Pasangan kembar antara pelajar sulung tajaan YDD di UMPSA
GAMBANG, 22 Ogos 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima kunjungan hormat daripada Yayasan DayaDiri (YDD) yang membincangkan fokus hala tuju kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam memperkukuh inisiatif penajaan Program Ijazah Dual UMPSA.
Pertemuan itu turut menjadi peluang pertama pihak YDD bertemu dengan tiga pelajar tajaan mereka di UMPSA iaitu pasangan kembar, Putri Nur Amieza dan Putri Nur Amiera, serta Muhammad Rayyan Syahmie.
Delegasi YDD telah disambut mesra oleh Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Abd Rahman Haji Safie, Pengarah Kanan Perkhidmatan Akademik, Ernie Nurazlin Lizam, Pengarah Pusat Senat dan Pentadbiran (Seksyen Penajaan dan Pembiayaan Akademik), Nor Ashikin Sulaiman, serta Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan, Zainal Bahari.
Turut hadir mewakili YDD ialah Ketua YDD, Siti Nashrah Nur bersama dua orang Pengurus Program iaitu Ain Aqilah dan Syarifah Maryam.
Menurut Siti Nashrah Nur, YDD merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang memberi fokus dalam menaja pelajar cemerlang Bumiputera daripada keluarga B40 bermula pada peringkat asasi hingga tamat pengajian di luar negara.
“Kehadiran pelajar-pelajar tajaan ini menggambarkan komitmen YDD dalam membuka ruang pendidikan tinggi kepada pelajar berpotensi.
“Ia juga memberi harapan baharu agar lebih ramai pelajar Bumiputera B40 dapat dibantu dan diberi peluang untuk melanjutkan pengajian ke luar negara pada masa hadapan,” katanya.
Menurut Nor Ashikin pula, sokongan daripada YDD amat bermakna kerana dapat membuka peluang kepada pelajar-pelajar untuk menyambung pengajian dalam program ijazah dual di UMPSA.
“Ia juga memberikan nilai tambah kepada pelajar dalam perspektif antarabangsa, sekali gus menjadikan mereka lebih kompetitif di pasaran kerja kelak,” ujarnya.
UMPSA menyambut baik kerjasama ini sebagai salah satu langkah dalam memperkukuh agenda pendidikan negara dan berharap usaha bersama ini dapat membuka lebih banyak peluang untuk melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global.
Disediakan Oleh: Nurul Maisara Awang, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa
- 68 views
Reports by: