UMPSA perluas jejak antarabangsa melalui mobiliti pelajar ke Kazakhstan
GAMBANG, 30 Mei 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh Agenda Pengantarabangsaan melalui Program Mobiliti Antarabangsa (Outbound) Tidak Berkredit ke Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan.
Majlis pelepasan rasmi telah diadakan hari ini di UMPSA bagi meraikan lima pelajar yang akan menyertai program secara fizikal di Kazakhstan, manakala tujuh pelajar lagi akan mengikuti program yang sama secara dalam talian.
Program itu dianjurkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) dengan kerjasama Pusat Hubungan Antarabangsa (PUHA) dan Pusat Pelajar Antarabangsa dan Mobiliti.
Majlis itu telah dirasmikan oleh Penolong Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (Pengantarabangsaan), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, yang menyifatkan program ini sebagai platform penting bagi membina pelajar berdaya saing dan berfikiran global.
Menurut Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah, program sebegini bukan sahaja membolehkan pelajar menimba ilmu dan memahami budaya luar, malah berperanan untuk membentuk sahsiah global serta meningkatkan daya saing graduan UMPSA di peringkat dunia.
“Saya berharap pelajar-pelajar yang terpilih ini dapat menjadi duta kecil negara dan juga universiti.
“Kutiplah segala ilmu dan pengalaman, dan bawalah pulang nilai-nilai yang boleh dikongsi dengan rakan-rakan di sini,” ujarnya dalam ucapan perasmian.
Turut hadir Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa (PUHA), Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi dan Pengarah, Pusat Pelajar Antarabangsa dan Mobiliti, Noor Syahidah Sabran.
Program itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UMPSA untuk memberi pendedahan antarabangsa kepada pelajar dan memperluaskan jaringan strategik universiti di peringkat global.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 34 views