UMPSA perkukuh kerjasama dengan Cardiff Metropolitan University dalam teknologi robotik dan STEM
PUTRAJAYA, 16 Januari 2024 - Kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan Cardiff Metropolitan University (CMU) bakal memberi tumpuan kepada memanfaatkan teknologi robotik dan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk meningkatkan peluang pembelajaran dalam kalangan pelajar.
Hadir bertukar dokumen memorandum perjanjian (MoA), Naib Canselor UMPSA, Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin dan Pengarah Eureka Robotics Cardiff Metropolitan University, Dr. Esyin Chew dengan disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan East Asia Hub - Country Director Malaysia, Dr Jazreel Goh.
Turut sama, STEM Coordinator Cardiff Metropolitan University (CMU), Dr Chow Siing Sia. UMPSA telah berkongsi kepakaran literasi robotik ke peringkat antarabangsa menerusi penganjuran Robot Literacy Program with Community in Wales, Cardiff pada tahun lalu yang mendapat kerjasama Cardiff Metropolitan University dan British Council.
Kolaborasi ini juga bakal memanfaatkan kolaborasi antarabangsa, perkongsian kepakaran dan khidmat masyarakat.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, jalinan kerjasama ini dimeterai sebagai usaha menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengantarabangsaan pendidikan tinggi tanah air serta hab pembangunan bakat.
“Kedua-dua institusi bakal bergabung tenaga menerusi kerjasama latihan dan penyelidikan, pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi dalam penggunaan teknologi robotik dan pendidikan STEM serta menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti,” jelas beliau yang turut menerima robot yang akan digunakan dalam aktiviti program pemerkasaan STEM bersama pelajar dan guru sekolah di seluruh negara.
Katanya lagi, kolaborasi ini turut menyasarkan usaha untuk memberi inspirasi kepada golongan muda, pelajar B40, dan menyumbang kepada pembangunan program ijazah dual (PhD) dalam bidang robotik.
“Selain itu, UMPSA komited dalam menyumbang kepakaran melangkaui bidang akademik, termasuk sumbangan kepada masyarakat, khususnya memperkasakan wanita dalam STEAM-H dan mempromosikan literasi media dan maklumat,” ujarnya.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat