Skip to main content

Marsya Iwani Syahirah, pelajar baharu UMPSA sambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Teknologi

GAMBANG, 8 Mac 2025 - Marsya Iwani Syahirah Mohd Izwan merupakan pelajar baharu di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan akan memulakan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi (Tenaga dan Persekitaran) dengan Kepujian. 

Marsya, yang merupakan anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu kini melangkah ke alam universiti setelah berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma. 

Marsya memulakan perjalanan akademiknya dengan mengikuti program Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembinaan (Bangunan Hijau) di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading, dengan memperoleh PNGK cemerlang 3.98. 

Katanya, beliau memilih UMPSA sebagai destinasi pendidikan kerana menawarkan kurikulum yang menyeluruh dan sesuai dengan cita-citanya untuk mendalami bidang Bangunan Hijau lebih lanjut.

“Saya amat gembira dan bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada warga UMPSA. 

“Sejak di sekolah menengah lagi, saya sudah berminat dengan bidang Kejuruteraan

“UMPSA memberi peluang terbaik untuk saya terus melangkah jauh dalam bidang ini,” ujarnya. 

Sepanjang pengajiannya di UMPSA, Marsya berharap dapat memperoleh bimbingan yang berguna dan pengetahuan yang relevan dengan kehendak industri. 

“Saya berhasrat untuk memberi sumbangan yang signifikan kepada negara apabila melangkah ke alam pekerjaan nanti. 

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu saya yang sentiasa memberi sokongan padu, serta kepada kakak, adik, atok dan nenek yang sentiasa berada di sisi saya. 

“Terima kasih juga kepada pihak UMPSA yang memberi peluang kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada institusi ini.

Tambahnya lagi, tanpa pengorbanan arwah ayahnya, sudah tentu beliau tidak akan berada di sini pada hari ini. 

Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias turut meluangkan masa bertemu dengan Marsya semasa sesi pendaftaran pelajar baharu dan turut menitipkan kata-kata semangat kepadanya. 

Semoga perjalanan pendidikan Marsya di UMPSA akan terus sukses dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar cita-cita mereka. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Naqiah Puaad