‘Motor Merdeka Atuk’ pupuk nilai patriotik dan kasih sayang
PEKAN, 30 Ogos 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) membawakan drama pendek bertajuk ‘Motor Merdeka Atuk’ sempena Hari Kemerdekaan Ke-67 yang akan diraikan pada 31 Ogos nanti.
Drama pendek ini bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan warga UMPSA dan rakyat Malaysia.
‘Motor Merdeka Atuk’ merupakan hasil karya Muhammad Aiman Nasriq Mohd Roslan pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).
Drama pendek ini menampilkan lima watak utama iaitu Atuk, Angah, Muzaffar, Kimi dan Arvin.
Pegawai Tadbir Kanan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMPSA, Hazman Abdul, membawa watak sebagai ‘Atuk’.
Manakala watak ‘Angah’ pula dilakonkan oleh Muhammad Amirul Adam Mohd Nazri dari Fakulti Komputeran, watak ‘Muzaffar’ dimainkan oleh Muhammad Aqil Izzat Azaman dari Fakulti Pengurusan Industri, watak ‘Kimi’ dilakonkan oleh Muhammad Danial Hariz Mohd Firdaus dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif dan Arrvindra a/l Rajendran melakonkan watak sebagai Arvin.
Drama pendek ini turut menampilkan Siti Nur Fatimah Mohd Azli dari Fakulti Pengurusan Industri yang membawa watak sebagai ‘mekanik’.
‘Motor Merdeka Atuk’ merupakan sebuah drama pendek yang mengisahkan empat orang anak muda mahasiswa UMPSA yang mahu meraikan cuti sambutan kemerdekaan dengan cara mereka sendiri yang lebih kepada hiburan dan keseronokan walaupun beberapa cadangan sambutan berbentuk lebih patriotik dikemukan.
Ketika dalam perjalanan menuju ke destinasi, kereta yang dinaiki mereka secara tiba-tiba mengalami kerosakan di hadapan sebuah rumah.
Mereka meminta pertolongan seorang Atuk yang mediami rumah tersebut untuk mencari mekanik di kawasan berkenaan.
Sementara menanti kereta mereka dibaik pulih, mereka berkesempatan untuk berbual dan mengetahui kisah Atuk.
Luahan dan hasrat Atuk menyebabkan mereka terpanggil untuk menunaikannya walaupun ada yang menentang kerana bimbang terlewat untuk sampai ke destinasi.
Motor roda tiga milik Atuk telah dihias cantik dan mengembalikan kenangan bersama anak perempuannya yang telah lama tidak pulang.
Empat anak muda ini berasa puas dan gembira kerana berjaya mengembalikan kenangan dan kecerian atuk.
Ada beberapa konflik yang berlaku di antara mereka dalam memenuhi hasrat hati dan tuntutan nurani untuk menggembirakan hati seorang warga emas.
Drama pendek ‘Motor Merdeka Atuk’ akan disiarkan pada 31 Ogos ini di platform rasmi Youtube UMPSA TV.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 153 views