34 pensyarah UMPSA tamat Latihan dan Pensijilan Profesional TRIZ
GAMBANG, 28 November 2025 – Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh budaya inovasi dan pemikiran kreatif dalam kalangan warga akademik apabila berjaya melaksanakan siri latihan dan pensijilan profesional TRIZ yang menghimpunkan seramai 34 pensyarah dari pelbagai jabatan.
Program intensif selama empat hari itu berlangsung di Dewan Tun Fatimah, UMPSA Kampus Gambang dan menjadi langkah penting dalam menyokong agenda universiti ke arah memupuk keupayaan penyelesaian masalah secara sistematik dan berimpak tinggi.
Latihan itu merupakan pelaksanaan lanjutan daripada perancangan pembangunan kompetensi fakulti yang digariskan dalam kertas kerja FPI bagi tahun 2025 yang memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran berasaskan metodologi inovasi.
Pendekatan TRIZ atau Theory of Inventive Problem Solving telah dikenal pasti sebagai salah satu komponen utama yang mampu memperkasa pensyarah dalam mengoptimumkan proses pengajaran, penyelidikan dan pembangunan penyelesaian inovatif.
Dekan FPI, Dr. Mohd Hanafiah Ahmad menzahirkan penghargaan atas komitmen kesemua pensyarah yang terlibat dan menyifatkan pelaksanaan siri latihan ini sebagai pencapaian yang signifikan bagi fakulti.
“Penyertaan seramai 34 pensyarah dalam latihan TRIZ merupakan momentum penting dalam usaha membina ekosistem inovasi yang lebih mapan, seiring dengan misi UMPSA untuk membudayakan pemikiran kreatif dalam kalangan warga akademik.
“TRIZ bukan sekadar alat penyelesaian masalah, tetapi suatu kerangka pemikiran yang dapat memperkukuh keupayaan fakulti dalam beradaptasi dengan cabaran semasa dan menghasilkan penyelesaian yang lebih berimpak.
“Barisan pensyarah yang telah memperoleh pensijilan ini mampu menjadi pemangkin kepada inisiatif latihan dalaman fakulti, selain memainkan peranan penting dalam memperluas penggunaan TRIZ dalam tugasan akademik serta projek penyelidikan,” ujarnya.
Tambahnya, usaha ini bukan sahaja meningkatkan daya saing fakulti, malah menyumbang kepada aspirasi UMPSA untuk terus menjadi hab inovasi dan rujukan dalam bidang penyelesaian masalah kreatif di peringkat nasional.
“Pendekatan TRIZ mempunyai nilai strategik dalam meningkatkan kompetensi akademik dan profesional warga fakulti.
“Dalam dokumen pembangunan rasmi fakulti, TRIZ telah dilihat sebagai kaedah penting yang menyokong penyelidikan inovatif, penambahbaikan proses kerja, serta pengukuhan kaedah penyampaian pengajaran yang lebih kreatif dan berkesan.
“Penerapan TRIZ secara konsisten dijangka mampu mempercepatkan penghasilan idea baharu, menyelesaikan isu pengajaran dan pembelajaran dengan lebih sistematik serta meningkatkan impak penyelidikan fakulti,” katanya.
Daripada keseluruhan peserta, seramai 13 pensyarah telah berjaya menamatkan Kursus TRIZ Level 1 for Instructor yang berlangsung pada 24 dan 25 November 2025 yang telah dikendalikan oleh pakar TRIZ negara, Dr. TS Yeoh merangkap mantan Presiden Malaysia TRIZ Innovation Association (MyTRIZ) yang kini berkhidmat sebagai Penasihat MyTRIZ.
Keupayaan beliau diiktiraf di peringkat nasional apabila menjadi satu-satunya pemegang TRIZ Practitioner Level 4 dan TRIZ Instructor Level 3 di Malaysia.
Sesi latihan yang disampaikan memberi fokus kepada peningkatan kemahiran pensyarah sebagai fasilitator dan jurulatih TRIZ bertauliah, sekali gus menambah kapasiti fakulti untuk menjalankan latihan dalaman dan menyokong ekosistem inovasi universiti.
Sementara itu, latihan TRIZ Level 1 for Practitioner yang dijalankan pada 26 dan 27 November 2025 pula disertai oleh 21 pensyarah dan dipimpin oleh Mejar Dr. Haji Imaduddin Abidin, TRIZ Practitioner Level 3 dan TRIZ Instructor Level 2 yang diiktiraf oleh MyTRIZ serta International TRIZ Association (MATRIZ).
Dengan pengalaman luas dalam melatih kumpulan akademik dan industri, beliau membimbing para peserta menguasai pelbagai alat asas TRIZ yang merangkumi analisis fungsi, matriks percanggahan dan pemetaan konflik.
Kesemua alat ini merupakan teras pendekatan TRIZ bagi membantu pengguna mengenal pasti akar punca masalah dan menghasilkan penyelesaian inovatif secara berstruktur.
Dengan tamatnya siri latihan dan pensijilan ini, FPI kini berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk meneruskan agenda pembangunan inovasi dan penghasilan penyelesaian berasaskan TRIZ, seterusnya memperkasakan keupayaan akademik universiti dalam memimpin perubahan dan menghasilkan impak yang lebih meluas.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 48 views