Skip to main content

25 graduan Program Ijazah Dual UMPSA-BJTU bersedia penuhi pasaran Industri Rel Negara

BEIJING, 9 Januari 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mencipta sejarah apabila seramai 25 graduan daripada kohort kedua Program Ijazah Dual antara UMPSA dan Beijing Jiaotong University (BJTU) berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan yang menyokong agenda pembangunan industri rel negara.

Mereka terdiri daripada tujuh orang jurusan Kejuruteraan Awam, sepuluh orang jurusan Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) dan lapan orang jurusan berkaitan Kejuruteraan Mekanikal setelah mengikuti pengajian selama dua tahun di UMPSA sebelum menyambung pengajian selama dua setengah tahun di BJTU, China.

BJTU

Majlis menyaksikan Presiden Beijing Jiaotong University (BJTU), Profesor Dr. Yu Zujun menyampaikan ijazah kepada para graduan disaksikan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Timbalan Pengarah, Kluster Pembangunan Strategik Pelajar, Bahagian Pembangunan Modal Insan (BPMI), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Idayuwati Abdullah@Ab Rahman.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, bidang Kejuruteraan Rel dikenal pasti sebagai sektor strategik negara, khususnya dalam menyokong mobiliti mampan.

“Program yang diiktiraf di kedua-dua negara ini direka khusus bagi memenuhi keperluan industri terhadap jurutera berkemahiran tinggi dalam teknologi moden, sistem keselamatan, pendigitalan serta piawaian antarabangsa.

“Melalui pengalaman pembelajaran di UMPSA dan BJTU, graduan didedahkan kepada amalan terbaik antarabangsa, teknologi rel termaju dan persekitaran pembelajaran pelbagai budaya, sekali gus bersedia menyumbang dalam reka bentuk, operasi, penyelenggaraan serta inovasi mobiliti pintar.

“Program kerjasama ini bukan sahaja memberi pendedahan global kepada pelajar, tetapi turut mengangkat nama UMPSA sebagai universiti teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi berdaya saing di pentas dunia,” ujarnya. 

Dalam pada itu, susulan kejayaan kerjasama ini, pihaknya turut berbincang dengan Profesor Dr. Yu untuk meneruskan kerjasama ke program dual ijazah tinggi (Sarjana dan Doktor Falsafah) dalam bidang logistik, pengurusan, teknologi maklumat (IT) dan Kecerdasan Buatan (AI).

Jelasnya, kerjasama ini akan turut disokong dengan geran padanan oleh kedua-dua institusi bagi calon dual secara penyelidikan.

“Selain itu, kejayaan program ini turut dibuktikan melalui pencapaian kebolehpasaran graduan yang memberangsangkan apabila kohort pertama seramai 45 orang mencatat kadar kebolehpasaran 100 peratus dan bekerja dalam bidang kejuruteraan terutamanya berkaitan industri rel.

“Pihak kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak BJTU dan rakan penaja JPA atas sokongan berterusan dalam pembangunan modal insan negara. 

“Penghargaan ini turut dizahirkan kepada ibu bapa dan keluarga graduan atas pengorbanan dan sokongan berterusan,” katanya. 

Program ijazah dual UMPSA turut mendapat sokongan dan tajaan daripada pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Terengganu dan lain-lain.

Turut sama hadir Naib Presiden BJTU, Profesor Dr. Gao Liang, Atase Pendidikan, Pejabat Education Malaysia (EM) Beijing, China, Syarifah Nurolazan Shaikh Ahmad, Kaunselor (Pendidikan), JPA di Korea Selatan, Shahril Nizam Idris, Pengarah Confucius Institute UMPSA, Profesor Madya Dr. Lee Khai Loon dan Pengarah Pusat Peperiksaan dan Pengijazahan UMPSA, Nor Sabrina Ismail.

Program Ijazah Dual UMPSA-BJTU merupakan inisiatif strategik yang memberi pendedahan bukan sahaja kepada pembelajaran akademik tetapi juga pengalaman industri secara langsung di China dan Malaysia.

Graduan ini akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan sektor rel negara, terutamanya projek berskala besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek rel lain yang dirancang pada masa hadapan.

Sehingga kini, UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam yang telah melaksanakan 12 program Ijazah Dual dengan kerjasama rakan strategik, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Technishe Hochschule Mannheim (THM) Jerman, BJTU dan Tianjin University, China; Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan dan Hanyang University Erica Campus Korea Selatan.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Haji Abd Wahit Dan Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri