Skip to main content

UMPSA sertai perbarisan Hari Kebangsaan Ke-67 di Kuantan dan Pekan

KUANTAN, 31 Ogos 20204 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menghantar dua kontinjen perbarisan sambutan di Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pahang di Kuantan dan Pekan. 

Kontinjen ini disertai seramai 60 orang staf yang diketuai oleh Hairulazam Haron di Kuantan dan Ts. Haji Azahar Mohd Yasin di Pekan. 

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandari Al-Haj serta Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pahang di Padang MBK 1. 

Turut hadir Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. 

UMPSA sertai perbarisan Hari Kebangsaan Ke-67 di Kuantan dan Pekan

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’, sambutan tahun ini juga menyaksikan pembabitan seramai 28 mahasiswa UMPSA dari Kumpulan Koir turut diberi peluang untuk membuat persembahan bagi memeriahkan sambutan tersebut. 

Semangat menyambut kemerdekaan rakyat Pahang juga jelas terpancar kemeriahannya apabila hampir 65,000 pengunjung yang datang untuk bersama-sama melihat perarakan dan perbarisan di Padang MBK 1.

UMPSA sertai perbarisan Hari Kebangsaan Ke-67 di Kuantan dan Pekan

Manakala di bandar Pekan, lebih 5,000 warga Pekan membanjiri Dataran Majlis Perbandaran Pekan seawal jam 6.30 pagi dengan berbusana patriotisme berlatarbelakangkan warna-warna Jalur Gemilang. 

Acara yang disambut dengan penuh gilang-gemilang itu telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkifli.

Hadir sama mewakili UMPSA, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha. 
Barisan kontinjen UMPSA menampilkan maskot Gajah dan Harimau serta Jubah Konvokesyennya. 

UMPSA sertai perbarisan Hari Kebangsaan Ke-67 di Kuantan dan Pekan

Sebanyak 38 kontinjen berjalan kaki dari agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) telah mengambil bahagian pada kali ini dan sebanyak 15 penyertaan perbarisan berkenderaan mengambil bahagian dengan pelbagai gaya hiasan. 

UMPSA merupakan sebuah universiti awam (UA) ke-16 yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menawarkan program pendidikan tinggi berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi serta penyedia program TVET negara. 

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin mengucapkan terima kasih kepada kontinjen UMPSA yang sama-sama memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Pahang. 

“Dengan penyertaan ini, ia secara tidak langsung dapat menyemarakkan semangat patriotisme antara satu sama lain,” katanya.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad dan Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Naqiah Puaad