Pelajar Indonesia UMPSA rasai kehidupan keluarga angkat di bumi Pahang
PEKAN, 10 Mac 2024 – Pusat Hubungan Antarabangsa (PUHA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menghantar empat orang pelajar prasiswazah dan pascasiswazah Indonesia untuk menyertai Program Kembara Prihatin 2.0@Pekan.
Program dengan kerjasama Yayasan UMPSA itu bertujuan untuk memberi pengalaman kepada pelajar bagi merasai kehidupan keluarga angkat di Bumi Pahang melalui pelbagai aktiviti.
Program selama tiga hari itu telah berlangsung dari 8 hingga 10 Mac 2024 bertempat di Masjid At-Taqwa, Peramu, Pekan.
Ia merupakan kesinambungan daripada program yang diadakan pada tahun sebelumnya, dengan penekanan pada pelajar yang berasal dari Sabah, Sarawak, dan juga ditambah baik yang melibatkan mahasiswa antarabangsa dari Indonesia.
Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan adalah ceramah agama, aktiviti bersama keluarga angkat, memasak barbeku dan sukan tradisional seperti tangkap itik, tarik tali, sukaneka, dan mencari harta karun.
Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam kehidupan komuniti tempatan di sekitar Peramu Jaya, Pekan, serta menjalin hubungan dengan keluarga angkat mereka.
Menurut Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa, Profesor Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari, program ini bertujuan untuk memberikan pengalaman dan pemahaman yang lebih mendalam tentang budaya dan kehidupan masyarakat tempatan kepada pelajar tersebut.
“Saya berharap agar program ini dapat terus dijalankan sebagai platform bagi pertukaran budaya dan pengukuhan hubungan antara pelajar dari pelbagai latar belakang khususnya pelajar antarabangsa,” ujarnya.
Pelajar-pelajar yang menyertai program ini memberikan maklum balas yang positif dan menyatakan bahawa mereka mendapat pengalaman yang berharga dan bersyukur atas sambutan mesra yang diterima dari keluarga angkat mereka.
Mereka berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan untuk memberi lebih banyak peluang kepada pelajar untuk memahami dan menghargai kepelbagaian budaya di Malaysia.
Menurut pelajar Nuraini Lusi, pengalaman yang diperoleh melalui program ini adalah satu pengalaman yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Melalui interaksi dengan keluarga angkat, saya dapat melihat kehidupan masyarakat tempatan dari sudut yang berbeza.
“Saya juga belajar banyak tentang adat dan budaya mereka yang berbeza daripada budaya saya di Indonesia.
“Ini adalah pengalaman yang amat berharga bagi saya,” katanya dengan penuh semangat.
Program Kembara Prihatin 2.0@Pekan dijangka akan terus diadakan pada masa akan datang sebagai usaha untuk terus memperkukuhkan hubungan antara pelajar universiti dan masyarakat tempatan, serta meningkatkan pemahaman antarabangsa dalam kalangan generasi muda.
Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Hubungan Antarabangsa
- 98 views