Kuantan: "Kami tiga beradik tidak pernah menduga berpeluang menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di bawah bumbung universiti yang sama," kata Nur Alya Syazwali Ahmad Jafri, 21.
Dia bersama pasangannya kembarnya, Nur Alya Syazwina, 21, serta adik mereka, Nur Alya Syafiqah, 19, antara 2,618 penuntut baharu yang mendaftar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini, semalam.
Nur Alya Syazwali berkata, keputusan memilih UMPSA dibuat atas nasihat dan cadangan ibu mereka, Raja Suiza Raja Hashim, 49, memandangkan jarak universiti berkenaan dengan kediaman keluarga di Kemaman, Terengganu tidak terlalu jauh.
Katanya, perjalanan yang mengambil masa kurang daripada sejam itu memudahkan keluarga untuk datang melawat mereka setiap minggu.
"Kami tidak sanggup membantah cadangan ibu dan memilih UMPSA untuk menyambung pengajian dalam bidang masing-masing, pasti ada hikmah di sebalik pilihan ini.
"Sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, saya dan Nur Alya Syazwina mahu menjadi contoh terbaik kepada adik-adik yang lain," katanya yang juga bekas pelajar Kolej Vokasional (KV) Kemaman.
Nur Alya Syazwali berkata, dia dan kembarnya memilih jurusan sains binaan bagi meneruskan kemahiran yang diperoleh ketika di KV.
Katanya, walaupun bidang itu mencabar, namun minat yang mendalam menjadi dorongan utama mereka.
"Saya dan Nur Alya Syazwina ditempatkan di UMPSA Kampus Paya Besar, manakala adik kami, Nur Alya Syafiqah di UMPSA Kampus Pekan.
"Walaupun berbeza kampus, kami tetap berbangga dapat berada di bawah naungan universiti yang sama.
"Ini kali pertama berjauhan daripada keluarga, tetapi tidak akan menjejaskan tumpuan kami untuk mencapai misi menggenggam segulung ijazah," katanya.
Sementara itu, Nur Alya Syafiqah yang juga bekas penuntut Kolej Komuniti Pahang meluahkan rasa syukur apabila permohonannya untuk melanjutkan pengajian di UMPSA menjadi kenyataan.
"Sebelum ini saya hanya melihat UMPSA dari jauh.
"Kini, saya berasa amat bertuah kerana menjadi sebahagian daripada penuntut universiti yang terkenal dalam bidang teknologi kejuruteraan ini," kata penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Minyak dan Gas) itu.