41 pelajar UMPSA kumpulan pertama terima pangkat Leftenan Muda PASKAM
GAMBANG, 9 Ogos 2025 - Seramai 41 kadet Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya menamatkan latihan siri pertama dan menerima pemakaian pangkat Leftenan Muda dalam satu majlis penuh istiadat yang berlangsung di Dewan Astaka, UMPSA Kampus Gambang hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama (Maritim), Haji Mazlan Mat Rejab dan turut dihadiri oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias serta pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersempena dengan Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM UMPSA Siri 1/2023.
Program ini merupakan julung kali diadakan sejak penubuhan PASKAM UMPSA pada 17 Ogos 2023 lalu.

Dalam ucapannya, Laksamana Pertama (Maritim) Haji Mazlan Mat Rejab menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian kadet yang telah mempamerkan disiplin tinggi, semangat berpasukan serta ketahanan fizikal dan mental sepanjang latihan.
“Penubuhan PASKAM di universiti awam (UA) memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang tugas dan tanggungjawab APMM, di samping membentuk jati diri dan kepimpinan generasi muda untuk masa depan negara.
“Menjaga keselamatan perairan negara bukan hanya tanggungjawab APMM semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pelajar dan masyarakat.
“PASKAM menjadi platform untuk memupuk kesedaran isu maritim dan semangat cintakan negara,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias turut menyifatkan penglibatan pelajar dalam badan beruniform seperti PASKAM sebagai wadah strategik untuk melahirkan graduan holistik yang memiliki keseimbangan akademik, sahsiah, disiplin dan kemahiran insaniah.
“Latihan PASKAM bukan sekadar memenuhi keperluan kokurikulum, tetapi membina karakter unggul, daya tahan dan kepimpinan yang diperlukan dalam dunia sebenar.
“Kejayaan hari ini adalah permulaan kepada tanggungjawab lebih besar sebagai duta nilai dan kepimpinan UMPSA di persada nasional dan antarabangsa,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Pengarah Sumber Manusia Ibu Pejabat APMM, Mohd Hamzah Murgayah Abdullah dan Penolong Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Pembangunan Pelajar), Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar.
Program latihan PASKAM UMPSA dilaksanakan dengan kerjasama Cawangan Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSMM) dan PASKAM, Bahagian Sumber Manusia APMM, serta Akademi A.D.A.B dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UMPSA.
Modul latihan turut melibatkan Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) yang memberi penekanan kepada disiplin, kepimpinan, pengurusan masa dan kerja berpasukan.
Majlis turut menyaksikan 3 orang kadet sebagai penerima dengan Anugerah Kadet Terbaik PASKAM Siri 1/2023 iaitu Anugerah Kadet Terbaik Keseluruhan, Anugerah Kadet Terbaik Latihan Luar dan Anugerah Kadet Terbaik Akademik.
Anugerah Kadet Terbaik Keseluruhan dianugerahkan kepada Leftenan Muda PASKAM Nurwaldan Wasiq Khairul Nizar yang kini menuntut dalam jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA).
Anugerah Kadet Terbaik Latihan Luar pula dianugerahkan kepada Leftenan Muda PASKAM Muhammad Amirul Hakim Bizun yang menuntut dalam jurusan Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP)
.
Manakala Anugerah Kadet Terbaik telah dianugerahkan kepada Leftenan Muda PASKAM Eeswarri a/p Mani Wanan sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Kepujian di Fakulti Pengurusan Industri (FPI).
Majlis ini menandakan kejayaan fasa pertama PASKAM di UMPSA dan diharap dapat terus melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berperanan aktif sebagai agen perubahan dan pemimpin masa hadapan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 68 views
Reports by: