Skip to main content

Enam Penggal Bersama UMP

Setelah menamatkan enam penggal perkhidmatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd Taib berkongsi pandangan beliau mengenai zaman remaja, pengalaman korporat, perkembangan pendidikan tinggi dan cabaran masa depan UMP berdasarkan pengamatannya selama 4,018 hari bersama Universiti ini. Ikuti sesi wawancara eksklusif bersama Pendaftar dan Ketua Pegawai Operasi UMP, Abdul Hamid Majid; Bendahari dan Ketua Pegawai Kewangan, Zainuddin Othman serta Eksekutif Kanan Perhubungan Awam & Media, Mimi Rabita Abdul Wahit di Kuala Lumpur Golf & Country Club pada 31 Disember 2017.  

 

Kampung asal dan tahun-tahun awal?

 

Saya berasal dari Kampung Sentang, Chenor, Pahang yang dahulunya berada dalam daerah Temerloh tetapi sekarang telah dipecahkan ke daerah Maran. Jadi saya adalah memang seorang budak kampung. Saya mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kertau dan UMP pernah sampai di kampung itu dalam misi pembersihan banjir beberapa tahun dahulu. Pada masa itu tiada lagi kemudahan jambatan dan bot. Kalau ingin pergi ke pekan terdekat pada masa itu adalah bandar Temerloh dengan menaiki bas dan menyeberangi sungai dengan menaiki perahu sahaja. Saya mula berhijrah dari kampung dan menerima pelajaran peringkat menengah di Temerloh pada tahun 1966 dan selepas itu saya terus belajar sehingga ke universiti.

 

Motivasi utama dan resepi kejayaan?

 

Pada masa dahulu saya sebagai orang muda hanya fokus dalam belajar dan aktif dalam aktiviti-aktiviti sukan. Jadi dari semasa ke semasa saya hanya melakukan sesuatu dengan terbaik untuk mendapatkan pencapaian yang terbaik. Sebagai seorang budak kampung, pada mulanya saya tidak mempunyai cita-cita yang tinggi contohnya seperti pegawai daerah. Saya hanya bercita-cita untuk menjadi seorang guru di mana saya anggap kerjaya guru ini adalah tinggi di pandangan masyarakat dan saya belum lagi didedahkan dengan kerjaya yang lebih besar di luar sana. Apabila saya mula memasuki universiti, barulah saya nampak ada sesuatu yang istimewa bila menjadi seorang pegawai kerajaan. Saya mendapat keputusan paling cemerlang di negeri Pahang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dalam jurusan sastera dan telah ditawarkan biasiswa daripada Bank Negara bagi melanjutkan pelajaran di peringkat universiti tetapi saya memilih untuk menerima tawaran daripada Malayan Banking kerana Malayan Banking telah memberi tawaran kepada saya terlebih dahulu dan hanya menawarkan biasiswa kepada lima orang pelajar sahaja setahun. Apabila saya memasuki Fakulti Ekonomi di Universiti Malaya, barulah saya didedahkan kepada bebrapa subjek yang mana saya tidak pernah disebut bila berada di Tingkatan 6 iaitu subjek Perakaunan. Pada masa itu tiada lagi Ijazah Sarjana Muda Perakaunan tetapi yang ada ialah Ijazah Sarjana Muda Ekonomi major Perkaunan dan jikalau ingin dapatkan tahap profesional, mestilah mengambil Diploma Perakaunan di peringkat pasca siswazah.

 

Persepsi awal sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti?

 

Saya mula didedahkan mengenai hal-hal berkaitan universiti ketika saya masih lagi berkhidmat sebagai Pengarah Urusan di Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan sering dijemput menghadiri program-program melibatkan universiti terutamanya Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM). Apabila saya menerima panggilan daripada YB. Menteri Pengajian Tinggi pada masa itu iaitu Dato’ Sri Mustapha Mohamed atau lebih dikenali denagn gelaran Tok Pa ketika saya baru sahaja bermain golf di Subang dan Tok Pa menyatakan hasrat beliau untuk melantik saya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti KUKTEM, tiada apa-apa yang bermain difikiran saya melainkan ianya adalah untuk kebaikan negeri kelahiran saya sendiri dan saya menyatakan persetujuan kepada Tok Pa.

 

Pernah terfikir untuk menjadi pemimpin pendidikan tinggi?

 

Pada fikiran saya pada masa itu ialah jawatan tersebut adalah satu tanggungjawab atau amanah yang besar yang diberi kepada saya kerana KUKTEM adalah satu-satunya kolej universiti yang ada di negeri Pahang pada ketika itu.

 

Pengurusan masa antara tuntutan kerjaya dan keluarga?

 

Cara kita membahagikan masa antara pengurusan syarikat sendiri dan juga pengurusan universiti adalah terpulang kepada diri kita sendiri. Bagi saya, masalah di tempat kerja tidak seharusnya dibawa balik ke rumah dan jika kita sudah terbiasa melakukan pelbagai kerja yang berlainan, maka ia tidaklah menjadi satu bebanan yang berat bagi kita dan apa yang penting ialah kita haruslah memberi fokus dan perhatian penuh dalam menangani sesuatu masalah. Ini bermakna jikalau saya mempunyai aktiviti di syarikat, maka saya haruslah memberi tumpuan kepada perkara itu dan apabila ada aktiviti di peringkat universiti seperti mesyuarat, perbincangan atau sumbang saran idea (brainstorming), saya akan melibatkan diri dalam aktiviti tersebut. Itulah masa untuk kita sama-sama memikirkan dari segi pembangunan dan strategi universiti dan seterusnya pelaksanaannya pula adalah terpulang kepada pihak universiti itu sendiri.

 

Penilaian terhadap pencapaian UMP?

 

Peranan utama dalam pembangunan universiti adalah terletak kepada pihak pengurusan universiti itu sendiri. Peranan ahli Lembaga Pengarah Universiti adalah memberi input dan kata sepakat dalam merangka pelan strategik universiti. Dalam 15 tahun penubuhan UMP ini, saya merasakan target kita untuk menjadi universiti teknologi pilihan utama jika dibandingkan dengan universiti-universiti yang sama taraf dengan UMP, kita telah mencapai satu kejayaan yang lebih baik daripada universiti-universiti yang lain. Tetapi, jika dilihat dari segi perspektif yang lebih luas iaitu di peringkat dunia, kita belum lagi mencapai tahap yang baik. Kita mungkin tidak dapat mencapai satu pencapaian yang terbaik secara tiba-tiba atau melebihi universiti-universiti yang telah lama penubuhannya. Oleh itu, kita perlulah menetapkan target kita secara munasabah dan terget-target ini haruslah dimurnikan mengikut fasa-fasa yang telah ditetapkan supaya ianya lebih bermakna, tercapai dan lebih mencabar.

 

Warna-warni pengalaman dan cabaran di UMP?

 

Tidak banyak cabaran-caraban yang saya lalui sepanjang memegang jawatan sebagai pengerusi Lembaga Pengarah UMP tetapi apa yang saya tidak dapat lupakan adalah saat di mana bagaimana kita menguruskan keadaan apabila pihak pengurusan universiti telah membuat kesalahan dalam menafsirkan penggunaan kemudahan kenderaaan universiti dan kita telah mendapat teguran daripada pihak yang berkenaan dan apabila kita membuat semakan, kesalahan tersebut bukanlah dibuat dengan sengaja atau bertujuan untuk mengambil kesempatan tetapi pihak pengurusan hanyalah menganggap peraturan itu dibenarkan  tetapi sebaliknya. Jadi kita sebagai Lembaga Pengarah telah membuat keputusan untuk memperbetulkan fahaman itu mengikut prosedur yang dibenarkan.

 

Perbandingan pengurusan dunia korporat dan operasi universiti?

 

Sektor awam pada pengamatan saya, termasuklah universiti-universiti, banyak terikat dengan peraturan dan prosedur. Seperkara lagi, saya lihat dalam sektor awam ini, kita perlu ikut apa yang orang lain buat (benchmark) bagi mengelakkan kesalahan. Tetapi dalam sektor korporat, pengurusannya terfokus kepada objektif yang ingin dicapai (management by objective). Sebagai contoh, kita pada satu ketika menghadapi cabaran untuk menarik profesor-profesor dari luar negara untuk berkhidmat di Universiti ini.

 

Antara faedah untuk para profesor ini yang disyorkan kepada Lembaga Pengarah ialah pemberian kemudahan sekolah antarabangsa kepada anak-anak mereka. Jadi pihak pengurusan mencadangkan pembayaran separuh daripada yuran anak-anak mereka di sekolah antarabangsa tersebut. Jadi saya tanya semula objektifnya kita berbuat demikian, adakah kita sebenarnya bersaing dengan universiti lain untuk bawa mereka ini bekerja dengan UMP? Jawapannya ya. Kalau betul hendak beri subsidi 25 peratus, tidak mungkin apa yang kita inginkan itu dapat direaliasikan. Kalau ingin bagi insentif mestilah bagi apa yang boleh menjadikan kita berjaya dalam penggunaan insentif itu sebagai contoh. Jadi kita perlu bagi penuhlah (subsidi yuran tersebut) bagi menunjukkan kita lain dari yang lain. Kini dengan status autonomi yang dimiliki UMP, kita perlu ada pemikiran sebegini dan tidak boleh lagi bertindak membuta-tuli atau sekadar mengikut orang lain. Apa yang penting ialah melihat objektif utama dan cara kita bertindak.

 

Saranan kepada graduan kita?

 

Setiap industri punya objektif masing-masing. Jadi pihak industri perlu bakat yang lincah (agile) dengan keupayaan untuk menuruti objektif mereka. Hal-hal sebegini tidak mungkin dipelajari sepenuhnya graduan kita semasa di universiti. Jadi mereka kena sedarlah bahawa ada keadaan dan perkara baru Industri 4.0, teknologi terkini dan lain-lain mungkin tidak dapat diperolehi terus daripada pensyarah semasa masih menuntut. Justeru, kita minda kita perlu bersiap sedia untuk mencari sendiri dan meneroka benda-benda baru tersebut. Hanya apabila kita pergi ke alam pekerjaan maka, penggunaan teknologi atau benda baharu itu dapat diketahui. Kalau kita pergi latihan tapi kita tidak pula bersiap-sedia tentang perkara baru tersebut, maka para graduan ini apabila masuk ke alam perkerjaan nanti akan tertinggal. Maka kita kenalah mengeluarkan graduan yang luas pengetahuannya, terbuka pemikirannya dan punya kematangan.

 

Hala tuju inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh alumni?

 

Saya lihat di Malaysia kesedaran semangat alumni untuk balik menyumbang semula kepada alma mater masih lagi rendah. Walaubagaimanapun, hal ini amat penting dan  sangat baik untuk dikembangkan lagi dalam konteks UMP sebagai sebuah universiti yang masih muda.  Jadi elok sangatlah jika usaha-usaha untuk menguatkan semangat alumni ini dijalankan sekarang kerana masa mudalah, semangat kekitaan (camaraderie) itu masih kuat. Maknanya, sebagai orang baru, lazimnya kita selalu ingin bersaing dengan orang lama. Kita ingin tunjuk dan buktikan kepada orang lama bahawa kita lebih baik. Jadi di sini saya rasa di UMP pun berlaku hal yang sama. Jadi Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni perlu menggalakkan para alumni ini untuk lebih aktif lagi menyumbang. Kita perlu buka satu ruang atau mungkin juga perlu ada bajet yang tertentu untuk menggalakkan alumni ini berbakti.  

 

Mungkin selepas gerakan mereka sudah mantap kelak, mereka sudah boleh berjalan dengan sendiri. Tapi pada peringkat awal ini, itu kita mestilah ada bantuan bajet itu sebagai galakan kepada mereka. Ini amat elok untuk kita mulakan ketika mereka ini masih muda, tatkala semangat kekitaan graduan ini masih kuat. Kalau satu batch telah keluar 20 ribu atau 30 ribu graduan, semangat kekitaan itu sudah kurang. Masa masih baru inilah rasa untuk membuktikan sesuatu itu datang dengan sendirinya dan saya lihat di UMP banyak program yang melibatkan pelajar. Masa saya di universiti dulu, tidak ada pun program-program seperti yang berkait langsung dengan pihak pengurusan. Program universiti zaman saya dulu hanya di kolej kediaman sahaja, kecuali dalam acara sukan di mana kami mewakili universiti. Berbeza kini di mana mahasiswa kita berhubung langsung dengan jabatan dalaman universiti untuk jalankan aktiviti. Jadi jangan sia-siakan peluang supaya para mahasiswa ini apabila tamat pengajian kelak akan masih rapat sesama mereka sebagai alumni pula.

 

Pesanan kepada mahasiswa generasi pelaksana Transformasi Nasional 2050?

 

Golongan muda adalah pencorak masa hadapan. Maka graduan yang baru keluar dari universiti ini merupakan pemacu pertumbuhan (engine of growth) untuk masa hadapan kita. Kita mahu enjin tersebut tangkas dan terbaik.  Jadi kita mahukan kualiti pada para graduan ini. Sudah semestinya kita tidak mampu belajar semua perkara di universiti tetapi pembangunan intelektualisme perlu berlaku dan universitilah tempatnya untuk memaknakan hal tersebut. Apabila tamat pengajian kelak, graduan ini mungkin tiada masa yang banyak untuk membangunkan diri mereka. Hanya di universiti para graduan ini ada kawan-kawan, guru-guru dan pelbagai peluang untuk membangunkan diri supaya mereka bersedia pula untuk menyumbang semula satu hari nanti.

 

Peranan akademia dan warga kerja terhadap UMP?

 

Saya pernah nyatakan kepada para akademia dan warga kerja dalam satu acara di UMP dahulu bahawa kita amat bernasib baik kerana Universiti ini masih baharu dan kita boleh belajar daripada kesilapan orang lain atau orang lama. Jadi apabila kita tahu cara terbaik untuk melakukan sesuatu, usaha mencorakkan Universiti ini dapat dilakukan dengan lebih mudah dengan penglibatan semua untuk membangunkannya. Berbanding jika Universiti ini telah menjadi besar, kita hanya akan jadi sebahagian daripada peserta atau penonton sahaja. Semasa kecil inilah kita sama-sama berpeluang menentukan arah dan hala tuju melalui program percambahan fikiran umpamanya.  

 

Jangkaan untuk UMP sepuluh tahun akan datang?

 

Jangkaan ini kita telah tetapkan dalam Pelan Strategik yang terkini iaitu untuk menjadikan UMP sebuah universiti teknologi yang terunggul. Matlamat ini tidak boleh hilang jika kita ingin melihat kejayaan perencanaan tersebut. Kita juga mestilah melihat kedudukan kita pada garis kebenaran atau kekhilafan (correct or not) dari semasa ke semasa. Jadi kalau kita ingin unggul dari segi teknologi, maka apa sebenarnya yang kita perlukan untuk merealisasikan UMP sebagai universiti teknologi terunggul ini. Produk yang diperlukan sekarang ini ialah graduan, dapatan baharu (new finding) dan penyelidikan. Jika kita inginkan pengiktirafan pihak lain mengenai keunggulan UMP dari segi teknologi, itu haruslah berdasarkan apa yang telah disumbangkan Universiti ini. Jadi sekarang ini saya rasa untuk masyarakat melihat UMP terkehadapan dalam pencapaian teknologi, maka usaha pengkomersialan perlu dipergiatkan lagi.

 

Pandangan mengenai ekosistem semasa universiti?

 

Sekarang ini kebanyakan universiti awam bergantung kepada bajet kerajaan dan kita tahu bahawa pendapatan kerajaan pula bergantung kepada keadaan ekonomi negara dan dunia. Kalau kita bandingkan situasi di Malaysia dengan negara-negara luar seperti Indonesia di mana rakyatnya sudah boleh menerima hakikat bahawa mereka perlu bayar sendiri kos pengajian di universiti, tetapi di Malaysia masyarakatnya sudah terbiasa dengan sogokan benda percuma. Universiti di negara kita ini kecil sahaja dan tidak wajar untuk dibandingkan dengan universiti-universiti yang telah berjaya seperti Oxford, Harvard, MIT atau Stanford sebab mereka telah terkehadapan dalam pengkomersialan daripada aktiviti penyelidikan yang dijalankan dan kerana jenama universiti itu sendiri, dunia adalah pasaran mereka. Tetapi kita tidaklah sebesar mana dan hakikat tersebut menyebabkan penyelidik kita bedepan cabaran besar (struggling) untuk berkolaborasi dengan syarikat-syarikat luar negara. Syarikat-syarikat kita tidak semuanya membuat untung beratus juta atau berbilion ringgit, jadi kalau kita mengharapkan bantuan luar, syarikat-syarikat ini pun ada kekangan (limitation) juga. Perspektif baharu yang perlu ada kini ialah benda baik tidak datang percuma (good things does not come for free).

 

Sanjungan perlu diberikan kepada pihak pengurusan terhadap apa yang telah dicapai UMP pada hari ini. Sebagaimana yang selalu saya nyatakan, Lembaga Pengarah boleh sentiasa memberi sokongan, tetapi kerja keras itu perlu dilakukan oleh pihak pengurusan kerana Lembaga Pengarah tidak bersifat sepenuh masa dan tidak pula punya kuasa eksekutif. Maka peranan Lembaga Pengarah ialah mendukung dan menegur perkara yang perlu diperbetulkan pihak pengurusan. UMP amat bertuah kerana pihak pengurusannya bersatu. Banyak perkara yang dirancang tidak dapat dilaksana dengan berkesan apabila pihak pengurusan tidak bersatu atau dihantui politiking yang keterlaluan. Alhamdulillah ini tidak berlaku di UMP tidak ada perkara sebegitu dan keadaan ini perlu sentiasa dipelihara. Apabila Universiti ini berkembang besar kelak, pihak pengurusan mungkin tidak mampu mengawal (politiking keterlaluan). Itulah sebabnya  saya berpandangan apa yang telah, sedang dan akan diusahakan oleh UMP ini punya impak yang positif dalam jangka masa panjang.

 

Dicatat oleh : Mohd Mukhris Awang dari Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Nur Laila binti Afandi