Skip to main content

Penyelidik UMPSA bantu bangunkan sistem IoT bagi tingkatkan pengeluaran tanaman cendawan tiram

BATU PAHAT, 30 September 2024 – Usaha kolaborasi di antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan Ada Fresh Farm dalam melahirkan rumah cendawan berteknologi dengan sistem Internet of things (IoT) berjaya meningkatkan teknologi dalam industri pertanian, khususnya dalam penanaman cendawan. 

Penyelidikan yang diketuai oleh Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Dr. Nur Huda Ramlan dan Dr. Ahmad Syahiman Mohd Shah itu turut dibantu oleh Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Dr. Ahmmad Shukrie Md Yudin. 

Menurut Dr. Nur Huda, sistem IoT yang dipasang mampu memantau suhu, kelembapan dan tahap karbon dioksida di dalam rumah cendawan. 

“Ia bertujuan memastikan persekitaran yang ideal bagi pertumbuhan cendawan yang lebih baik. 

“Sistem penyejukan yang beroperasi secara automatik pula membantu mengekalkan suhu yang optimum, terutamanya ketika cuaca panas melampau.  

“Rumah cendawan baharu di Ada Fresh Farm telah dibina dengan dana Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan dilengkapi dengan sistem penyejukan pintar serta  teknologi IoT yang dibangunkan UMPSA di bawah Dana Program Penyelidikan Translasional Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya. 

Penyelidik UMPSA bantu bangunkan sistem IoT bagi tingkatkan pengeluaran tanaman cendawan tiram

Penyelaras TUNAS Zon Selatan 2, MPOB, Hasmiza Desa yang hadir bagi merasmikan rumah cendawan baharu mengucapkan tahniah kepada Ada Fresh Farm dan UMPSA atas kejayaan kerjasama ini.

“Dengan penggunaan teknologi dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil pertanian, diharapkan rumah cendawan ini akan dapat menjadi model bagi pertanian moden di Malaysia,” ujarnya. 

Pengasas Ada Fresh Farm, Rasyada A Rahman@Rahim turut berterima kasih kepada UMPSA atas kepercayaan kepada Ada Fresh Farm untuk menjalankan kolaborasi ini. 

“Terima kasih juga kepada MPOB kerana menyalurkan dana bagi rumah cendawan keempat di Ada Fresh Farm. 

“Dengan adanya kerjasama seperti ini, diharapkan industri cendawan di Malaysia akan terus berkembang pesat dan menyumbang kepada ekonomi negara melalui inovasi teknologi terkini,” katanya. 

Perasmian ini diakhiri dengan lawatan ke rumah cendawan baharu bagi melihat demonstrasi teknologi IoT yang telah dipasang, termasuk bagaimana ia dapat membantu meningkatkan hasil pengeluaran cendawan dan mengurangkan tenaga buruh.

Disediakan Oleh: Mohammad Ilzam Jamat, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM)

Reports by:
Admin UMP News