Ziarah Prihatin Naib Canselor UMPSA bawa sinar harapan buat anak Kartunis Cendol, Arysha Rania
SHAH ALAM, 15 Julai 2025 – “Saya sangat bersyukur dan gembira, ini rezeki anak saya untuk belajar di universiti yang menjadi pilihan hatinya,” kata Shahrul Nizam atau lebih dikenali sebagai Kartunis Cendol tatkala menerima kunjungan istimewa daripada Naib Canselor,Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dr. Yatimah Alias dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Datin Nur Sharmila Shaheen.
Kunjungan sempena program Ziarah Prihatin Pelajar Baharu Diploma oleh UMPSA itu berlangsung di kediaman keluarga pelajar baharu, Arysha Rania Shahrul Nizam di Seksyen 17, Shah Alam.
Arysha yang merupakan anak sulung kepada pasangan Shahrul dan isterinya bakal melanjutkan pengajian ke program Diploma Kejuruteraan Elektrik di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UMPSA Pekan.
Menurut Shahrul, UMPSA merupakan pilihan utama anaknya dalam permohonan UPU.
“Dia memang minat dalam bidang Kejuruteraan, jadi bila ditawarkan di UMPSA iaitu tempat yang pertama dia pilih, kami berasa amat bersyukur,” ujarnya.
Tambah menggembirakan, Arysha turut menerima penajaan Dermasiswa B40 TVET dan bantuan komputer riba sekali gus meringankan beban keluarga bagi menghadapi sesi pengajian yang akan datang.
Bantuan itu disampaikan sendiri oleh Profesor Dr. Yatimah Alias semasa kunjungan tersebut.
Tambah Shahrul lagi, beliau sekeluarga terkejut apabila dimaklumkan Naib Canselor UMPSA sendiri akan datang ziarah.
“Tak sangka, seorang tokoh besar dalam universiti sudi turun padang dan bertemu sendiri dengan keluarga kami.
“Sangat tersentuh hati,” ujarnya.
Arysha terdahulu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seksyen 17 dan KAFAI Al-Amin, kemudian meneruskan persekolahan menengahnya di Sekolah Menengah Seksyen 16, sebelum melangkah ke Sekolah Menengah Teknik Tunku Jaafar di Seremban.
Keputusan akademik yang memberangsangkan telah membawanya ke UMPSA untuk menyambung pengajian dalam bidang yang diminatinya.
Malah, Shahrul juga berharap Arysha dapat menamatkan pengajiannya dengan cemerlang.
“Kalau ada rezeki, biarlah dia terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi juga di UMPSA,” tambahnya.
Program Ziarah Prihatin ini merupakan antara inisiatif Skuad Prihatin UMPSA yang digerakkan bagi menyantuni pelajar baharu daripada golongan B40, sekali gus memberikan sokongan moral dan keperluan asas bagi memulakan kehidupan di kampus.
Bagi pihak universiti, program seperti ini mencerminkan semangat rahmah dan cakna terhadap kebajikan mahasiswa, selari dengan hasrat UMPSA sebagai universiti teknikal yang prihatin serta inklusif.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 111 views