Wawancara Bersama PLPU UMP Menuju Era Kampus Digital
Ikuti temu bual bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Dato' Sri Abdul Aziz Abdul Rahman bersempena kunjungan pertama beliau untuk bertemu Pengurusan UMP pada 6 November 2020 di Bilik PLPU UMP Pekan.
S: Tahniah Tan Sri kerana dipilih menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah UMP dan terima kasih atas kesudian Tan Sri untuk ditemu bual pada hari ini. Berbekalkan dengan pengalaman yang sedia ada dan sewaktu menerima surat tawaran, apakah sebenarnya yang terdetik dalam hati Tan Sri apabila mendapat perkhabaran dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UMP?
J: Saya bersyukur kerana dapat menyumbangkan khidmat bakti saya kepada UMP. Saya menganggap UMP adalah sebuah universiti di Pahang yang unggul dan besar cabarannya dalam perkembangan era inisiatif pendigitalan serta bertepatan dengan segala penambahan teknologi yang telah dilakukan.
Destruction of situation, requiring distractive leadership dalam era Revolusi Industri (IR) 4.0 dan Internet benda (IoT) merupakan satu program, misi dan visi yang selari dengan keadaan masa kini. Saya menerima cabaran ini dan bersedia untuk menyumbang kepada UMP.
S: Alhamdullilah dan tahniah sekali lagi. Sewaktu Tan Sri melangkah masuk ke pintu universiti pagi tadi, apakah yang terfikir atau terdetik dalam hati Tan Sri untuk kembali menabur bakti di UMP?
J: Saya melihat perkembangan pesat di universiti dari segi prasarana. Namun, adakah pembangunan di UMP ini adalah berpusat secara menyeluruh ataupun berpusat secara nukleus? Ini kerana, saya lihat pembangunan dibuat di suatu kawasan sahaja dan sengaja membiarkan tanah-tanah lain untuk tidak dibangunkan. Adakah sekarang ada potensi pembangunan pada masa hadapan? Saya difahamkan tanah-tanah di UMP di bawah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan UMP. Dari segi komersial, sesuai dibangunkan tanah PTG dahulu kerana ada tasik-tasik dan tanah-tanah UMP dibiarkan untuk dibangunkan serentak dengan pembangunan di sekitar kawasan termasuklah dengan tanah milik UDA Holdings Berhad.
S: Bagaimana Tan Sri melihat perkembangan universiti ini pada masa hadapan?
J: Saya difahamkan kebolehpasaran graduan UMP adalah tinggi iaitu telah mencapai 96 hingga 97 peratus. Namun bagaimana pula dengan kemahiran (skills)? Apakah yang diperlukan oleh pasaran sekarang? Kita perlulah ada kelainan dalam era digital dan era IR. 4.0 ini. Ia boleh ditingkatkan lagi dari segi alat-alat (tools) baharu seperti awan (cloud), data analitik (data analytic) dan data besar (big data).
Apakah yang boleh UMP tingkatkan supaya berbeza dengan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang lain? Walaupun UMP nombor satu, kita boleh ke hadapan lebih dari itu. Ini kerana, kalau kita genggam cabaran-cabaran baharu dengan pucuk pimpinan yang destructive iaitu lebih fleksibel (flexible), inovatif (innovative) dan adaptif (adaptive) agar UMP cepat melaksanakan pembaharuan dan terus menterjemahkan pembaharuan itu ke satu platform yang berterusan.
Kalau kita gagal laksanakan, kaku atau kita terima sedikit sahaja, ia tidak akan memberikan apa-apa impak kepada universiti. Oleh itu, bagi memberikan impak sepenuhnya, kita perlu bekerjasama dengan syarikat-syarikat gergasi seperti Huawei, Apple atau IBM. Kita pegang syarikat-syarikat ini terlebih dahulu. Dalam masa yang sama, kita ikat syarikat-syarikat ini supaya kita dapat menyertai atau mengambil bahagian dalam pembangunan yang dilakukan mereka, supaya apa yang mereka dapat, kita dapat dan tidak kaku sahaja. Kalau kita tidak dapat sertai atau ketinggalan, pembaharuan baharu itu akan jatuh pada tangan orang lain dan kita akan ketinggalan. Kita perlulah kemaskan dan ikat betul-betul dengan syarikat-syarikat gergasi itu.
S: Dalam bidang penyelidikan, bagaimana Tan Sri melihat pencapaian UMP dalam menghasilkan produk penyelidikan dan diiktiraf ini boleh dimanfaatkan bersama dengan masyarakat setempat seiring dengan tema ‘Teknologi untuk Masyarakat’?
J: Indeks pencapaian UMP memang mengagumkan berbanding Universiti Penyelidikan (RU) yang lain. Namun, adakah penyelidikan dan pembangunan dapat diterjemahkan dan dimanfaatkan kepada masyarakat secara menyeluruh? Baru-baru ini saya ada bertemu dengan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). Pihak MPK berhajat mahu menyediakan bas pelancongan hop-on-hop-off sekitar Kuantan. Contohnya, bas itu singgah di tempat-tempat tumpuan pelancongan dan makanan. Masyarakat dapat menggunakan bas tanpa pemandu itu. Teknologi baharu oleh UMP itu secara tidak langsung dapat dirasai oleh masyarakat dan menunjukkan kepada dunia, aplikasi daripada pembangunan penyelidikan UMP telah pun diterjemahkan dan dimanfaatkan untuk kegunaan masyarakat.
Apakah yang boleh digunakan? Kita pastikan kadar pengkomersialan dipercepatkan. Jangan kita selalu membuat penyelidikan tetapi tiada kesudahan. Kita perlu ada jarak dan garis masa yang diperuntukkan bagi tahap tertentu supaya hasilnya nanti, beginilah cara kita komersialkan produk UMP. Syarikat pengkomersialan sudah terlalu banyak, namun sejauh mana ia memberi impak kepada masyarakat? Contohnya, katakan saya tidak tahu ketersambungan (connectivity) di UMP Kampus Pekan masih belum meningkat lagi, bagaimana saya mahu pastikan kelajuan dan ketersambungan itu secara menyeluruh di UMP Pekan ini supaya ketersambungan ini boleh digunakan untuk awan (cloud) dan pelbagai kegunaan lain? Kemudian, baharu kita libatkan UMP Gambang kerana UMP mempunyai dua kampus. Sistem keseluruhan dibangunkan di sesuatu tempat.
S: Kita lihat Tan Sri memang dekat dengan belia ataupun mahasiswa. Banyak aktiviti-aktiviti yang melibatkan mahasiswa. Bagaimana Tan Sri melihat untuk mahasiswa di UMP menabur bakti kepada masyarakat apabila menamatkan pengajian dan meneruskan agenda bersama masyarakat?
J: Mahasiswa di UMP perlu menguatkan dan memantapkan lagi ketahanan dan jati diri. Bagi menguatkan jati diri, UMP boleh mengadakan program-program yang pernah dilaksanakan sebelum ini seperti Wacana Diri atau Wacana Rukun Negara. Rukun Negara sebagai falsafah negara, dari sudut perpaduan (patriotisme), perlembagaan institusi beraja sebagai tonggak ketahanan perlu diperkuatkan dahulu agar semangat kesukarelawan dapat diserlahkan dan dicerminkan oleh jati diri yang kental dan mantap.
Sekiranya tiada jati diri yang mantap, ia tidak akan dapat memberi impak yang besar kepada mahasiswa. Bakal-bakal pemimpin yang secara tidak langsung dilatih di UMP dengan ketahanan jati diri yang jitu akan berguna dalam apa jua bidang pada masa hadapan. Maksudnya, kekuatan sukarelawan mesti wujud dengan mantapnya di UMP itu sendiri dengan menggunakan nama sukarelawan atau wira UMP. Kalau kita kaji pula keadaan sekeliling, contohnya, Paya Besar terkenal untuk orang-orang Gambang. Jadi, kita beri tumpuan kepada kawasan itu. Kita seharusnya mempunyai data besar. Kita memetakan dunia supaya kesukarelawan boleh dihantar ke tempat-tempat yang dipetakan.
S: UMP telah melahirkan ramai alumni, bagaimana Tan Sri melihat keterlibatan bersama-sama dengan universiti?
J: Saya masih lagi memerhati keterlibatan alumni UMP dan saya juga baharu bertanya tentang wakil alumni dalam Ahli Lembaga Pengarah UMP. Sekarang kita mencari alumni wakil wanita dan difahamkan sudah mempunyai dua nama. Alumni mestilah dimasyhurkan atau kita jadikan mereka terkenal di UMP. Namun, saya tidak nampak mana-mana galeri atau sudut yang memperkenalkan alumni UMP yang terkenal dalam bidang-bidang mereka ceburi. Kita jadikan alumni ini sumber endowmen. Contohnya, University of Oxford, University of Harvard dan University of Cambridge, alumni mereka yang berjaya menyumbang semula kepada universiti. Oleh itu, kita mesti kuatkan silaturahim di antara alumni.
Kita perlu melibatkan diri dengan para alumni. Apabila kita tidak melibatkan diri, susahlah untuk kita mengetahui tentang mereka. Saya tidak pasti sama ada UMP mempunyai data atau tidak iaitu contohnya, apabila kita membuat sesuatu program, kita lihat maklum balas daripada mereka, sama ada mereka suka atau tidak dengan program itu. Data itulah penting untuk kita gunakan.
S: Bagaimana Tan Sri melihat hala tuju UMP untuk terus bergerak dengan lebih pantas dan cemerlang?
J: Pada permulaannya, saya mahu melihat dahulu struktur UMP. Saya baharu melihat dari segi jawatankuasa, ketelusan, integriti, Akta 17A dan anti rasuah. Betulkan dari segi tahap pengurusan governan dan integriti. Kemudian baharu kita secara mantap membuat program-program kerana perkara itu telah telus dan sudah menjadi amalan kita (integriti) yang tinggi.
Indeks mesti diperkenalkan. Kita tunjukkan arah kekuatan kita. Kekuatan kita adalah teknologi. Ia boleh dikuatkan lagi dengan perkaitan atau perhubungan dengan negara Jerman, China dan Jepun. Seperti yang kita sendiri ketahui, ketiga-tiga negara ini mempunyai industri yang besar dan teknologi yang tinggi. Pelajar-pelajar kita pun mestilah mempelajari dan mengetahui bahasa Jerman, Cina dan Jepun. Daripada sinilah, pelajar-pelajar kita boleh diserahkan kepada syarikat-syarikat besar daripada ketiga-tiga negara ini.
Pelajar-pelajar kita yang bakal menamatkan pengajian bolehlah membuat latihan industri di negara-negara ini. Kita perlu kenal pasti pelajar-pelajar yang sesuai dan gerakkan mereka sebagai kekuatan intelek untuk menyertai syarikat-syarikat besar daripada ketiga-tiga negara ini. Mereka ini akan berkongsi pengalaman di sana kepada generasi seterusnya. Jika kita tidak lakukan, tidak akan ada aliran yang berterusan. Kisah kejayaan ini akan berlaku lagi. Oleh itu, kita jadikan ia sebagai sumber motivasi kepada pelajar selepas itu pula.
S: Tan Sri mempunyai banyak pengalaman khususnya di dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Bagaimana Tan Sri melihat aspek memperkasakan kesukarelawan ini dengan masyarakat setempat dengan wujudnya UMP di Pekan dan Gambang?
J: Saya adalah Presiden Riding for the Disable Malaysia (RDA) yang berpusat di United Kingdom (UK). Selain di Malaysia, RDA juga mempunyai 13 cawangan di negara lain. Terdapat dua universiti telah bekerjasama dengan RDA iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai. UPM mempunyai kuda mereka sendiri.
Kedudukan UMP yang berhampiran dengan Kelab Polo Diraja Pahang. KDYM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah mempunyai banyak kuda dan kita mungkin boleh gunakan dua atau tiga ekor untuk diletakkan di sini dan dibuat satu pusat untuk RDA. Ramai anak-anak autisme, palsi serebrum (CP) dan sindrom Down boleh menggunakan kuda-kuda ini. Kita hantar pelatih daripada Royal Malaysian Polo Association (RMPA), Kuala Lumpur dan kita juga mempunyai pelatih dari seluruh negara. Warga UMP sendiri boleh menggunakan peluang ini untuk menunggang kuda. Kita juga boleh lihat ada seorang pemanah wanita yang memanah sambil menunggang kuda dan menang di Korea.
S: Bagaimana bermula atau tercetusnya idea ini?
J: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sudah hampir 20 hingga 30 tahun saya menjadi pemain polo. Sudah beberapa kali terjatuh dari kuda dan masih berminat dengan kuda. Saya menjadi Presiden RDA hampir sepuluh tahun. Semua ini adalah sukarelawan sahaja. Sesiapa sahaja boleh menjadi sukarelawan untuk menjadi kanak-kanak istimewa ini. Kita boleh anjurkan majlis mengumpul dana atau makan malam amal. Dalam keadaan kita dilanda Covid-19, kita masih mencari punca kewangan bagi meneruskan untuk menjaga kuda dan gaji kepada para pekerja. It’s a life for horse riding.
S: Tan Sri, berkenaan situasi Covid-19 dalam negara dan sekarang kebanyakan mahasiswa tidak dapat merasai kehidupan kampus yang mana mereka mengikuti pengajian secara dalam talian. Bagaimana nasihat Tan Sri buat mahasiswa mendepani situasi pasca Covid-19 ini.
J: Pada pendapat saya, mahasiswa haruslah bersedia secara mental dan fizikal. Saya juga bimbang sekiranya Covid-19 ini menyebabkan mahasiswa tertekan. Namun, kita masih mempunyai aplikasi seperti Webinar dan Zoom untuk sentiasa berhubung. Saya sendiri menggunakan Webinar dengan membuat program Destruction and Leadership in the Era of Destruction dengan Kolej Yayasan Pahang.
Kita perlu perbanyakan lagi program dalam talian dan perlu cepat supaya tidak ketinggalan. Speed is very important. Motivasi perlu diberikan kepada mahasiswa secara berterusan. Kalau kita lambat, kita akan ketinggalan mendepani cabaran dalam norma baharu ini.
S: Tan Sri, pada penghujung wawancara ini, apakah harapan Tan Sri sendiri kepada warga UMP untuk sama-sama menabur bakti kepada universiti dan membawa limpahan kepada kerajaan negeri Pahang
J: Saya berpendapat keterlibatan dengan pemegang taruh, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), mahasiswa dan persatuan (profesional) mesti wujud. Ini kerana, pentingnya persefahaman dan tanggungjawab bersama dalam semua program yang dianjurkan universiti. UMP sebagai sebuah universiti berfokus perlu bergerak pantas, data perlu dikumpul, dianalisis dan membuat keputusan.
Jangan hanya ada data yang banyak tetapi tidak digunakan dan tiada keputusan. Pada masa yang sama, kita perlu fokuskan arah mana yang hendak kita tuju. Dalam memasyarakatkan kampus, kita perlu ada keterlibatan dengan komuniti sekeliling kampus seperti masyarakat sekitar. Berapa banyak tunai dikeluarkan bagi menampung pekerja di sekitar kawasan UMP?
Universiti merupakan punca aliran tunai dan dalam keadaan Covid-19 ini masyarakat sekitar perlulah mempunyai pekerjaan walaupun hanya separuh hari. Keterlibatan seperti inilah yang diperlukan masyarakat sekitar universiti.
Universiti itu relevan bukan sahaja melahirkan intelektual, tetapi menjadikan Pekan sebagai pusat intelektual komuniti seperti berlaku di luar negara. Pekan juga boleh menerima segala pencapaian yang dibuat universiti dan turut dirasai oleh masyarakat sekitar. Oleh itu, hala tuju mestilah diperkuatkan dan diperkukuhkan lagi supaya tidak terpesong dari matlamat asas.
Insya-Allah, itulah harapan besar yang perlu kita galas bersama terutama sekali mahasiswa. Berdepan dengan cabaran yang besar, kita perlu bergerak sebagai satu pasukan dengan satu tujuan iaitu meningkatkan ilmu demi memajukan masyarakat dan negara.
#bergerakbersama
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit dan Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi
Korporat, Pejabat Naib Canselor
- 230 views