UMPSA memperkukuh kecekapan staf melalui program sangkutan di MING CHI University of Technology, Taiwan
PEKAN, 22 September 2025 – Dua staf pentadbiran melalui kumpulan pertama peserta mobilti staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) iaitu Pegawai Sains Kanan, Pusat Pengurusan Penyelidikan, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Idayu Mat Ali, dan Penolong Pegawai Sains, Makmal Berpusat, Fazlina Ibarhim telah menyertai Program Sangkutan Kerja bagi Peningkatan Kompetensi (Luar Negara) di Ming Chi University of Technology (MCUT), Taiwan bermula 22 hingga 26 September 2025.
Inisiatif mobiliti staf ini dilaksanakan selaras dengan Agenda Transformasi 1: Memperkukuh dan Memajukan Potensi Individu sebagaimana yang digariskan dalam Amanat Naib Canselor UMPSA 2025 yang memberi penekanan terhadap pembangunan bakat, pemerkasaan ilmu dan kemahiran, serta pengukuhan agenda pengantarabangsaan universiti.
Menurut Idayu, melalui pelaksanaan program ini, staf bukan akademik diberi peluang mengikuti penempatan jangka pendek di institusi luar negara bagi memperkukuh pengetahuan, kemahiran dan amalan terbaik dalam bidang masing-masing.
“Usaha ini dilihat sebagai langkah proaktif UMPSA dalam memperkasa kecekapan, profesionalisme dan daya saing global dalam kalangan warga kerja universiti.
“Sepanjang tempoh program, kami telah menyertai sesi taklimat, perbincangan dan perkongsian ilmu bersama beberapa pusat tanggungjawab antaranya Pejabat Penyelidikan dan Pembangunan, Pusat Kolaborasi Industri-Universiti, Pusat Inovasi dan Inkubasi dan Pejabat Perlindungan Alam Sekitar, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
“Fokus utama perbincangan ialah sistem sokongan penyelidikan dan pembangunan kapasiti penyelidik, model kolaborasi strategik universiti-industri, strategi pengkomersialan hasil penyelidikan, serta amalan terbaik dalam keselamatan dan kelestarian kampus,” katanya.
Tambahnya, perbincangan bersama Pejabat Penyelidikan dan Pembangunan memberi pendedahan mengenai pengurusan penyelidikan dan strategi pembangunan produk di MCUT.
“Dalam usaha menggalakkan penghasilan penyelidikan berkualiti tinggi, MCUT menawarkan pelbagai insentif penyelidikan dan sokongan dana strategik yang komprehensif antaranya Capstone Academic Research Advancement Grant, Academic Journal Paper Incentive, Invention Patent Incentive dan Industry-Academia Cooperation Project.
“Menariknya, bagi penyelidik yang berjaya memperoleh dana daripada National Science and Technology Council (NSTC) Taiwan, MCUT menawarkan geran padanan berdasarkan jumlah geran yang diterima.
“MCUT melaksanakan pendekatan berfasa dalam pembangunan produk penyelidikan bermula dengan penubuhan Research Centre, kemudian diperluas kepada Joint Research Centre, sebelum beralih ke Pilot Plant,” katanya.
Beliau turut menambah, fasa-fasa ini menjadi jambatan penting sebelum hasil penyelidikan dikomersialkan ke pasaran sebenar.
“Pendekatan berstruktur ini disokong oleh dua program utama peringkat nasional iaitu Program FITI (From IP to IPO) dan Taiwan Germination Program yang dirangka bagi menyokong penyelidik dalam memperkukuh laluan transformasi hasil penyelidikan daripada Intellectual Property (IP) kepada Initial Public Offering (IPO).
“Program ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan pengurusan harta intelek, malah memupuk budaya keusahawanan teknologi yang lestari dalam kalangan warga universiti,” katanya.
Selain itu, beliau menambah, sesi bersama Pusat Inovasi dan Inkubasi memperlihatkan model pembangunan inovasi MCUT melalui pelaksanaan Spiral Innovation Incubation Counselling Model.
“Model ini menggabungkan sumber dalaman dan luaran universiti, termasuk kepakaran akademik, sokongan industri, dan fasiliti penyelidikan bagi membentuk ekosistem inovasi yang mampan.
“Melalui gabungan sumber tersebut, syarikat pemula (start-up) dan usahawan universiti dibimbing untuk menguasai teknologi teras, meneroka pasaran baharu, serta membina strategi komersial berasaskan penyelidikan.
“Pendekatan ini bersifat dinamik, memastikan proses inovasi sentiasa berkembang mengikut keperluan pasaran semasa serta perubahan teknologi global,” katanya.
Menurutnya lagi, MCUT turut memperkenalkan sistem pengukuran prestasi penyelidikan melalui Research Performance Evaluation Point Table.
“Penilaian ini diwujudkan sebagai kerangka untuk mengiktiraf pencapaian penyelidik berdasarkan beberapa dimensi utama iaitu penerbitan artikel jurnal berimpak tinggi, penerbitan buku penyelidikan, penyertaan dan kemenangan dalam pertandingan inovasi, pendaftaran paten, serta kejayaan memperoleh dana penyelidikan.
“Penilaian ini bukan sahaja meningkatkan akauntabiliti penyelidik, tetapi juga menjadi indikator prestasi institusi dalam menilai kemajuan penyelidikan dan inovasi.

“Manakala di dalam sesi bersama Pejabat Hubungan Antarabangsa pula, MCUT amat mengalu-alukan penyertaan penyelidik dan pelajar UMPSA untuk menyertai program Research Internship Program, Taiwan Experience Education Program dan International Internship Pilot Program,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi bahawa program-program ini merupakan program berstruktur MCUT yang menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama penyelidikan dan mobiliti antarabangsa antara MCUT dan institusi luar.
“Selain sesi perkongsian ilmu, kami turut berpeluang melawat fasiliti makmal penyelidikan dan pengajaran di beberapa fakulti serta pusat kecemerlangan penyelidikan MCUT yang dilengkapi peralatan dan fasiliti berteknologi tinggi.
“Antara pusat kecemerlangan penyelidikan yang dilawati ialah Battery Research Center of Green Energy yang memberi tumpuan kepada penyelidikan sistem tenaga boleh diperbaharui, teknologi bateri generasi baharu, inovasi penyimpanan tenaga, serta penyelesaian tenaga lestari.
“Research Center for Intelligent Medical Devices pula menumpukan kepada pembangunan peranti perubatan pintar berasaskan teknologi bioperubatan, elektronik, kecerdasan buatan dan teknologi sensor,” katanya.
Beliau menambah, antara produk inovatif yang telah berjaya dikomersialkan ialah Portable Steam Thermo Vest/Coat, peranti terapi haba mudah alih yang digunakan bagi tujuan kesihatan dan pemulihan fizikal.
“Secara keseluruhannya, kami berpandangan bahawa program ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkukuh agenda pembangunan modal insan yang kompeten dan berdaya saing di peringkat global.
“Melalui inisiatif sangkutan kerja ini, mereka diberi peluang menimba pengalaman antarabangsa yang bermakna, mendalami budaya kerja serta sistem pengurusan universiti luar negara dan memperluas jaringan profesional serta akademik.
“Pengalaman di MCUT bukan sahaja memperkayakan pengetahuan dan kemahiran, malah membuka ruang kepada penerapan amalan terbaik, nilai inovasi, disiplin dan profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab di UMPSA,” ujarnya.
Program ini turut menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kerja, produktiviti dan budaya kecemerlangan, sejajar dengan aspirasi UMPSA untuk melahirkan tenaga kerja berfikiran global, berintegriti tinggi dan berupaya menyumbang secara signifikan kepada kecemerlangan universiti pada peringkat antarabangsa.
Disediakan Oleh: Idayu Mat Ali, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi
- 60 views
Reports by: