Skip to main content

PETAKOM UMPSA santuni pelajar wanita fokus kepentingan penjagaan kebersihan

PEKAN, 15 Mac 2025 – Persatuan Mahasiswa Teknologi Komputer (PETAKOM), Fakulti Komputeran (FK) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Yayasan UMPSA telah menyerahkan Sumbangan Tabung We Care PETAKOM: Women's Care berupa pek tuala wanita kepada 2,000 pelajar wanita. 

Inisiatif ini disalurkan kepada semua fakulti di UMPSA bagi memastikan semua penerima mendapat manfaat secara menyeluruh.

Sesi serahan sumbangan ini telah dilaksanakan dengan kehadiran semua presiden kelab fakulti UMPSA yang mewakili komuniti pelajar fakulti masing-masing. 

Menurut Presiden PETAKOM, Muhammad Zakiyuddin Bin Noor Azidy, inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebersihan diri dalam kalangan pelajar wanita serta meringankan beban mereka, khususnya yang menghadapi kesukaran mendapatkan keperluan asas semasa di kampus.

“Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan dalam memastikan kebajikan pelajar terus dipelihara dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG), khusunya SDG 3: Sokongan Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik. 

“Kami memahami bahawa kebersihan diri adalah aspek penting dalam kesejahteraan pelajar, dan dengan adanya inisiatif Women's Care ini, kami berharap ia dapat membantu mereka dalam saat memerlukan. 

“Inisiatif Women's Care ini juga bukan sesuatu yang baharu kerana ia telah dimulakan terlebih dahulu di FK oleh PETAKOM dengan penyediaan tuala wanita secara percuma di setiap tandas wanita di fakulti tersebut. 

“Inisiatif yang menerima sambutan mengalakkan ini kemudiannya diperluaskan lagi dengan pemberian sumbangan kepada semua kelab fakulti di UMPSA inim” katanya. 

Sumbangan ini turut menerima sambutan positif daripada para pelajar yang menyatakan penghargaan terhadap usaha dan keprihatinan PETAKOM dan Yayasan UMPSA dalam membantu komuniti kampus yang turut memberi impak besar dalam kehiduapan harian mereka. 

Ini membuktikan bahawa inisiatif Tabung We Care PETAKOM bukan sahaja memanfaatkan pelajar FK malahan kesemua pelajar UMPSA. 

Sumbangan turut disalurkan oleh Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Syarikat Rainbow Girl.

PETAKOM dan Yayasan UMPSA berharap agar lebih banyak pihak tampil menyokong inisiatif kebajikan seperti ini demi kesejahteraan pelajar secara menyeluruh. 

Dengan semangat kerjasama dan keprihatinan, kampus yang lebih inklusif dan mesra pelajar dapat diwujudkan.

Disediakan Oleh : Kishern A/L Suras Kumar, Timbalan Presiden 2 Petakom, Fakulti Komputeran

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News