UMPSA pilihan utama 5 sahabat dari Sabah sambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal (Petroleum)
GAMBANG, 8 Mac 2025 - Lima sahabat yang berasal dari Sabah hari ini mendaftar bersama-sama di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi memulakan pengajian mereka dalam program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Petroleum) dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP).
Para pelajar ini, yang berusia 22 tahun, merupakan lepasan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Kota Kinabalu, Sabah.
Menyambut kedatangan mereka, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed turut sama hadir semasa sesi pendaftaran mereka.
Mereka yang hadir tanpa keluarga itu telah disambut baik oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dengan menyediakan kemudahan pengangkutan untuk hadir ke UMPSA bagi sesi pendaftaran.
Muhammad Iqfan Sulaiman menerima insentif pendidikan berjumlah RM1,000, manakala Muhammad Nikman Merjuni pula menerima bantuan komputer riba.
Para pelajar ini turut dibawa membeli barang keperluan harian mereka.
Selain mereka berlima untuk kemasukan pelajar baharu, setiap tahun JHEPA dengan kerjasama semua fakulti turut melakukan program ziarah prihatin ke rumah-rumah bakal pelajar untuk bertanyakan mengenai bantuan dan keperluan untuk tujuan pendaftaran.
Pelbagai bantuan dan inisiatif serta kemudahan ditawarkan kepada pelajar-pelajar mengikut keperluan.
Mohammad Faried Ahmad yang berasal dari Sandakan menyatakan bahawa beliau sangat teruja untuk memulakan pengajian di UMPSA.
Beliau anggap sebagai salah satu universiti teknikal terbaik di Malaysia.
"Saya sangat gembira dan bangga dapat melanjutkan pelajaran di UMPSA kerana ia merupakan salah satu universiti teknikal terbaik di Malaysia.
“Harapan saya adalah untuk memperoleh keputusan dekan pada setiap semester," ujarnya.
Faried turut mengucapkan terima kasih kepada pihak UMPSA kerana memberi peluang untuk menyambung pengajian di universiti ini.
Muhammad Iqfan Sulaiman yang juga dari Sandakan, berkongsi bahawa latar belakang UMPSA yang menarik serta reputasinya sebagai universiti teknikal terbaik di Malaysia menjadi faktor utama beliau memilih untuk menyambung pengajian di sana.
Iqfan berharap dapat memberikan yang terbaik kepada UMPSA dan memperoleh keputusan cemerlang di setiap semester.
"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan UMPSA atas peluang yang diberikan," katanya.
Andi Ahmad Syazwan Atto pula dari Lahad Datu, juga berkongsi perasaan bangganya menjadi sebahagian daripada UMPSA.
Andi memilih UMPSA kerana ia terkenal sebagai universiti teknikal yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan, Teknologi, dan Sains Gunaan.
"Saya berharap dapat menguasai ilmu dalam bidang yang dipelajari untuk kegunaan dalam kerjaya sebenar," ujar Andi.
Mohd Nazril Izwan, yang juga berasal dari Kota Kinabalu, mengakui bahawa beliau merasa sangat bangga dan gembira kerana terpilih untuk menjadi mahasiswa UMPSA.
"Saya akan sentiasa berusaha untuk mencari dan mendalami ilmu serta berani mencuba perkara baharu sepanjang pengajian di UMPSA," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak universiti atas peluang yang diberikan.
Muhammad Nikman Merjuni yang berasal dari Sandakan pula berharap dapat memperoleh keputusan yang cemerlang sepanjang pengajiannya di UMPSA dan membanggakan keluarga.
"UMPSA sangat menarik dan merupakan salah satu universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang terkenal, jadi saya sangat berbangga menjadi sebahagian daripadanya," jelas Nikman.
Kelima-lima sahabat ini berkongsi semangat dan tekad yang tinggi untuk mengejar kejayaan di UMPSA.
Mereka amat menghargai peluang yang diberikan untuk melanjutkan pengajian di universiti ini dan berjanji untuk memberikan yang terbaik dalam pengajian mereka.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 135 views