graduan, penyelidikan, kolaborasi dan perundingan, ekosistem dan sokongan industri serta kerajaan termasuklah pemerkasaan sumber dana melalui sinergi kerjasama strategik dengan pihak-pihak berkaitan. 

Hadir sama dalam program, Presiden Lembaga Teknologis Malaysia, Profesor Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tanah Makmur Berhad, Dato’ Shahrul Nizam Abdul Aziz. 

Disediakan oleh: Rosidah Hasan, Pusat Pengurusan Strategik Dan Kualiti (PPSK)

Reports by:
AINIEY