Skip to main content

UMPSA pamer inovasi penyelidikan dan jalin kerjasama dengan industri sempena Festival of Ideas Putrajaya (FOI)

PUTRAJAYA, 29 November 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) turut serta dalam Festival of Ideas (FOI) Putrajaya yang julung kali dianjurkan baru-baru ini.

Festival Idea Putrajaya ini merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya yang berlangsung selama dua hari bermula pada 27 hingga 29 November 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC). 

Yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha turut serta dalam program yang dianjurkan ini. 

Menurut Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, program ini menjadi medan warga pendidik untuk berkongsi idea, pemikiran, penyelidikan dan inovasi baharu kepada masyarakat. 

“Pengajuran festival yang julung kali diadakan ini merupakan satu inisiatif penting oleh KPT dalam usaha merakyatkan idea dan pendidikan tinggi.

“Malah ia juga mampu mempromosikan Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di peringkat serantau serta global.

“Masyarakat berpeluang untuk melihat secara dekat inovasi dan produk penyelidikan terkini yang dihasilkan oleh para penyelidik terutamanya dari UMPSA sendiri,” ujarnya. 

Festival of Ideas Putrajaya

Katanya lagi, program Meet and Greet with International Students in Malaysia (MAGNET) juga merupakan satu program silang budaya yang amat menarik dengan penglibatan pelajar-pelajar antarabangsa dalam usaha memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan tentang budaya mereka. 

“Bagi festival ini, pelajar antarabangsa UMPSA turut terlibat dalam mempamerkan budaya masyarakat Yaman yang sangat menarik,” tambah beliau. 

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan, antaranya, Sidang Idea Malaysia (MYIDEAS) iaitu persidangan kebangsaan yang melibatkan saintis terkemuka, pemimpin dan tokoh industri sebagai inspirasi yang membincangkan mengenai isu semasa, cabaran masyarakat, industri dan cetusan idea penyelesaian melalui beberapa program seperti Titah Diraja, Forum, Bual Bicara, Sidang Selari, Putrajaya Talk dan Temu Anwar. 

MYIDEAS CONNECT pula menghimpunkan 65 produk inovasi dan teknologi baharu melibatkan institusi pendidikan tinggi awam/swasta (IPTA/IPTS) turut dipamerkan dengan pendekatan 3R Iaitu Sedia Untuk Kerjasama (Ready to Collaborate) Sedia Untuk Dikomersialkan (Ready to Commercial) dan Sedia Untuk Komuniti (Ready to Community). 

UMPSA juga turut serta dalam pameran produk inovasi hasil daripada penyelidik universiti iaitu ‘E-ANFUN’ oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Sharfi Najib dan ‘CRAWLER’ oleh Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Wan Sharuzi Wan Harun.

Selain itu, UMPSA turut memperkukuhkan hubungan kerjasama dengan rakan industri menerusi permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UMPSA dengan Altair dan Liuzhou Railway Vocational & Technical College (LRVTC) China. 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman mewakili Profesor Ts. Dr Aida Mustapha, yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMPSA bersama Pengurus Jurutera Altair (ASEAN), Encik Eng Ban Wee dan Pengarah Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama LVRTC, Lei Shengyong bertukar dokumen dalam Majlis Pertukaran MoU yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. 

Festival of Ideas Putrajaya

Memorandum Persefahaman ini menetapkan asas kerjasama strategik antara Pusat Kecerdasan Buatan dan Sains Data (CAlDaS) dan Altair Engineering Sdn. Bhd. dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, kecerdasan buatan (AI), analisis data, automasi, inovasi produk, pemindahan teknologi, serta latihan dan pembangunan kemahiran. 

UMPSA juga telah menandatangani MoU di bawah agenda Malaysia-China Modern Craftmanship Railway program pada awal tahun 2024. 

Kerjasama ini juga selaras dengan aspirasi UMPSA dalam mempromosikan TVET dan membangunkan pelajar yang bersedia menghadapi cabaran industri.

Turut berlangsung juga pelbagai program yang memanfaatkan pengunjung seperti khidmat madani iaitu perkhidmatan kepada rakyat oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Biasiswa.

Manakala Karnival Kerjaya Madani pula menawarkan 2,000 peluang kerjaya melibatkan lebih 100 syarikat dan program berbentuk silang budaya yang menghubungkan pelajar tempatan dan antarabangsa iaitu program MAGNET (Meet and Greet with International Students in Malaysia).

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad