2 pensyarah UMPSA wakili Malaysia ke Program TVET 4.0 di Singapura
PEKAN, 31 Mac 2026 – Dua pensyarah kanan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengharumkan nama negara apabila terpilih mewakili Malaysia ke Program Latihan Bersama Singapura–Colombo Plan Staff College (CPSC) bertajuk ‘TVET 4.0: Teknologi Digital untuk Integrasi Industri’ yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.
Mereka ialah Pengarah Flexible Learning and Micro-Credential (FLEXMC), Profesor Madya Ts. Dr. Awanis Romli dan Ketua Open and Distance Learning (ODL), Graduate Engineering & Technological Business School (GET-BS), Fakulti Pengurusan Industri, Profesor Madya Ts. Dr. Lee Chia Kuang.
Pemilihan kedua-dua pensyarah itu di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran serta sumbangan mereka dalam bidang pendidikan tinggi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Program berprestij hasil kerjasama Kerajaan Singapura dan Colombo Plan Staff College bersama Temasek Polytechnic itu menghimpunkan peserta dari 16 buah negara rantau Asia-Pasifik.
Ia memberi fokus kepada pemerkasaan kepimpinan dalam transformasi digital TVET melalui pendedahan kepada teknologi Revolusi Industri 4.0, termasuk kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), analitik data serta automasi.

Sepanjang program, para peserta didedahkan dengan sesi kuliah, perbincangan interaktif dan lawatan ke fasiliti pintar termaju di Singapura.
Antara aspek utama yang diberi penekanan ialah pedagogi digital, pembangunan kampus pintar, integrasi industri serta kerangka kemahiran masa hadapan.
Selain itu, program berkenaan turut menekankan elemen konvergensi hijau-digital, teknousahawanan serta pengukuhan kerjasama antara industri dan akademia.
Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, penyertaan itu membuktikan keupayaan universiti dalam melahirkan tenaga akademik yang bukan sahaja cemerlang di peringkat nasional, malah diiktiraf di pentas antarabangsa.
“Penglibatan dalam program seperti ini membuka ruang perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam bidang TVET, khususnya dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.
“Ia juga sejajar dengan aspirasi UMPSA untuk memperkasa pendidikan fleksibel, memperluas pelaksanaan kampus pintar serta memastikan graduan yang dilahirkan kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Penyertaan ini selari dengan komitmen UMPSA dalam memperkasa inovasi pendidikan dan melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global.
Malah, pengalaman yang diperoleh dijangka mampu memperkukuh pelaksanaan pembelajaran fleksibel, meningkatkan keupayaan kampus pintar serta memacu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih inovatif dan berimpak tinggi di universiti berkenaan.
Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat
- 8 views
Reports by: