UMPSA terima kunjungan Presiden Lembaga Teknologis Malaysia
GAMBANG, 27 Oktober 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terima kunjungan delegasi dari Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, FASc.,
Delegasi disambut oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia & Proses, Prof. Madya Dr. Sumaiya Zainab, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Madya Dr. Hamdan Daniyal dan Pengarah, Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik, Dr. Noram Irwan Ramli.
Turut sama hadir Pendaftar MBOT, Dr. Md Fauzi Md Ismail, Pengarah Sekretariat Akreditasi Teknologi dan Teknikal, Dr. Nor Aznan Mohd Nor dan Penolong Pengarah TTAS, Nur Sakinah Ishak.
MBOT merupakan badan profesional yang ditubuhkan di bawah Akta 768 yang berperanan untuk mengiktiraf Teknologis dan Juruteknik sebagai profesional.
Menurut Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah, pihaknya berperanan dalam meningkatkan kumpulan tenaga kerja mahir yang diperlukan bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dan untuk melindungi keselamatan serta kesihatan awam.
“MBOT sangat berterima kasih atas komitmen UMPSA dan rakan universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) sejak awal penubuhan MBOT.
“Di MBOT, kami bertindak sebagai Sekretariat.
“Oleh itu, kami secara aktif menjalin perkongsian strategik dengan pihak berkepentingan dan pemain industri yang berkaitan dari dalam dan luar negara yang akan bertindak sebagai penasihat untuk menyelia Bidang Teknologi dan Teknikal masing-masing yang diiktiraf oleh MBOT,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, UMPSA sebagai salah satu universiti dalam MTUN) menawarkan program-program Sarjana Muda Teknologi (BTEC) yang direka bentuk bagi menyediakan laluan pengajian tinggi kepada lepasan institusi TVET seperti Kolej Vokasional dan Institut Latihan Kemahiran.
“Sehingga kini, UMPSA mempunyai 23 program berdaftar dengan MBOT dengan seramai 3,754 pelajar sedang mengikuti program di peringkat ijazah sarjana muda dan diploma,” katanya.
Turut dibincangkan pendaftaran berkelompok sebagai Teknologis Berijazah dan Juruteknik Berkelayakan bagi graduan daripada program yang diakreditasi MBOT dan akreditasi program yang berkaitan teknologi dan teknikal bagi program-program yang masih belum diakreditasi oleh TTAC MBOT.
Lain-lain, penglibatan industri bagi Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work Based Learning) yang merupakan pendekatan pembelajaran yang mengabungjalinkan pembelajaran di universiti dengan pembelajaran di industri dan bagi mewujudkan pengalaman bersepadu (teori dan praktikal) kepada pelajar.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 42 views