Skip to main content

31 pelajar kohort ke-3 Program Ijazah Dual BJTU–UMPSA diraikan dalam majlis ringkas di KLIA

SEPANG – 20 September 2024 - Kesedihan, kegembiraan dan pelbagai reaksi pelajar dan ibu bapa jelas terpancar di wajah masing-masing tatkala untuk melepaskan seramai 31 orang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi menyambung pengajian selama dua tahun setengah lagi di Beijing Jiaotong University (BJTU) untuk program kerjasama Ijazah Dual UMPSA–BJTU. 

Justeru, Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA), UMPSA telah mengadakan satu majlis ringkas di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk meraikan penerbangan pelajar UMPSA–BJTU kohort 3 ke Beijing, China. 

Program Ijazah Dual ini adalah di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

Daripada 31 orang pelajar, seramai lapan orang pelajar akan mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik manakala sepuluh orang lagi pelajar Kejuruteraan Mekanikal dan 13 pelajar Kejuruteraan Awam. 

31 pelajar kohort ke-3 Program Ijazah Dual BJTU–UMPSA  diraikan dalam majlis ringkas di KLIA

Hadir meraikan penerbangan pelajar ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan  Penolong Pengarah, BMI Unit Pembangunan Sebelum Perkhidmatan Luar Negara (OL), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Hanisah Fauzi turut serta bagi menyantuni pelepasan para pelajar ini di KLIA.

Dalam ucapan ringkasnya, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pelajar yang telah berjaya menghabiskan pengajian selama dua tahun di UMPSA dengan keputusan yang cemerlang sehingga melayakkan mereka untuk menyambung pengajian selama dua setengah tahun lagi di BJTU, China. 

31 pelajar kohort ke-3 Program Ijazah Dual BJTU–UMPSA  diraikan dalam majlis ringkas di KLIA

“Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada ibu bapa yang hadir kerana telah berjaya mendidik anak-anak sehingga mereka Berjaya.

“Saya  berharap para pelajar ini dapat menghabiskan pengajian di China dengan cemerlang dan kembali semula ke Malaysia untuk berkhidmat dan berbakti di negara ini sebagai seorang jurutera mahir. 

“Ucapan terima kasih juga kepada pihak JPA kerana terus menyokong UMPSA dalam melaksanakan Program Ijazah Dual dengan kerjasama rakan strategik universiti di Jerman, China dan Kazakhstan dan yang terkini dengan Korea Selatan,” ujarnya. 

Manakala Hanisah Fauzi pula berharap agar pelajar dapat menggunakan peluang ini untuk belajar bersungguh-sungguh dan kembali semula ke Malaysia dengan keputusan yang cemerlang serta seterusnya berbakti untuk negara ini. 

Sementara itu, wakil ibu bapa pelajar Tuan Haji Mashadi Dato’ Haji Mustafa merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak UMPSA dan JPA kerana telah memberi peluang kepada anak-anak mereka untuk belajar di luar negara. 

Beliau berharap agar anak-anak yang telah diberi peluang ini menjaga nama baik negara, UMPSA, pihak penaja JPA dan tidak ketinggalan menjaga nama baik keluarga masing-maisng. 

Penghantaran pelajar Ijazah Dual UMPSA-BJTU bagi kohort ketiga ini diadakan oleh pihak UMPSA bagi memenuhi keperluan syarat lulus bergraduasi untuk program ijazah dual antara UMPSA dengan pihak BJTU berdasarkan kepada perjanjian Memorandum Perjanjian antara UMPSA dengan BJTU, China pada 6 Julai 2021.  

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad