Mahasiswa UMP wakili negara ke Forum Kepimpinan Pelajar Rangkaian Universiti Teknologi Asia 2023
SURABAYA, 17 Mei 2023 - Forum Pemimpin Pelajar Rangkaian Universiti Teknologi Asia (ATU-Net) 2023 yang telah berlangsung di Universitas Airlangga Surabaya Indonesia selaku tuan rumah pada 15 hingga 17 Mei lalu menyaksikan penyertaan dua orang wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Pahang (MPP UMP) iaitu Naib Yang di-Pertua Jabatan Komunikasi Korporat MPP UMP, Ahmad Zulfakhrol Helmi Zamri dan Setiausaha Jabatan Perkhidmatan Mahasiswa MPP UMP dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) iaitu Muhammad Shafiq Danial Eizmeer Johar.
Penyertaan mahasiswa UMP ini turut melibatkan penyertaan 30 orang lagi pemimpin pelajar dari Rangkaian Universiti Teknologi Asia seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Cebu Technological University, Filipina, Institut Teknologi Bandung, Universiti Teknologi Brunei, Phenikaa University Vietnam dan lain-lain universiti yang merupakan ahli dalam Rangkaian Universiti Teknologi Asia.
Menurut Ahmad Zulfakhrol, forum ini merupakan platform pemimpin muda bertukar-tukar maklumat, pendapat dan pandangan dalam isu berkaitan teknologi hijau di negara masing-masing di samping membina jaringan antara pemimpin mahasiswa dari universiti lain sekitar Asia untuk kerjasama strategik lain di masa depan.
“Forum ini turut berperanan dalam memberi inspirasi dan menggalakkan para pemimpin muda untuk memacu perubahan positif dan memanfaatkan kecanggihan teknologi yang ada untuk masa depan dunia yang mampan,” katanya.
Baginya, peluang keemasan ini merupakan peluang menyertai aktiviti dan perbincangan intelektual bersama panel jemputan yang pakar dalam bidang alam sekitar, kelestarian, teknologi dan isu pemimpin belia.
Dalam program yang sama turut menyaksikan Muhammad Shafiq dan rakan sepasukannya dari universiti lain memenangi Kategori Projek Lestari Pilihan Ramai.
Program yang telah diselaraskan melalui Pusat Hubungan Antarabangsa UMP (CIR) ini merupakan acara tahunan yang dilaksanakan bagi membincangkan idea-idea baharu, peranan dan fungsi pemimpin belia mahasiswa melalui pengaplikasian inovasi dan teknologi di samping menekankan aspek kelestarian dan alam sekitar.
Dengan tema ‘Peranan kepimpinan belia dalam inovasi teknologi pesat dan dunia hijau yang mampan’ forum ini mampu memberi pendedahan buat pemimpin mahasiswa menjadi barisan hadapan dalam memperjuangkan isu-isu alam sekitar dan kelestarian alam.
Disediakan oleh: Muhammad Aizat Azed, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni
- 111 views