Peranan Penyelidik UMPSA Memacu Kejayaan Usahawan Penternakan Itik Penelur di Pekan
Pekan,15 Januari 2025 – Hasil bimbingan Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Dr. Abdul Syukor Abd. Razak menjadi antara faktor kejayaan Ladang Itik Penelur Siti Makmur yang diasaskan oleh Syed Azidi Syed Abdul Aziz sehingga beliau berjaya mendapat Anugerah Peladang Jaya Pahang 2025 di Temerloh.
Menurut Profesor Madya Dr. Abdul Syukor, Syed Azidi adalah menti beliau sejak tahun 2020 iaitu ketika beliau membeli 100 ekor itik serati.
“Sesuai dengan slogan UMPSA, memasyarakatkan teknologi, pada ketika itu, proses knowledge transfer dan pembinaan teknologi kepada komuniti setempat di Pekan telah dimulakan.
“Saya melihat potensi beliau untuk berkembang jauh ke hadapan.
“Hari ini kita melihat hasilnya, dengan beliau dinobatkan sebagai Peladang Jaya Pahang 2025,” katanya.
Tambahnya, UMPSA sentiasa memastikan pemindahan teknologi dan pengetahuan tentang keusahawanan dapat dikongsi bersama masyarakat, khususnya di negeri Pahang.
“Pelajar dari Jerantut, Jengka, Bera dan Pekan dibawa untuk melihat keseluruhan proses penternakan, daripada permulaan hingga pengkomersialan hasil ternakan yang diselia universiti.
“Ini membolehkan ladang menerapkan teknik penternakan moden, memantau pengeluaran secara berstruktur, dan membangunkan kapasiti teknologi ladang.
“Kejayaan Siti Makmur Farm membuktikan bahawa dengan bimbingan akademik, penerapan teknologi moden dan pendekatan hands-on, komuniti tempatan mampu berkembang secara komersial dalam sektor pertanian.
Syed Azidi turut menceritakan pengalamannya dalam membangunkan Ladang Itik Penelur Siti Makmur Farm yang bermula dengan 700 ekor itik pada 2017 dan meningkat kepada 1,200 ekor pada 2018.
“Menjelang 2024, jumlah itik di ladang meningkat kepada 2,100 ekor dan kini ladang mempunyai kapasiti maksimum 2,400 ekor.
“Ladang ini mampu menghasilkan 52 karton telur sehari bersamaan 1,580 biji dengan permintaan pasaran tempatan kadang-kadang mencecah 60 hingga 70 karton telur sehari, menunjukkan potensi pertumbuhan ekonomi yang tinggi dalam industri unggas tempatan.

“Cabaran awal penternakan termasuk kekurangan pasaran kerana Siti Makmur Farm merupakan pengusaha pertama di Pekan yang menumpukan kepada penternakan telur itik secara komersial,” ujarnya.
Beliau menambah, pembangunan jaringan pasaran tempatan di Kuantan dan Pekan adalah kunci kejayaan Ladang Itik Penelur Siti Makmur.
“Jika diteliti selama sebulan, kita menghadapi kekurangan sekitar 120 hingga 150 karton telur, menunjukkan potensi pendapatan stabil dari penternakan ini.
“Dalam menghadapi kekurangan bekalan, ladang turut bekerjasama dengan komuniti penternak setempat bagi memastikan permintaan pasaran dapat dipenuhi.
“Dari segi kos dan pendapatan, operasi ladang menunjukkan keberkesanan yang tinggi iaitu pengeluaran 1,200 biji telur sehari menggunakan empat beg dedak (kos RM130/beg, jumlah RM520) menghasilkan pendapatan RM1,200 sehari, dengan lebihan bersih RM700,” ujarnya.
Katanya lagi, penting untuk mengurus dedak dan ternakan dengan teliti kerana kesilapan kecil boleh menjejaskan modal keseluruhan.
“Selain pengeluaran, aspek pemasaran turut menjadi cabaran utama.
“Memulakan penternakan adalah mudah, tetapi memasarkan hasil memerlukan keberanian.
“Penternak perlu membina jaringan dengan komuniti untuk memastikan pasaran sentiasa ada dan pelajar yang ingin menceburi bidang ini harus belajar menjual telur dahulu sebelum menguasai SOP dan teknik penternakan yang lebih kompleks,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi bahawa ladang itu turut berperanan sebagai inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang pertanian dan keusahawanan.

“Jika bermula sebagai hobi, 200 ekor itik mencukupi.
“Namun, untuk menjana pendapatan rumah, lebih daripada 500 ekor diperlukan kerana jumlah ini boleh menghasilkan pendapatan sekitar RM10,000 hingga RM12,000 sebulan,” katanya.
Kejayaan penternakan bukan hanya bergantung kepada jumlah ternakan atau pengeluaran telur, tetapi juga pada pengurusan, pemasaran, pembelajaran berterusan, dan sokongan institusi akademik seperti UMPSA yang menunjukkan bahawa integrasi strategik antara industri dan universiti boleh menjadi faktor utama dalam pembangunan pertanian moden dan keusahawanan di Malaysia.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 58 views