Skip to main content

UMPSA dan Public Islamic Bank Berhad meterai perjanjian perkasa ekonomi asnaf melalui Program Penternakan Itik Penelur ( iTEKAD KELIP )

PEKAN, 13 Mei 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Public Islamic Bank Berhad (PIBB) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi melaksanakan Program Penternakan Itik Penelur ( iTEKAD KELIP ), sebuah inisiatif strategik yang bertujuan memperkasa ekonomi golongan asnaf menerusi sektor penternakan yang berimpak tinggi dan lestari.

Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) itu disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif  PIBB, Syamsul Azuan  Ahmad Fauzi di Dewan Bankuet, UMPSA, Pekan. 

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida  Mustapha, Penolong Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (Industri dan Masyarakat), Profesor CHM Dr. Mohd Hasbi  Ab Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UMPSA, Mohd Jamil Jaafar.

UMPSA dan Public Islamic Bank Berhad meterai perjanjian perkasa ekonomi asnaf melalui Program Penternakan Itik Penelur (KELIP)

Program  iTEKAD KELIP merupakan projek rintis ternakan berkelompok yang menyasarkan seramai 25 peserta dalam kalangan golongan asnaf zakat, khususnya dari daerah Kuantan dan Pekan, Pahang. 

Para peserta akan menerima bimbingan menyeluruh daripada Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman, dengan sokongan UMPSA dari segi penyelidikan dan pemantauan teknikal.

Menurut Profesor Dr. Yatimah Alias, projek ini adalah satu langkah menyeluruh ke arah meningkatkan taraf hidup peserta, melalui penghasilan makanan itik yang lebih ekonomikal, latihan keusahawanan dan pengurusan kewangan, serta peningkatan pengeluaran telur ternakan kepada 80 peratus daripada populasi.

UMPSA dan Public Islamic Bank Berhad meterai perjanjian perkasa ekonomi asnaf melalui Program Penternakan Itik Penelur (KELIP)

“Program ini merupakan kesinambungan kepada dua projek terdahulu yang dijalankan bersama Koperasi Komuniti Amanah Pahang Berhad (KOMTA) dan Koperasi Bersama Johor Berhad (KOBERSAMA) melalui dana penyelidikan UMPSA sejak 2024. 

“Dengan kerjasama strategik bersama Public Islamic Bank Berhad yang telah meluluskan pembiayaan projek ini sebanyak RM220,000 dan khidmat nasihat serta sokongan pemerkasaan komuniti, kami yakin bahawa program ini akan membawa kesan jangka panjang yang positif dan mampan,” ujarnya.

Ketua Projek  iTEKAD KELIP, Ts. Mohd Najib Razali akan mengetuai pelaksanaan bersama pasukan penyelidik UMPSA yang terdiri daripada ahli akademik dan pakar dalam bidang penternakan. 

Dengan pelaksanaan terancang dan sokongan pelbagai pihak, projek ini diharap menjadi model kejayaan untuk program pembangunan komuniti yang lain.

Kerjasama strategik antara UMPSA dan PIBB ini mencerminkan sinergi antara institusi akademik dan sektor perbankan Islam dalam mengangkat martabat ekonomi komuniti melalui inovasi sosial serta pemerkasaan ekonomi asnaf.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad