Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid hasilkan instrumen penilaian kepimpinan gunakan penunjuk utama bersandarkan nilai teras
PEKAN, 8 November 2023 – Pensyarah Pusat Sains Matematik (PSM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid Ab Hamid, 43 telah menghasilkan satu instrumen penilaian kepimpinan yang menggunakan penunjuk utama bersandarkan nilai teras.
Menyedari akan kepentingan nilai teras itu sendiri dalam mempengaruhi jati diri seseorang individu yang akan turut mempengaruhi citra individu tersebut yang akhirnya akan terpapar atau diterjemahkan dalam bentuk amalan atau gaya kepimpinan dalam mengurus sesebuah organisasi telah mengilhamkan beliau untuk menghasilkan penyelidikan ini.
Penyelidikan ini turut mendapat kerjasama daripada Pensyarah PSM, Profesor Madya Dr. Roslinazairimah Zakaria, Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FPI) Mejar Dr. Imaduddin Abidin dan Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Zainol Mustafa.
Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid, pengukuran kepada penguasaan atau pengamatan kepada nilai atau nilai teras ini boleh diintegrasikan ke dalam satu model pengukuran yang boleh diukur untuk menjana kecemerlangan organisasi.
“Dalam konteks kajian ini, model asas yang digunakan adalah Model Kecemerlangan Organisasi berasaskan Nilai Teras yang telah dibangunkan oleh penyelidik sebelum ini.
“Nilai teras yang menjadi tunjang kepada ciri-ciri kepimpinan yang patut ada atau dimiliki oleh seseorang pemimpin khususnya dalam organisasi seperti universiti.
“Instrumen yang dibina merupakan tambah baik kepada instrumen sedia ada yang selari dengan perkembangan semasa untuk mengukur tahap penguasaan nilai oleh pemimpin universiti.
“Ia akan memberi kesan kepada faktor-faktor lain seperti budaya dalam universiti, objektif dan strategi, pengurusan sumber, pengurusan perubahan, inovasi dalam organisasi, amalan-amalan terbaik, produktiviti, pekerja itu sendiri dan pemegang taruh yang mana, kesemua faktor ini akan turut memberi kesan kepada prestasi keseluruhan organisasi.
“Maka, instrumen yang dibina amat wajar dan penting dalam mengukur tahap penguasaan dan amalan kepimpinan berasaskan nilai teras ini,” jelasnya.
Penyelidikan ini telah bermula sejak tahun 2009 lagi, namun item-item di dalam soal selidik ini ditambah baik bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan instrumen yang dibina adalah benar-benar mengukur apa yang ingin diuji dan menepati tujuan instrumen ini dibangunkan.
Tambahnya, produk yang dihasilkan adalah satu instrumen penilaian atau dengan kata lain, soal selidik yang dibina berdasarkan item-item yang didapatkan melalui kajian kepustakaan dan perbincangan kumpulan berfokus sebelum ini.
“Soal selidik yang telah melalui proses kesahan kandungan dan kesahan pakar turut diuji secara statistik bagi memastikan item-item yang benar-benar ‘kuat’ digunakan di dalam kajian.
“Apabila selesai semua proses awalan tadi, data-data akan dikutip melalui instrumen ini dan analisis akan dibuat secara deskriptif mahupun pemodelan yang bersesuaian berdasarkan objektif kajian yang ingin dicapai.
“Projek penyelidikan ini telah mendapat pembiayaan daripada Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) melalui geran AKEPT Intellectual Discourse (ID) Research,” katanya.
Menurut beliau, bagi kos yang terlibat dalam melatih peserta atau organisasi yang ingin mendapat latihan melalui satu Model Kecemerlangan berasaskan Nilai Teras dan sesi pendedahan kepada nilai-nilai teras organisasi dan aspek-aspek pengukuran, kos sebenar masih belum dapat diperincikan kerana pembangunan aplikasi sedang dirancang.
Pada masa hadapan, beliau merancang untuk membina satu aplikasi yang memudahkan responden menjawab soal selidik yang diberikan secara dalam talian dan pada masa yang sama dapat melihat analisis statistik yang mudah melalui dapatan yang diberikan oleh responden.
“Matlamat utama bagi instrumen yang dibangunkan adalah untuk memberikan gambaran utama yang jelas tentang pengamalan atau anutan kepada aspek nilai atau nilai teras oleh seorang pemimpin atau bakal pemimpin universiti.
“Ia penting dalam memacu institusi dan pengukuran dibuat juga terhadap faktor-faktor lain yang terkesan oleh kepimpinan seperti budaya dalam universiti, objektif dan strategi, pengurusan sumber, pengurusan perubahan, inovasi dalam organisasi, amalan-amalan terbaik, produktiviti, pekerja, pemegang taruh dan kesemua faktor ini akan turut memberi kesan kepada prestasi universiti.
“Hakikatnya, instrumen ini boleh dijadikan sebagai tolok ukur dalam melantik pemimpin dalam universiti,” ujarnya.
Katanya, jika seseorang dilantik memegang jawatan dalam universiti, kita juga dapat mengukur anutan atau amalan kepada setiap faktor dalam model kecemerlangan berasaskan nilai teras tadi, yang akhirnya memberi impak kepada kecemerlangan atau prestasi sesebuah institusi.
Sebelum ini, beliau pernah memenangi pingat emas bagi penyelidikan ‘Value-based Assessment Tool for University Leadership’ dalam Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) 2022 dan projek penyelidikan bertajuk ‘Innovation Excellence Framework for Malaysian Higher Education Institutions: A Statistical Modelling Approach’ dalam CITREX 2014.
Beliau juga memperoleh pingat perak bagi projek penyelidikan ‘Developing A Core Values Measurement Scale for University Staff: UniCoVa Instrument ‘dalam CITREX 2015, projek penyelidikan bertajuk ‘Structural Equation Modeling (SEM) On Value-Based Performance Excellence Model for Higher Education Institutions (HEIs): A Comparison Between Maximum Likelihood (ML) And Partial Least Squares (PLS) Estimation Technique’ dalam CITREX 2012.
Beliau turut mendapat pingat gangsa bagi projek penyelidikan ‘Statistical Validation of Value-Based Performance Excellence Model: A Partial Least Square (PLS) Methodology’5’ dalam CITREX 2011, projek penyelidikan ‘Uni-Cova dalam CITREX 2016 dan projek penyelidikan Value-Based Performance Excellence Model for Malaysian Public Universities: A Structural Equation Modeling (SEM) Approach’ dalam Ekspo Inovasi Islam 2011 (i-Inova’11).
Pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 11 hingga 12 Mei 2023, penyelidikan ini turut meraih pingat perak.
Disediakan oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 119 views