PETAKOM UMPSA serah sumbangan RM10,000 kepada 100 pelajar menjelang Hari Raya Aidilfitri 2025
PEKAN, 19 Mac 2025 – Dalam semangat menyambut Syawal yang bakal tiba, Persatuan Mahasiswa Teknologi Komputer (PETAKOM), Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Yayasan Taqwa, Yayasan Bushra dan Yayasan UMPSA telah mengadakan sesi serahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM10,000 kepada 100 orang pelajar UMPSA.
Inisiatif ini khusus ditujukan kepada pelajar FK yang terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim, serta mereka yang kurang berkemampuan.
Menurut Presiden PETAKOM, Muhammad Zakiyuddin Bin Noor Azidy, program ini merupakan sebahagian daripada usaha PETAKOM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG), khususnya SDG 1: Tiada Kemiskinan dan SDG 2: Kelaparan Sifar.
“Dengan memastikan bantuan kebajikan sampai kepada pelajar yang memerlukan, ia sekali gus dapat meringankan beban mereka menjelang hari raya yang bakal tiba tidak lama lagi, agar mereka dapat menyambutnya dengan lebih bermakna dan ceria.
“Program ini juga merupakan salah satu inisiatif di bawah Tabung We Care PETAKOM, yang bertujuan untuk memastikan kebajikan pelajar terus terbela melalui pelbagai bentuk sokongan dan bantuan,” ujarnya.
Dekan FK, Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar Kamaludin berkata, program ini bukan sahaja bertujuan untuk menyampaikan bantuan dalam bentuk wang tetapi juga sebagai tanda sokongan moral kepada pelajar yang memerlukan.
“Kami ingin memastikan bahawa setiap pelajar dapat menyambut hari raya dengan kegembiraan, tanpa perlu merasa terbeban dengan kekangan kewangan,” katanya.
Sumbangan ini mendapat sokongan penuh daripada Yayasan Taqwa, Yayasan Bushra, dan Yayasan UMPSA yang sentiasa komited dalam membantu pelajar yang memerlukan.
Manakala menurut Penolong Eksekutif Pentadbiran Yayasan UMPSA, Nor Azlina Ahmad, beliau amat menghargai usaha PETAKOM dalam menjayakan program kebajikan seperti ini.
“Semoga lebih banyak inisiatif seperti ini dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan pelajar,” ujarnya.
Para penerima menyatakan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diberikan.
PETAKOM berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan lebih banyak sokongan daripada pihak berkaitan.
Dengan adanya inisiatif seperti ini, diharapkan kebajikan pelajar UMPSA terus terbela, seiring dengan usaha membina komuniti kampus yang inklusif, prihatin dan lestari.
Turut hadir Pengarah Kewangan dan Pentadbiran Yayasan Bushra, Mohd Azrul Razak.
Disediakan Oleh : Kishern A/L Suras Kumar, Timbalan Presiden 2 Petakom, Fakulti Komputeran
- 161 views