45 graduan perintis program Ijazah Dual UMPSA-BJTU satu pencapaian bagi industri rel negara
GAMBANG, 8 November 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencapai kejayaan baharu apabila 45 graduan yang mengikuti program perintis kerjasama UMPSA-Beijing Jiaotong University (BJTU) berjaya menamatkan pengajian mereka dalam bidang Kejuruteraan Rel.
Program ijazah dual ini menjadikan UMPSA universiti pertama di Malaysia yang menawarkan pengajian dua tahun di UMPSA dan dua tahun setengah di BJTU, sekali gus melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi bagi menyokong pembangunan industri rel negara dan antarabangsa.
Daripada 45 graduan tersebut, seramai 20 merupakan graduan dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, 15 orang lagi adalah graduan bidang Kejuruteraan Awam dan sepuluh orang lagi adalah graduan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
Pada kali ini, graduan menerima ijazah yang disampaikan Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (DR) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dan Ding Bo mewakili BJTU.
Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dan Ketua Penolong Pengarah JPA, Mohd Khidzairy Zainal Abidin.
Menurut Profesor Dr. Yatimah, kejayaan program kerjasama UMPSA-BJTU ini adalah satu pencapaian tinggi bagi industri rel di Malaysia.
“Kini, Malaysia mampu menyediakan tenaga kerja tempatan yang berkelayakan dan berkemahiran tinggi serta mampu menyokong pembangunan sektor rel di Malaysia dan antarabangsa.
“UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam (UA) yang telah melaksanakan sebelas program ijazah dual sejak tahun 2010 dengan kerjasama rakan strategik, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA), Jerman yang masuk tahun ke-15 tahun pada tahun ini.
Sehingga kini, program ijazah dual diperluas dengan universiti ternama lain iaitu Technische Hochschule Mannheim (THM) Jerman, Beijing Jiaotong University (BJTU) dan Tianjian University, China, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan dan terkini dengan Hanyang University Erica Campus, Korea Selatan,” ujarnya.
Bagi Lim Zheng Sheng, yang juga penerima Anugerah Prihatin Komuniti PUSPANITA berbangga apabila berpeluang meraikan majlis bergraduasi di BJTU dan UMPSA. Beliau kini sedang bekerja di Beijing di Starflow Control Limited (SFCL) di China.
Beliau dan rakan -rakan sebelum ini telah menerima ijazah masing-masing daripada Secretary of the CPC Beijing Jiaotong University (BJTU), Chen Ziji di BJTU China pada 9 Januari lalu.
Menurutnya, program Ijazah Dual UMPSA-BJTU ini telah membuka peluang kepada dirinya untuk mencapai kejayaan yang tinggi dalam bidang akademik serta aktif dalam aktiviti semua aktiviti yang disertai.
“Saya berhasrat untuk menjadi jurutera profesional yang menyumbang kepada pembangunan teknologi hijau dan tenaga bersih, serta memperkukuh kerjasama industri dan akademik antara Malaysia dan China,” ujarnya.
Lim Zheng Sheng juga pernah dilantik sebagai wakil pelajar Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.
Sementara itu, bagi graduan Mohd Shawal Ian Fitri Azuan, 26, menyatakan bahawa beliau sangat teruja dan bangga apabila terpilih sebagai pelajar perintis program ini.
“Pada masa itu, saya tahu peluang seperti ini bukan datang selalu, belajar di dua buah negara dengan dua sistem pendidikan yang berbeza memang pengalaman yang luar biasa.
“Ia buat saya rasa lebih terbuka dan bersemangat untuk cabaran yang akan datang.
“Cabaran paling besar bagi saya ialah ketika berusaha untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan dan budaya di China,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, bahasa, cuaca, dan cara pembelajaran semua berbeza.
“Tetapi dari situ juga saya banyak belajar tentang berdikari, beradaptasi, dan keluar daripada zon selesa.
“Pengalaman itu banyak membentuk diri saya sekarang, bukan saja dari segi akademik tapi juga cara saya berfikir dan bekerja,” ujarnya lagi.
Beliau yang telah bekerja sebagai Jurutera Perunding Jambatan di Di T.Y. Lin International Sdn. Bhd. juga menambah, teori yang kukuh dari Malaysia dan pendedahan teknikal serta praktikal dari China, telah membantu dirinya memahami standard reka bentuk teknikal antarabangsa dan cara berkomunikasi antara pasukan dari latar belakang yang berbeza,
“Ini amat penting dalam bidang perundingan,” katanya.
Manakala seorang lagi graduan Syahidatul Najiihah A Rahim, 26 juga berasa amat berbesar hati dan bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang pelajar perintis bagi Program Ijazah Dual antara UMPSA-BJTU.
“Pemilihan ini merupakan satu penghargaan besar dan peluang yang amat berharga untuk menimba ilmu dalam dua sistem pendidikan yang berbeza.
“Saya turut berasa teruja kerana dapat menjadi sebahagian daripada program perintis yang membuka laluan kepada kerjasama akademik antarabangsa walaupun perlu menempuhi temu duga pada awalnya.
“Saya juga rasa bangga apabila para graduan program ini dikehendaki belajar dan menduduki peperiksaan bahasa Mandarin khusus untuk pelajar antarabangsa,” katanya.
Mereka juga dikehendaki lulus tahap 4 bagi peperiksaan bahasa Mandarin sebagai sebahagian daripada keperluan program.
Jelas Syahidatul lagi, melalui inisiatif ini juga beliau berpeluang mempelajari asas komunikasi dalam bahasa Mandarin dan menggunakannya dalam kehidupan seharian, sekali gus membantu saya menyesuaikan diri dengan lebih baik dalam persekitaran baharu.
“Selain itu, untuk memperkukuhkan lagi kerjaya yang saya dapat kini adalah disebabkan kemahiran bahasa Mandarin yakni kerana kebanyakan syarikat memerlukan bahasa ini sebagai satu kelebihan kepada individu tersebut,” katanya.
Syahidatul juga mencadangkan agar pihak universiti terus memperkukuh aspek sokongan akademik dan kebajikan pelajar, terutamanya bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di luar negara supaya proses penyesuaian dapat berjalan dengan lebih lancar dan berkesan.
“Ini kerana Program Ijazah Dual UMPSA–BJTU memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan kerjaya diri dan industri rel negara,” tambahnya yang kini berkerja sebagai Jurutera
Projek di China Railway Construction Corporation (CRCC), Kuala Lumpur.
Majlis Konvokesyem UMPSA Kali ke-20 menyaksikan seramai 4,259 graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diraikan dalam Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang berlangsung mulai 8 hingga 10 November ini di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Daripada jumlah ini, seramai 243 graduan pascasiswazah termasuk 94 doktor falsafah (PhD) dan 149 sarjana, 2,900 graduan prasiswazah meliputi 2,096 sarjana muda, 97 ijazah dual, enam sarjana muda separuh masa, 701 diploma serta 1,116 graduan program pembelajaran sepanjang hayat UMPSA Advanced bakal diraikan.
Disediakan Oleh: Ratna Wilis Haryati Mustapa, Perpustakaan UMPSA
- 81 views