UMP jalin kerjasama dengan industri perkukuh pembelajaran WBL, penempatan kerjaya
KUANTAN, 15 Februari 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalinkan kerjasama strategik dengan industri bagi memantapkan jaringan dalam pelbagai bidang terutamanya akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan sumber manusia yang bakal dimanfaatkan kedua-dua pihak universiti dan industri.
Kerjasama yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) itu menyaksikan tujuh industri terlibat iaitu MMC Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd., Techniker Expert Sdn. Bhd., Move Robotic Sdn. Bhd., Noble Country Sdn. Bhd., Hoi Keen Service Sdn. Bhd., Seeloz (M) Sdn. Bhd. and Aspen Technology.
Menurut Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, kolaborasi ini melibatkan pembelajaran berasaskan kerja atau dikenali sebagai Work Based Learning (WBL) yang merupakan pendekatan pembelajaran yang mengabungjalinkan pembelajaran di universiti dengan pembelajaran di industri bagi mewujudkan pengalaman bersepadu (teori dan praktikal) dalam melahirkan pelajar yang kompeten.
“Program WBL ini merupakan satu inisiatif penempatan pelajar di industri secara berstruktur, yang memberikan tumpuan kepada kurikulum, matlamat pembelajaran, kaedah pengajaran dan pembelajaran, penilaian serta kaedah perlaksanaan.
“Pendekatan WBL turut memainkan peranan penting dalam pembangunan pembelajaran sepanjang hayat menerusi pengalaman sebenar di industri.
“Kerjasama dengan industri ini bakal meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar seiring dengan keperluan industri,” katanya dalam Majlis Pertukaran MoU antara UMP dan Industri yang berlangsung di Perpustakaan UMP Pekan.
Malahan katanya, kerjasama ini turut meneroka kerjasama dalam perkongsian kepakaran, penempatan latihan industri, kursus jangka pendek dan lain-lain.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Asia Pacific & Japan, Aspen Technology (Aspen Tech Inc), Lawrence Ng berkata, sebagai persediaan mendepani era digitalisasi dan industri berintensif modal, cabaran serta kekurangan kemahiran itu perlu ditangani dengan baik.
“Dengan kemampanan inovasi dan penggunaan perisian dapat merapatkan jurang antara Jurutera Kimia dan Saintis Data dengan tumpuan terhadap IT dan OT,” ujarnya.
Manakala Pengarah Eksekutif Seeloz (M) Sdn. Bhd., Mohd Emran Ibrahim berkata, sebagai penyedia rantaian automasi antarabangsa yang berpengalaman lebih 20 tahun, pihaknya mempunyai hubungan kerjasama di peringkat antarabangsa seperti Microsoft, SAP dan Oracle dalam mencapai misi mentransformasi rantaian bekalan untuk kerajaan, MNC dan lain-lain.
“Kerjasama ini turut memberi peluang kerjasama dalam latihan, pendidikan, pembangunan penyelidikan dan Pusat Kecemerlangan AI (CoE),” ujar beliau.
Selain itu, Ketua Pegawai Operasi, MMC Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd., Yoshio Kobayashi yang hadir bertukar dokumen MoU mengharapkan pelajar dapat menimba pengetahuan, meningkatkan kompetensi dan kemahiran berkomunikasi dalam program penempatan latihan industri apabila berhubung dengan dunia profesional di alam pekerjaan.
Turut hadir bertukar dokumen MoU adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Techniker Expert Sdn. Bhd., Muhammad Eezam Masripan, Ketua Pegawai Eksekutif, Move Robotic Sdn. Bhd., Mohd Hazeli Rasul, Pengarah Eksekutif, Seeloz (M) Sdn. Bhd., Mohd Emran Ibrahim, Pengarah Urusan, Noble Country Sdn. Bhd., Azri Nurudin Amadaldin, Pengarah Hoi Keen Service Sdn. Bhd., Leong Xiu Xing dan Perunding Teknikal Kanan, Aspen Technology Inc, Kent Ooi.
Majlis anjuran Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat itu turut dihadiri Penolong Naib Canselor Jabatan Pembangunan Graduan, Profesor Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Dr. Mahadzir Ishak, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Dr. Hamdan Daniyal dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 591 views