Language & Cultural Carnival (LCC) perkukuh Agenda Pengantarabangsaan dan Mobiliti UMPSA
GAMBANG, 10 Januari 2026 - Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pemerkasaan bahasa dan kefahaman silang budaya apabila berjaya menganjurkan Language and Cultural Carnival (LCC), sebuah program berteraskan bahasa dan kebudayaan yang menghimpunkan kepelbagaian tradisi serta ekspresi global.
Program sehari itu bertujuan memperkukuh pembudayaan bahasa, meningkatkan kefahaman budaya global serta menyokong agenda pengantarabangsaan (internationalisation) universiti melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).
Selaras dengan aspirasi pengantarabangsaan dan mobiliti UMPSA, penguasaan bahasa asing dilihat sebagai pemangkin utama dalam melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global.
Kecekapan berbahasa bukan sahaja membuka peluang mobiliti akademik dan kerjaya antarabangsa, malah membentuk keupayaan komunikasi silang budaya yang memberi nilai tambah kepada imej serta jaringan strategik universiti di persada dunia.
Program ini menampilkan Sembilan reruai bahasa menerusi pameran interaktif yang melibatkan Bahasa Mandarin, Jerman, Arab, Inggeris, Melayu, Jepun, Tamil, Sepanyol dan Korea.
Setiap reruai mengetengahkan kepelbagaian budaya dan aplikasi bahasa dalam konteks akademik serta industri global secara kreatif, sejajar dengan tema ‘Global Voices: Languages Unite’.
Pameran ini bukan sahaja menarik minat warga kampus, malah berfungsi sebagai medium pendedahan awal kepada peluang mobiliti pelajar, pertukaran akademik serta kolaborasi antarabangsa.
Program telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran Unit Sains dan Matematik Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu, Yang Mulia Tengku Norma Tengku Mansor, Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran Unit Bahasa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Puan Renee Wee Ting Nee dan Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali.
Menurut Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, penganjuran program seperti Language and Cultural Carnival (LCC) merupakan platform strategik dalam menyokong Agenda Pengantarabangsaan dan Mobiliti universiti, selaras dengan inisiatif serta Agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Penguasaan pelbagai bahasa asing dalam kalangan pelajar bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah memperkukuh keupayaan mereka untuk terlibat secara aktif dalam program mobiliti akademik, pertukaran pelajar serta jaringan kolaborasi antarabangsa.
“Kecekapan berbahasa turut menjadi elemen penting dalam membina kefahaman silang budaya, sekali gus memperkukuh imej UMPSA sebagai universiti berteraskan global.
“Program berasaskan bahasa dan budaya seperti Language and Cultural Carnival (LCC) memberi impak langsung kepada pembangunan pelajar secara holistik sejajar dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang berkeyakinan, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, walaupun program ini bermula di peringkat kampus, impaknya tidak wajar dipandang remeh.
“Inisiatif sebegini berupaya mengangkat nama UMPSA melangkaui sempadan universiti, sekali gus mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa.
“Melalui penguasaan bahasa dan kefahaman budaya, pelajar dibentuk sebagai duta kecil universiti yang menyampaikan imej positif negara melalui pembudayaan bahasa dan penguasaan kemahiran komunikasi.
“Usaha ini secara tidak langsung memperkukuh kedudukan UMPSA sebagai institusi pendidikan bertahap global,” katanya.
Pelbagai pertandingan berkonsepkan kreativiti bahasa dan juga budaya telah dianjurkan sepanjang program ini, antaranya LCC Got Talent sebagai pentas penyerlahan bakat pelajar mengikut kategori bahasa, Newscaster Competition yang menguji keupayaan pelajar dalam penyampaian berita secara profesional dalam pelbagai bahasa, serta TikTok Challenge, Digital Mural Competition dan juga Movie Quiz Competition yang memperkukuh pembelajaran bahasa melalui pendekatan digital dan interaktif.
Di samping itu, pertandingan reruai terbaik turut menampilkan konsep pameran unik dan hiasan strategik berasaskan idea pelajar telah berjaya menyuntik elemen kreativiti serta pemikiran inovatif.
Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan pembelajaran berasaskan pengalaman, malah merangsang perkembangan daya cipta, kemahiran berfikir aras tinggi serta budaya inovasi dalam kalangan pelajar secara menyeluruh.
Disediakan Oleh: Rosjuliana Hidayu Rosli dan Syahrina Ahmad, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 46 views
Reports by: