Semarak Keluarga UMP sambut ambang merdeka meriah
PAYA BESAR, 30 Ogos 2022 – Lebih 600 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) teruja menyambut Hari Kebangsaan Malaysia Ke-65 setelah dua tahun tiada sambutan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Laungan keramat ‘Merdeka’ dengan penuh semangat patriotik bersama warga kampus bergema memecah kesunyian malam di kampus UMP tepat jam 12 tengah malam.
Mahasiswa turut menzahirkan semangat patriotik dengan menyertai Program Larian Malam Kemerdekaan sejauh tiga kilometer bermula pada jam 9.00 malam dalam program anjuran Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 4 (PEKA 4) dengan kerjasama Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP dan Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 3 (PEKA 3) bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-65 pada tahun ini.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, program ini diharapkan dapat menjadi titik permulaan dalam usaha kita mensejahterakan kehidupan warga UMP bagi menempuh pelbagai cabaran bersama sebagai sebuah keluarga, iaitu ‘Keluarga UMP’.
“Penganjuran program ini juga dapat memberi peluang mahasiswa menikmati kehidupan kampus setelah dua tahun PKP kebanyakan aktiviti tidak dapat dijalankan secara fizikal dan hanya dilaksanakan secara dalam talian.
“Pada masa yang sama, program ini dapat menyuntik semangat kecintaan kepada negara Malaysia yang berdaulat dan merdeka,” katanya.
Pihaknya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan kelancaran program ini.
Selain itu beliau turut mengucapkan terima kasih atas komitmen yang telah diberikan oleh pihak UMP Holdings dan semua penaja yang bersama-sama berganding bahu menjayakan program ini.
Manakala Pengerusi Majlis Pengetua Institusi Kefeloan UMP merangkap Pengetua Residen Pelajar 4, Nasrul Salim Pakheri, berkata, pihaknya sangat teruja dan bersyukur dengan komitmen mahasiswa yang cukup bersemangat menyertai program.
Sementara itu, bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) merangkap Pengarah Program, Wan Syazwan Wan Mohd Shukri, bersyukur kerana program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya berkat usaha dan penggembelengan tenaga seramai lebih kurang 70 orang jawatankuasanya sejak lebih sebulan lalu yang majoritinya terdiri daripada mahasiswa baharu UMP.
Manakala menurut pelajar Program Diploma Sains Komputer, Wan Aemer Hafiz Wan Swaid yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan berkata, beliau berasa sangat gembira dan teruja menyertai program sebegini kerana ia dapat meningkatkan semangat patriotisme dalam dirinya.
“Ia secara tidak langsung dapat membudayakan amalan gaya hidup sihat,” katanya.
Program turut dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian daripada tetamu istimewa iaitu Chik Asan, penyanyi lagu loghat Pahang dan pelbagai lagi persembahan menarik seperti deklamasi sajak, persembahan gendang Cina dan senamrobik daripada mahasiswa UMP serta pelajar dari Sekolah Kebangsaan Gambang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Gambang.
Disediakan oleh: Mohd. Mukhris Awang, Pusat Kesihatan UMP
- 127 views