Skip to main content

Karnival STEMBOT AI Week UMPSA 2024 pencetus minat STEM pelajar sekolah

PEKAN, 23 November 2024 – Seramai 200 pelajar sekolah dan guru dari 40 buah sekolah sekitar Pahang telah menyertai Karnival STEMBOT AI Week UMPSA 2024 yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pekan, baru-baru ini. 

Karnival anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) itu diadakan sebagai salah satu usaha memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dekan FTKMA, Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad

Dalam ucapannya, Profesor Dr. Mahadzir menekankan mengenai kepentingan program sebegini dalam membina kemahiran pelajar dalam teknologi moden. 

“Terima kasih dan sekalung penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk guru-guru, ibu bapa, dan sukarelawan atas komitmen dalam memastikan karnival ini berjaya mencapai objektifnya. 

“Program yang mempamerkan bakat dan kemahiran ini mempertandingkan tiga kategori iaitu Sumo Robot 1 kg, khusus untuk pelajar sekolah di negeri Pahang, Soccer Robot 2kg untuk pelajar sekolah di negeri Pahang dan Soccer Robot 5kg, terbuka kepada semua pencipta robot. 

“Setiap kategori pemenang, tempat pertama akan menerima wang tunai RM700, tempat kedua menerima wang tunai RM 350 dan tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM 150,” ujarnya. 

Manakala menurut Pengarah Program, Ts. Idris Mat Sahat, menyatakan rasa syukurnya terhadap sambutan menggalakkan yang diterima bagi penganjuran program yang julung kali diadakan ini.

“Sambutan yang memberangsangkan, Karnival STEMBOT AI Week dijangka menjadi platform tahunan untuk pelajar sekolah dan institusi pendidikan mengembangkan bakat mereka dalam bidang teknologi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan STEM di Malaysia.

“Program ini bukan sahaja merupakan medan untuk bersaing tetapi juga satu platform pembelajaran praktikal dalam bidang robotik dan kecerdasan buatan. 

“Ia juga membuktikan kemampuan pelajar untuk berinovasi dan berdaya saing,” katanya. 

Bagi kategori Sumo 1Kg, tempat pertama telah dimenangi oleh Kumpulan Sergam 2 dari Sekolah Kebangsaan Gambang. 

Tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Kumpulan Ubai Team dari Sekolah Kebangsaan Ubai dan Kumpulan Robopoland dari Sekolah Menengah Kebangsaan Paloh Hinai.

Bagi Kategori Soccer 2 Kg pula, tempat pertama telah dimenangi oleh kumpulan Gohillians Promax dari Sekolah Kebangsaan (LKTP) Bukit Goh.

Tempat kedua dimenangi oleh JJMaker dari Sekolah Kebangsaan  Jerantut Jaya dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Putrabot dari Sekolah Menengah Kebangsaan Lepar Utara.

Manakala kategori Soccer 5kg, tempat pertama telah dimenangi oleh kumpulan Robobuas dari UMPSA, tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Sharoc Kickers dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajjah Kalsom serta tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Rofa dari Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (IKBN), Pekan.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris