Skip to main content

UMP lancar Program Kembara UMP 21 dekati komuniti dalam dan luar negara

PEKAN, 7 Jun 2023 – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga Pengerusi Yayasan UMP melancarkan Kembara UMP 21 dalam memberi pendedahan dan memperkasakan pelajar di samping meningkatkan pembangunan sahsiah diri mereka dalam menyantuni budaya masyarakat dalam dan luar negara.
 
Majlis menyaksikan Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz menyerahkan Bendera UMP kepada Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP, Agha Khilfi Suarno sebagai simbolik pelancaran program. 

Hadir sama Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pendaftar, Saiful Bahri Ahmad Bakarim.
 
Pada masa yang sama, beliau turut menyampaikan plakad program kepada seramai 21 orang Pengarah Program Kembara UMP yang terdiri daripada pelajar UMP yang bakal memulakan misi bermula pada bulan Jun ini sehingga Disember 2023.
 
Beliau juga menzahirkan ucapan tahniah kepada para pelajar yang berani menyahut cabaran dalam menjayakan misi dengan objektif menimba pengalaman dan membentuk kepimpinan pelajar melalui program yang diadakan di dalam dan di luar negara itu nanti.

“Program ini dapat memberi pengalaman kepada pelajar untuk menyantuni komuniti dengan mewujudkan jaringan khidmat komuniti, menghulurkan sumbangan serta khidmat sukarelawan di peringkat global secara strategik dan terarah,” katanya.
 
Selain itu, dapat memupuk semangat sukarelawan yang perlu disemai kepada pelajar agar melahirkan pelajar yang prihatin dan bertanggungjawab. 

Dalam pada itu, program ini juga akan mendekati masyarakat dalam menyampaikan informasi pendidikan tinggi, peluang menyambung pengajian dan manfaat ke arah penjenamaan UMP.
 
Sempena Ulang Tahun UMP Ke-21 ini, sebanyak 21 Program Kembara UMP bakal dilaksanakan meliputi aktiviti kembara dan mobiliti dalam dan luar negara antaranya di Pahang, Johor, Sabah, Thailand dan Indonesia.

UMP lancar Program Kembara UMP 21 dekati komuniti dalam dan luar negara

Bagi pelajar UMP merangkap pengarah program mobiliti, Kavitha Sitaraman, 23 berasa gembira apabila dapat diberi peluang untuk mengadakan program mobiliti di Universitas Muslim Indonesia (UMI), Makassar Indonesia.
 
Ujarnya program yang bermula pada 18 hingga 24 Julai 2023 itu merupakan program tanggungjawab sosial korporat  (CSR) bersama penduduk setempat di Makassar termasuk menghayati keindahan dan budaya kehidupan masyarakat dari negara luar. 

Lain-lain program adalah ‘International Summer Course’ dalam tempoh enam hari melibatkan penglibatan pelbagai negara.
 
Selain itu, para peserta dapat mempelajari pelbagai kemahiran baharu dalam bidang mereka sebagai nilai tambah kepada ilmu pengetahuan yang diperoleh sepanjang program itu nanti.  

Malahan, para peserta dapat mengembangkan keterampilan antara budaya seperti kemampuan berkomunikasi dengan masyarakat dari budaya yang berbeza, memahami norma, nilai dan menjadi lebih terbuka terhadap kepelbagaian beragama dan adat.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris