Skip to main content

UMPSA tuan rumah Kejohanan Akhir MLBB: ROCT 2023, perkasa e-sukan mahasiswa IPT

PEKAN, 22 November 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) buat julung kalinya menjadi tuan rumah dalam pentas kejohanan akhir sukan elektronik (e-sport) atau e-sukan Mobile Legends Bang Bang: Rise of Champions Tournament 2023 (MLBB: ROCT 2023) bagi peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Program anjuran UMPSA melalui Fakulti Komputeran dengan kerjasama strategik HUAWEI AppGallery itu merupakan usaha kolaboratif bagi menggalakkan mahasiswa IPT untuk terlibat secara aktif dalam e-sukan di samping memartabatkan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain mempromosikan UMPSA sebagai sebuah universiti teknikal yang membabitkan pengajian TVET.

Inisiatif ini juga yang turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Esports Integrated (ESI), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Esports Pahang menunjukkan sinergi yang kukuh antara pelbagai entiti dalam menyokong inisiatif kerajaan bagi mempromosikan Malaysia sebagai hab pembangunan industri e-sukan.

UMPSA tuan rumah Kejohanan Akhir MLBB

Dekan Fakulti Komputeran, Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar Kamaludin hadir mewakili Naib Canselor UMPSA merasmikan Majlis Penutup MLBB: ROCT 2023 hari ini. 

Hadir sama Pengurus Operasi Huawei Consumer Business Group, Michael Ding Hok Hing, Presiden Persatuan Sukan Elektronik Pahang, Husyin Abd Murat dan Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Mu’azamir  Jili.

Turut hadir Ketua Pembangunan Bakat Teknologi Digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Sdn. Bhd., Nik Naharuddin Mohd Nasir dan Penolong Naib Presiden Growth & Programs Esports Integrated (ESI), Junaidi Al-Johari.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin mengucapkan tahniah atas penganjuran kejohanan yang bermatlamat bukanlah semata-mata untuk mempamerkan bakat atau kemahiran yang dimiliki, akan tetapi dapat memupuk nilai-nilai seperti semangat kesukanan, kecekapan strategi, kerja berpasukan serta semangat persaingan yang sihat dalam kalangan peserta.

“Kejohanan ini merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan peranan dan sokongan universiti terhadap perkembangan e-sukanm dalam kalangan mahasiswa. 

“Melalui program sebegini, kita menyediakan peluang kepada pelajar untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti yang mereka minati.
 
"Inisiatif ini juga dapat mendorong pelajar untuk mengeksplorasi potensi baharu dalam bidang e-sukan,” ujarnya.

Beliau juga percaya kejohanan e-sukan ini akan menjadi platform yang unggul untuk menonjolkan bakat dan kemahiran pelajar dalam bidang yang semakin berkembang ini. 
 
Perkembangan arena e-sukan yang pesat selaras dengan kemajuan teknologi dan kemunculan platform komunikasi dilihat mendapat perhatian tinggi khususnya dalam kalangan generasi milenial dan masa kini.
 
E-sukan tidak hanya dilihat sekadar permainan, malah ia berupaya membentuk sebuah industri baharu dengan pelbagai peluang pekerjaan yang mempunyai potensi besar dalam ekonomi digital.
 
Sementara itu, Pengarah Perniagaan Ekosistem Mudah Alih, Wilayah Asia Pasifik (APAC), HUAWEI Service (Hong Kong) Co. Ltd, Mr. Rei Xiao berkata, penganjuran kejohanan MLBB: ROCT 2023 dapat memberi kelebihan kepada kedua-dua komuniti pemain dan industri teknologi.
 
“Dalam konteks komuniti pemain, e-sukan berupaya menjangkau khalayak global yang dapat mewujudkan kepelbagaian dan persekitaran permainan yang dinamik, menggalakkan kerjasama antarabangsa serta mempromosikan pertukaran budaya. 

“Ia juga turut berupaya membuka peluang kepada jutaan individu untuk menjadi atlet elektronik yang profesional.
 
“Manakala dalam konteks industri teknologi, kejohanan e-sukan dapat menimbulkan permintaan terhadap inovasi baharu dalam perisian permainan, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi penyiaran (streaming) sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan dan evolusi industri secara keseluruhan,” katanya. 
 
Bertepatan dengan matlamat mempromosikan e-sukan dalam kalangan pelajar IPT di Malaysia, penyertaan MLBB: ROCT 2023 hanya terbuka kepada semua mahasiswa universiti awam dan swasta, politeknik, serta institusi yang diiktiraf di bawah status Premier Digital Tech Institution (PDTI) oleh MDEC.
 
MLBB: ROCT 2023 telah pun melalui beberapa pusingan pertempuran epik dalam talian termasuk pusingan kelayakan.

Perlawanan awal melibatkan 40 pasukan dan Peringkat Play-Off yang merupakan pusingan kalah mati antara 16 pasukan.
 
Kejohanan akhir MLBB: ROCT 2023 di UMPSA kali ini menyaksikan pertempuran akhir tiga pasukan teratas dari peringkat sebelumnya berentap untuk merebut gelaran juara iaitu pasukan UiTM All-Star dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), USM Vendetta (Universiti Sains Malaysia) dan ESC UTM | SAPU ALL (Universiti Teknologi Malaysia). 

UMPSA tuan rumah Kejohanan Akhir MLBB

 

Juara arena kejohanan MLBB: ROCT 2023 berjaya dirangkul oleh pasukan UiTM All-Star (UiTM), tempat kedua dirangkul oleh pasukan USM Vendetta (USM) dan diikuti tempat ketiga iaitu pasukan ESC UTM | SAPU ALL (UTM).

Juara MLBB: ROCT 2023 membawa pulang HUAWEI MatePad Pro 11-inci, manakala tempat kedua membawa pulang HUAWEI Watch GT3 dan tempat ketiga membawa pulang HUAWEI Freebuds SE.

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
ainaa adhreena