Skip to main content

Akademik dan Antarabangsa Program SULAM UMPSA fokus kesejahteraan pelajar di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang (KMKPh)

JENGKA, 14 Disember 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan projek Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM), menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan. 

Program yang diadakan di Kolej Matrikulasi Kejuteraan Pahang (KMKPh), Jengka itu  bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kemahiran pelajar dalam menangani cabaran emosi serta memperkukuh kesejahteraan diri. 

Ia melibatkan seramai 35 orang pelajar UMPSA yang mengikuti kursus Introduction to Human Behavior (UHE3032) dan 212 pelajar KMKPh.

Melalui pendekatan High-Impact Educational Practices (HIEPs) seperti yang digariskan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi), SULAM menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti. 

Pendekatan ini memberi peluang kepada pelajar kursus ini untuk berinteraksi dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di bilik kuliah. 

Antara objektif kursus UHE3032 adalah menerapkan aplikasi sains tingkah laku dan psikologi dalam pelbagai aktiviti harian manusia. 

Objektif ini direalisasikan melalui peranan pelajar sebagai fasilitator kepada pelajar (KMKPh).
 
 

Program SULAM UMPSA

  
Terdapat banyak dapatan kajian empirikal terdahulu yang dilakukan oleh ahli psikologi menunjukkan bahawa elemen motivasi dan personaliti berdasarkan minat kerjaya pelajar antara elemen yang mempengaruhi kecerdasan emosi. 

Justeru, elemen motivasi dan minat kerjaya diterapkan dalam program ini melalui aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK).

Melalui aktiviti LDK ini juga, para pelajar dapat didedahkan dengan pentingnya menjaga kesihatan mental yang baik agar pembangunan holistik pelajar dapat ditingkatkan. 
 
Projek ini juga merupakan hasil kolaborasi antara Geran Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Komuniti (CDU) yang diketuai oleh pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Dr. Siti Noor Hidayah Mustapha dan penyelaras kursus Introduction to Human Behavior (UHE3032), Pusat Sains Kemanusiaan (PSK). Dr. Noradilah Md Nordin.

Menurut Dr. Noradilah, kolaborasi ini juga turut memperkukuh penyampaian impak projek kepada komuniti melalui pendekatan empirikal dan strategik.
 

Program SULAM UMPSA

  
“Projek ini membuka peluang untuk pelajar matrikulasi mengenali potensi diri mereka di samping membangunkan keupayaan dalam mengurus emosi dengan lebih berkesan,” ujarnya. 

Disediakan Oleh: Dr. Noradilah Md Nordin, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri