Skip to main content

 3 staf UMPSA perkasa kompetensi digital menerusi pensijilan Sangfor VDI

PUTRAJAYA, 3 September 2026 – Seramai tiga orang staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya menamatkan Sangfor Certification Programme yang memberi tumpuan kepada teknologi Virtual Desktop Infrastructure (VDI), sekali gus memperkukuh kompetensi warga universiti dalam bidang teknologi dan pengurusan infrastruktur digital.

Program yang berlangsung selama tiga hari, dari 1 hingga 3 September 2026 itu diadakan di Business Centre, T2-L8-3A, Level 8, IOI City Tower 2, Lebuh IRC, IOI Resort City, Putrajaya.

Program berkenaan disertai Penolong Pegawai Teknlogi Maklumat, Pusat Teknologi Digital, Mat Adam Ismail, Pensyarah Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Dr. Azwin Arif Abdul Rahim dan Guru Bahasa Kanan PBM, Mohammad Baihaqi Hasni. 

Sepanjang program, para peserta diberikan pendedahan berkaitan teknologi Sangfor VDI yang merangkumi pengenalan kepada VDI, gambaran keseluruhan penyelesaian, seni bina VDI, komponen sistem, reka bentuk penyelesaian, model pelaksanaan dan aspek pelesenan.

Latihan turut merangkumi sesi praktikal hands-on lab yang memberi peluang kepada peserta mempelajari penyediaan dan konfigurasi asas VDI, image delivery, kawalan akses serta pengoptimuman sistem. 

Program kemudiannya diakhiri dengan peperiksaan pensijilan Sangfor VDI.

 3 staf UMPSA perkasa kompetensi digital menerusi pensijilan Sangfor VDI

Hasil penyertaan dalam program tersebut, kesemua peserta berjaya memenuhi keperluan pensijilan dan menerima pengiktirafan Sangfor Certified Operations Associate – VDI (SCOA). 

Pensijilan berkenaan merupakan pengiktirafan profesional dalam bidang operasi teknologi VDI dan sah sehingga bulan September 2027.

Penyertaan warga UMPSA daripada Pusat Teknologi Digital dan Pusat Bahasa Moden dalam program ini mencerminkan usaha universiti dalam memperluas kompetensi digital dalam kalangan warga kerja. 

Pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan bagi menyokong penggunaan teknologi virtualisasi, meningkatkan kefahaman terhadap operasi persekitaran VDI serta memperkukuh keupayaan dalaman universiti dalam menghadapi keperluan transformasi digital.

Bagi Pusat Teknologi Digital, penyertaan Mat Adam dapat menyumbang kepada pengukuhan kepakaran teknikal berkaitan infrastruktur dan operasi VDI. 

Sementara itu, penyertaan Dr. Azwin Arif dan Mohammad Baihaqi pula memperlihatkan bahawa penguasaan kompetensi digital turut penting dalam menyokong kelancaran operasi dan persekitaran kerja berasaskan teknologi di pusat tanggungjawab akademik.

Program seperti ini turut membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan pemindahan pengetahuan dalam kalangan warga UMPSA, khususnya berkaitan pengurusan teknologi, konfigurasi sistem dan amalan operasi VDI. 

Kepakaran yang diperoleh boleh dimanfaatkan untuk menyokong keperluan universiti dalam menyediakan persekitaran digital yang lebih cekap dan tersusun.

Kejayaan warga UMPSA memperoleh pensijilan profesional ini diharapkan dapat terus menyokong agenda pembangunan kompetensi digital universiti serta memperkukuh kesiapsiagaan warga kerja dalam mendepani perkembangan teknologi dan keperluan pendigitalan pendidikan tinggi.

Disediakan Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni dan Dr. Azwin Arif, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri