UMP berada di landasan yang tepat hasil graduan kompeten
PEKAN, 3 Julai 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) berada di landasan yang tepat dalam menghasilkan graduan TVET yang mampu menyumbang terhadap pembangunan negara.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang hadir bersama delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam lawatan kerja ke kampus universiti di Pekan berkata, UMP telah mendahului dan mempunyai perancangan dalam meningkatkan peratusan pelajar yang mengikuti pengajian TVET.
Beliau menyarankan agar jumlah pelajar ini perlu ditingkatkan dengan pelbagai cara termasuklah membuka cawangan di Sabah dan Sarawak.
“Bagi memastikan graduannya mempunyai kebolehpasaran yang tinggi, UMP juga disaran melibat gandakan usaha dengan menjalinkan kerjasama dengan industry.
“Kewujudan UMP Bosch Rexroth Academy sebagai pusat latihan program persijilan IR4.0 bakal memberi manfaat pelajar mengikuti program persijilan dalam bidang Automasi Industri, Kawalan dan Pacuan dalam konteks Revolusi Industri 4.0 (IR4.0),” katanya.
Beliau berpuas hati dengan pencapaian universiti dan kadar kebolehpasaran graduan UMP adalah 98.67 peratus dengan graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh beberapa bulan selepas menamatkan pengajian masing-masing.
Tambah beliau, sebanyak 20 peratus graduan UMP mendapat gaji melebihi RM3,000 ke atas kerana hubungan baik dan rapat dengan pihak industri.
Turut mendapat perhatian inisiatif UMP dalam proses melaksanakan kampus lestari dan transformasi digital ke arah kampus pintar untuk kekal relevan dengan keperluan dan jangkaan semasa pihak berkepentingan.
Hadir menyambut delegasi, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr Yuserrie Zainuddin serta pengurusan universiti.
Dalam pada itu, Dato’ Seri Mohamed Khaled turut berpeluang melawat pameran penyelidikan dan projek pemindahan ilmu berimpak yang berlangsung di lobi Canseleri Tun Abdul Razak (CTAR).
Antara produk yang akan dipamerkan adalah Teknologi E-Nose, formulasi baharu iaitu produk cecair baja organik dengan prebiotik yang dinamakan Pre-Pecto yang telah diguna pakai oleh pihak Agrico bagi kegunaan di rumah hijau di Qatar.
Lain-lain produk Agronetics, Smart Agritech Solution, Sleekpump, Development of Biodegradable Grease for food Grade Application, dan Mushrooms Cultivation Using Pineapple Waste.
Selain itu, UMP juga mengadakan pameran Ekosistem Masyarakat Mesra OKU dan INKLUSIF (DAMAi) serta fasiliti pelajar berkeperluan.
Turut sama hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman, Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Hirman Awang@Semail dan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Dato' Mohd Sharil Abdullah.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 113 views