Pelajar PERMAS UMPSA terajui forum antarabangsa, gilap kepimpinan di Universiti Tokyo
TOKYO, JEPUN, 14 November 2026 – Penglibatan mahasiswa dalam platform akademik antarabangsa terus diperkasa apabila Sekretariat Persatuan Anak Selangor (PERMAS), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diberi kepercayaan menjadi tenaga penggerak dalam penganjuran sebuah forum akademik antarabangsa di The University of Tokyo, Jepun.
Penganjuran forum itu mencerminkan keupayaan mahasiswa UMPSA untuk tampil sebagai pemangkin wacana ilmu merentasi sempadan, selain membuka ruang perkongsian pandangan dan pertukaran idea dalam kalangan komuniti akademik antarabangsa.
Forum berkenaan dianjurkan bersempena dengan program mobiliti antarabangsa Mirai No Tobira 2.0: Tokyo 2026, anjuran Sekretariat PERMAS UMPSA dengan kerjasama Pusat Kerjasama Akademik dan Mobiliti (CACM) UMPSA.
Penglibatan PERMAS UMPSA sebagai tenaga penggerak turut memperlihatkan peranan persatuan mahasiswa dalam memperluas jaringan akademik universiti, sekali gus mengangkat nama UMPSA di pentas global.
MIRAI NO TOBIRA yang bermaksud ‘Gerbang Masa Hadapan’, kini telah memasuki siri kedua anjuran PERMAS UMPSA yang sebelum ini berlansung pada tahun 2025 di World Expo Osaka, Jepun.
Selain University Tokyo, program ini telah mendapat kerjasama daripada Malaysia Japan Academic Association (MJAA), serta Malaysian Japan Academic Association (MSAJ) selaku rakan penganjur.
Program ini telah menjadi medan buat para pelajar UMPSA menimba pengalaman silang budaya, khidmat komuniti sosial, penglibatan persijilan kompetensi serta kerjasama penganjuran program bersama entiti antarabangsa.
Dalam program ini, forum bertajuk ‘Bridging Innovation: Engineering Next-Gen Sustainable Solutions Between Malaysia and Japan’ telah berjaya menampilkan tiga penceramah utama yang merupakan ahli akademik dan penyelidik dari universiti berprestij, Universiti Tokyo.
Buat julung kalinya, sesi program antarabangsa ini juga telah berjaya dijalankan secara dalam talian dengan kehadiran mencecah hampir 1,000 peserta daripada komuniti Malaysia dan Jepun.
Sesi pertama dimulai oleh Dr. Amy Poh Ai Ling dengan pengisian bertajuk ‘Circular Economy in Japan: Best Practices, Challenges & Opportunities for Better World’.
Seterusnya, para peserta diberi pendedahan tentang amalan baik seorang graduan oleh penceramah kedua iaitu Dahlia Sheherazade Aishah dengan tajuk ‘Academic Integration: Research & Study Experiences in Japan’
Selain itu, para peserta juga telah menerima ucapan hormat dan alu-aluan daripada wakil akademik dan pengurusan Universiti Tokyo iaitu Profesor Dr. Kenji Tanaka.
Setelah sesi forum berakhir, delegasi turut berpeluang dibawa berkunjung ke Koshiba Hall dan Science Gallery, yang menampilkan pencapaian terulung dalam penyelidikan, penemuan saintifik serta sumbangan berimpak tinggi oleh barisan penerima berprestij Hadiah Nobel.
Lawatan ini telah memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka persekitaran kampus, akses dan kemudahan penyelidikan universiti bertaraf antarabangsa, serta peluang cetusan inspirasi daripada pencapaian saintifik dari seluruh dunia.
Menurut Pengarah Program, Muhammad Aizat, penglibatan program sebegini telah memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar dalam pengurusan forum antarabangsa, koordinasi program yang cekap dan sistematik, serta kerjasama bersama komuniti pelajar dari Malaysia dan Jepun.
“Program ini juga membuka ruang kepada pengukuhan jaringan akademik antarabangsa antara pelajar, serta menyokong usaha melahirkan graduan kejuruteraan yang kompeten, berdaya saing dan berpandangan global,” ujarnya.
Selain itu, Putera Amierun Nierzar Fahmi Mohd Nazir turut menjelaskan, ini merupakan suatu pengalaman berharga buat dirinya kerana telah mendapat peluang pendedahan yang sebegini luas,walaupun dirinya masih bergelar pelajar semester 1 peringkat diploma.
“Pengalaman ini bukan sahaja memperluas perspektif akademik dan meningkatkan kemahiran insaniah pelajar, malah turut membina keyakinan untuk berinteraksi dalam persekitaran tanpa sempadan,” katanya.
Delegasi pelajar merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pusat Kerjasama Akademik & Mobiliti (CACM) UMPSA, barisan penaja iaitu Yayasan Taqwa dan Malaysia Board of Technologist (MBOT), atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang gerak kerja dan perjalanan untuk menjayakan program mobiliti antarbangsa Mirai No Tobira: Tokyo 2:0.
Delegasi pelajar di Koshiba Hall Noble Recepient dan Science Gallery, The University of Tokyo, Jepun.


Disediakan Oleh: Professor Madya Ts. Dr. Abdul Nasir Abd. Ghafar, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik
- 14 views
Reports by: