UMPSA, 22 Tahun Membelah Samudera
Bermula dengan nama Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) yang ketika itu mempunyai seramai 303 mahasiswa prasiswazah pada tahun 2002, jumlahnya kini telah meningkat kepada seramai 11,764 orang mahasiswa pada tahun 2023. Sejak pengambilan kumpulan sulung mahasiswa bagi program sarjana dan doktor falsafah pada tahun 2004, enrolmen pascasiswazah juga telah meningkat daripada 16 orang kepada 1,474 orang pada tahun 2023.
Setelah lima tahun beroperasi, pada 1 Februari 2007, KUKTEM dinaik taraf kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP). Manakala setelah 22 tahun menempa nama di persada tinggi negara dan global, kini UMP dijenamakan sebagai Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Ikuti temu bual khas bersama dengan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin sebagai nakhoda kapal mengenai hala tuju dan hasratnya dalam memacu perubahan ke arah membina masa depan yang lebih gemilang bagi UMPSA.
S: Bagaimana Dato’ melihat penjenamaan UMP kepada UMPSA ini dalam mencapai hasrat universiti ke arah merealisasikan visi dan misi UMPSA?
J: Kita berbangga dengan pencapaian universiti sehingga kini yang telah diiktiraf pada peringkat antarabangsa. Perjalanan cemerlang universiti dalam tempoh 22 tahun ini turut dinadikan oleh komitmen tinggi warga universiti. Sehingga kini, jumlah keseluruhan staf universiti adalah seramai 1,838 orang. Manakala, enrolmen pelajar adalah seramai 18,129 merangkumi 11,764 pelajar prasiswazah, 1,474 pelajar pascasiswazah dan 4,891 pelajar program pembelajaran sepanjang hayat. UMPSA telah berjaya melahirkan seramai 38,462 alumni yang telah menyumbang semula tenaga dan kepakaran mereka kepada masyarakat serta pembangunan negara. Kebolehpasaran graduan UMPSA pula mencatat peningkatan kepada 98.7 peratus pada tahun 2023.
Universiti turut mengorak langkah ke hadapan dalam menjayakan transformasi digital untuk proses pembelajaran dan pengajaran melalui pembangunan Sistem Pengurusan Pembelajaran (Learning Management System) atau ILMU. Justeru, usaha ini akan merancakkan peranan UMPSA sebagai peneraju teknologi dan memantapkan kolaborasi berterusan bersama industri berkaitan.
Kita akan meneruskan kecemerlangan sejajar dengan usaha ke arah kegemilangan universiti melibatkan kecemerlangan yang digariskan melalui penawaran program akademik, memanfaatkan teknologi terkini, penerokaan teknologi baharu, pengurusan kewangan dan pentadbiran serta pengantarabangsaan dan keusahawanan.
Universiti juga akan memberi tumpuan terhadap kecemerlangan dalam usaha menyediakan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan teknologi aras tinggi yang dipacu bersama komuniti melalui ekosistem keusahawanan sosial dengan memberi tumpuan terhadap kecemerlangan perkhidmatan bersama komuniti.
S: UMPSA antara penyumbang terbesar graduan TVET aras tinggi. Justeru, bagaimana Dato’ melihat hala tuju akademik universiti dalam menyokong agenda TVET nasional?
J: Kita amat bertuah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang juga selaku Canselor UMPSA sentiasa menyokong usaha pendidikan TVET agar terus diperkasakan.
Asas kepada penubuhan universiti adalah sebagai sebuah universiti awam (UA) yang memfokuskan kepada TVET dan tidak pernah berubah sepanjang 22 tahun kewujudan universiti yang kita sayangi ini. Antara pendekatan baharu termasuklah usaha sama strategik di antara pihak universiti dengan industri bagi memastikan graduan universiti dilatih berdasarkan keperluan semasa industri.
Justeru, sebagai salah sebuah universiti dalam MTUN, peranan universiti amat signifikan dalam memacu pendidikan TVET negara. Begitu juga seperti yang dihasratkan oleh Yang Berhormat Mantan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Perutusan Tahun Baharu 2023 beliau berkenaan dengan azam ketujuh iaitu untuk melakukan rombakan besar-besaran terhadap sistem dan ekosistem TVET nasional. Kita sentiasa bersedia untuk menyahut seruan tersebut.
Ketika ini, UMPSA telah melaksanakan 50 peratus program akademik berasaskan TVET dan 50 peratus program akademik berasaskan Kejuruteraan. Bagi meneruskan kelestarian kecemerlangan, UMPSA akan melaksanakan 60 peratus program berasaskan TVET dan 40 peratus berasaskan Kejuruteraan menjelang tahun 2025.
Lebih membanggakan, kita juga berjaya memperkukuh hubungan baik yang menjangkau usia 13 tahun hasil jalinan kerjasama akademik di antara UMPSA dengan institusi pendidikan di Jerman, UMPSA-Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) bagi mengembangkan Model Pendidikan Kejuruteraan Jerman (Fachhochschule) dalam sistem pendidikan teknikal negara menerusi program ijazah dual dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik, Automotif dan Elektrikal bagi melahirkan lebih ramai graduan kompeten yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Ini termasuklah Program Kejuruteraan Perniagaan yang akan bersama dengan rakan baharu dari Mannheim University of Applied Sciences (HMA).
Selain Jerman dan Kazakh National Agrarian University, program ijazah dual kini diperluas ke negara China iaitu di Beijing Jiaotong University (BJTU) dan Universiti Tianjin (TJU), China. Manakala program baharu pula akan melibatkan kerjasama dengan Fakulti Komputeran (FK) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) yang bakal diterokai dengan institusi di Korea Selatan.
Kita juga telah mendapat kerjasama baik dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam Program Pembangunan Bakat Muda (YTP) bagi pelajar menyambung pengajian bermula pada peringkat persediaan hingga ke peringkat ijazah pertama di IPT terpilih luar negara.
S: Slogan UMPSA yang diketahui umum adalah ‘Teknologi untuk Masyarakat’. Pencapaian universiti dalam penyelidikan adalah suatu pencapaian yang amat membanggakan. Universiti perlu memainkan peranan yang lebih efektif dalam membantu meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.
Justeru, UMPSA mestilah dilihat mampu menawarkan penyelesaian yang berasaskan teknologi kepada masyarakat. Bagaimana Dato’ melihat aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (RDC) di UMPSA pada masa akan datang?
J: ‘Teknologi untuk Masyarakat’ merujuk kepada gaya pendekatan tindakan UMPSA dalam menyediakan penyelesaian saintifik, teknikal atau inovasi terhadap sesuatu isu dan masalah yang dihadapi masyarakat dengan menggunakan teknologi.
Kita akan meneruskan usaha mencapai kegemilangan dan mengungguli bidang akademik, penyelidikan dan inovasi serta meningkatkan keupayaan teknologi yang bakal memberi impak dan mencari solusi penyelesaian masalah industri.
Penyelesaian tersebut secara langsung boleh disalurkan dalam bentuk hard technology atau soft technology secara interdisciplinary, atau dirujuk sebagai translasi (translational) merentasi pelbagai disiplin ilmu pengetahuan yang tidak terhad kepada bidang Sains Tulen dan Kejuruteraan semata-mata, tetapi turut melibatkan bidang Sains Sosial dan juga Sastera.
Pada tahun 2023, UMPSA telah menempa kejayaan apabila seramai 22 orang pensyarahnya yang telah diiktiraf dalam kalangan dua peratus saintis terbaik dunia. Jumlah ini meningkat berbanding seramai hanya 12 orang yang telah diiktiraf dalam kalangan dua peratus saintis terbaik dunia pada tahun 2021. Ini turut membuktikan bahawa UMPSA tidak kekurangan bakat bermutu dalam kalangan staf akademiknya.
Dalam bidang penerbitan ilmiah pula, berdasarkan sitasi setiap staf akademik merujuk analis penerbitan Universiti Awam Malaysia (Scholarly) menyaksikan UMPSA berada di tangga kelapan dengan jumlah keseluruhan 6,982 terbitan.
Manakala berdasarkan Analisa Keseluruhan Penerbitan Universiti Awam Malaysia atau Field-weighted Citation Impact (FWCI), UMPSA berada di tangga kedua dengan nilai 1.28 selepas Universiti Malaya (UM) (1.42).
Adalah signifikan untuk kita melihat kembali dan seterusnya menambah baik tadbir urus pembangunan produk, promosi dan kemandirian syarikat.
Saranan saya agar kita fokus untuk menubuhkan syarikat start-up yang saya percaya merupakan model yang lebih mampan dan akan dibantu oleh UMPSA. Natijahnya, produk atau perkhidmatan yang berjaya dikomersialkan akan lebih berdaya saing dan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat.
S: Organisasi pada semua peringkat negara mahu pun negeri perlu mengguna pakai inisiatif tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) bagi mencapai matlamat pembangunan mampan. Seiring dengan usaha ini, universiti menyasarkan pendekatan kampus lestari dengan melaksanakan pelbagai inisiatif khusus bagi menghasilkan sebuah ekosistem hijau yang kondusif seiring hasrat negara ke arah Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang tahun 2050. Bagaimana Dato’ melihat pencapaian UMPSA dalam melestarikan kejayaan ini?
J: UMPSA telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mempertingkatkan kualiti persekitaran yang dirancang bagi menyokong aktiviti untuk memelihara sumber dan mempertingkatkan kualiti persekitarannya. UMPSA menyasarkan pendekatan kampus lestari dan inisiatif khusus yang dirancang bagi menghasilkan sebuah ekosistem hijau yang kondusif.
Lebih bermakna apabila konteks sumbangan UMPSA ini berkisar kepada keperluan 17 Sasaran Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDG) dengan indikator yang telah disepakati pada peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk dicapai menjelang tahun 2030. Bagi memastikan kelestarian jaringan ini mampu memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti, penyelidik yang terlibat perlu membina keakraban dengan komuniti sasaran selain mengekalkan hubungan yang erat dengan industri dan pembuat dasar dalam ekosistem yang saksama.
Penekanan diberikan terhadap Revolusi Industri 4.0 terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan robotik. Menerusi pelbagai inisiatif diberi kerajaan dalam konteks penyelidikan. Langkah ini mampu melahirkan lebih ramai penyelidik yang akan memberi manfaat dan bergerak selaras dengan keperluan negara. Misalannya, UMPSA kini sedang membangunkan teknologi Kenderaan Autonomi Kampus Pintar (Smart Campus Autonomous Vehicle - SCAV), Ele-Bot UMP, dron dan virtual reality (VR) pastinya merancakkan usaha ke arah memperkasa bidang ini di UMPSA.
Penjajaran semula melibatkan pemerkasaan penyelidikan, inovasi industri dan pengkomersialan dari segi peningkatan keupayaan dan kapasiti penyelidikan yang lebih dinamik dan proaktif melalui tadbir urus geran dan penawaran dana serta geran-geran baharu yang berimpak tinggi dengan objektif khusus untuk menghasilkan idea-idea baharu, memfokuskan isu strategik semasa negara, mendepani cabaran dan mengadaptasi Transformasi Digital menerusi Revolusi Industri 4.0.
Universiti ini tersenarai di kedudukan 201-250 di dunia dalam 2023 Times Higher Education Young University Rankings (THE Young) yang menyenaraikan universiti terbaik dunia yang berumur 50 tahun atau lebih muda.
UMPSA juga tersenarai dalam penarafan dunia Times Higher Education World University Rankings 2024 di kedudukan 601-800 dan tangga ke-201-250 dalam 2023 Times Higher Education (THE) World University Rankings Asia.
Universiti ini turut melakar kejayaan pada tahun lalu apabila tersenarai di kedudukan 301-400 dalam 2023 Times Higher Education Impact Rankings (THE Impact) . Penarafan THE Impact merupakan sistem penarafan global yang menilai usaha universiti terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Seterusnya UMPSA disenaraikan pada kedudukan ke-68 terbaik di dunia dan ke-4 terbaik di Malaysia berdasarkan usaha kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitar dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2023.
Baru-baru ini, UMPSA turut diiktiraf dunia apabila tersenarai dalam kedudukan 565 terbaik dunia dan 133 terbaik Asia dalam Penarafan QS Sustainability 2024 yang menilai universiti berdasarkan tindakan yang diambil terhadap isu Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
UMPSA terus mengungguli sebagai universiti terbaik dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN). Ini memperlihatkan komitmen UMPSA di dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan menilai usaha universiti dalam menangani masalah dunia berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Pengiktirafan ini secara tidak langsung menjadi penanda aras penting bagi menarik lebih ramai pelajar bukan sahaja dalam negara, malah antarabangsa untuk melanjutkan pengajian ke UMPSA.
S: Apakah cabaran masa depan bagi UMPSA untuk memastikan universiti ini mampu kekal kompeten dan menjadi Universiti Teknologi Terunggul pada masa depan?
J: Cabaran UMPSA pada masa hadapan adalah bagaimana untuk menjadikan universiti ini kekal relevan sebagai sebuah universiti yang berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi dan mencapai misi universiti ke arah Universiti Teknologi Terunggul pada tahun 2050. Agenda ini perlu digalas oleh semua warga UMPSA sama ada pengurusan tertinggi, staf akademik, pentadbiran, dan sokongan mahu pun pelajarnya.
UMPSA juga akan terus memperkasakan Agenda Pendigitalan UMPSA yang merupakan suatu usaha untuk memodenkan sistem pengurusan universiti dan memperkemas lagi platform komunikasi yang sedia ada di UMPSA.
Dengan adanya digitalisasi ini, maka sistem pengurusan universiti akan diubah menjadi lebih terkini dan moden terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta ekosistem universiti.
Justeru, saya menyarankan agar warga UMPSA perlu sentiasa bersiap sedia untuk mendepani cabaran Revolusi Perindustrian (IR 4.0) dan era globalisasi dalam dunia tanpa sempadan pada hari ini. Kita mampu bergerak bersama dan menanamkan perasaan sayangkan universiti perlu dipupuk dengan tekad untuk menyumbang bakat dan kepakaran dalam menjayakan agenda UMPSA.
Sebagai sebuah universiti yang memfokuskan Kejuruteraan, Sains, Teknologi, Pengurusan dan TVET aras tinggi, kita tidak akan lari jauh malahan seharusnya berfikiran ke hadapan berbanding universiti awam lain tentang kemahiran termaju yang relevan seperti pendigitalan, inovasi sains dan automasi.
Kita juga perlu fahami peranan universiti dalam mewujudkan ekosistem kesarjanaan, dari segi penyelidikan, inovasi dan penghasilan karya penerbitan yang menjadi rujukan utama dan antarabangsa melalui kajian yang dijalankan. Pada masa yang sama menyasarkan kecemerlangan budaya akademik dan peranan universiti sebagai penyelesaian masalah rakyat dan negara sejajar dengan laungan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’.
Saya percaya dan penuh yakin bahawa UMPSA akan berjaya mencapai hasrat ini dengan adanya bakat-bakat muda dalam kalangan tenaga akademik dan pentadbiran yang berpotensi ini berjaya melahirkan kepimpinan masa depan. Di sinilah peranan universiti sebagai ‘kilang’ proses keberhasilan dan melahirkan warga terbilang dilihat penting menjana perkembangan masyarakat agar sentiasa dinamik dan mapan.
Warga merupakan aset bagi universiti pada masa hadapan dan pelaburan untuk membina kepemimpinan pelapis yang perlu diasuh secara sistematik demi memastikan kelangsungan UMPSA kelak. UMPSA melalui Bahagian Pembangunan Sumber Manusia Jabatan Pendaftar dan Taskforce Inisiatif Profiling Kumpulan Bakat sedang melaksanakan Program Penilaian Profil Kepimpinan UMPSA bertujuan untuk mengenal pasti tahap kompetensi dan potensi kepimpinan kolam bakat UMPSA yang akan dijadikan asas untuk persediaan Leadership by Design bagi UMPSA.
Selain itu, universiti ini mempunyai tanggungjawab untuk menjadi sebuah universiti yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk mengatasi isu-isu kelestarian yang semakin menjadi perhatian dunia. Kita perlu meletakkan diri di barisan hadapan dan berusaha untuk memperkenalkan teknologi serta amalan kelestarian kepada masyarakat, mendidik serta yang lebih utama menjadi suri teladan (role model) mengenai prinsip-prinsip kelestarian.
Sesungguhnya, kecemerlangan sesebuah universiti tidak hanya bergantung kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi semata-mata tetapi banyak bergantung kepada struktur pengurusan dan tadbir urus yang mantap.
Kepemimpinan universiti yang baik dapat merencanakan perjalanan program pendidikan tinggi yang berdaya saing dan melahirkan graduan yang dapat menyumbang secara positif kepada pembangunan negara. Pelbagai perbincangan ilmiah telah dizahirkan untuk menekankan peri pentingnya kaedah mengurus dan mentadbir sesebuah universiti dengan kaedah kepemimpinan yang mapan dan tepat. Bakat dan kepimpinan universiti yang cemerlang membolehkan mereka dikenali (known), dilihat (seen) dan didengari (heard) sehingga diiktiraf sebagai pakar rujuk.
Saya menyeru kepada seluruh warga agar kita meneruskan usaha menggembleng bakat-bakat yang ada di universiti ini secara strategik bagi memastikan kepakaran teknologinya dapat dibawa ke lapangan bagi manfaat masyarakat. Dengan penuh tekad dan yakin, marilah kita bersama-sama bekerja sebagai satu pasukan dengan penuh dedikasi demi UMPSA yang kita cintai. Bekerjalah dengan jujur dan amanah, insya-Allah kita akan dilindungi oleh Allah SWT.
- 122 views