Skip to main content

Bengkel Kecemerlangan Bahasa Korea di Kolej Tunku Kurshiah semai cinta kepada Hangul

BANDAR ENSTEK, 24 Oktober 2025 – Suasana di Bilik Bahasa Korea, Kolej Tunku Kurshiah (TKC) dipenuhi dengan semangat dan keceriaan apabila Bengkel Kecemerlangan Bahasa Korea ‘Cinta Kepada Hangul’ telah berlangsung dengan jayanya. 

Bengkel itu disertai seramai 30 orang pelajar TKC yang berminat untuk mendalami bahasa dan budaya Korea.

Program ini turut menampilkan penceramah jemputan dari Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Mahzaton Aqma Abu Talip, seorang guru bahasa Korea yang mempunyai pengalaman dalam pengajaran dan pendekatan interaktif pembelajaran bahasa asing.

Antara aktiviti-aktiviti menarik yang dijalankan ialah siri permainan berkonsepkan ‘Variety Show’ popular Korea, termasuk I Am Ground 자기소개하기, Sense Game 눈치 게임, dan 3-6-9 Game 삼육구 게임. 

Bengkel Kecemerlangan Bahasa Korea di Kolej Tunku Kurshiah semai cinta kepada Hangul

Permainan ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah bertujuan melatih pelajar memperkenalkan diri dalam bahasa Korea dengan yakin, menguji kepekaan sosial serta kebolehan membaca situasi (눈치), dan menggalakkan fokus serta kerjasama dalam kumpulan. 

Nilai moral yang diterapkan melalui permainan ini termasuk keyakinan diri, semangat berpasukan, tumpuan, dan komunikasi positif, iaitu elemen penting dalam pembelajaran bahasa secara holistik.

Selain itu, para peserta turut berpeluang mempelajari kaligrafi Korea (서예), di mana mereka menulis aksara Hangul menggunakan pen kaligrafi khas. 

Aktiviti ini memperkenalkan pelajar kepada keindahan seni tulisan Korea, sambil menanamkan kesabaran, ketelitian dan rasa menghargai kehalusan seni budaya Korea.

Aktiviti origami Hanbok (한복) pula memberikan pengalaman unik kepada pelajar untuk mengenali pakaian tradisional Korea secara kreatif. 

Melalui lipatan kertas berbentuk Hanbok, pelajar bukan sahaja dapat memahami simbolik dan estetika budaya Korea, tetapi juga belajar tentang nilai menghormati warisan dan tradisi masyarakat lain.

Sebagai kemuncak bengkel, pelajar turut menyertai aktiviti nyanyian dan tarian lagu K-Pop, yang disambut dengan penuh keterujaan. 

Melalui aktiviti ini, pelajar didedahkan kepada unsur moden budaya Korea, sambil mempraktikkan sebutan dan intonasi bahasa Korea dengan cara yang menyeronokkan.

Menurut Guru Bahasa Korea, KTC, Azmafatihah Abdul Aziz, bengkel ini telah memberikan impak positif kepada pelajar.

“Melalui pendekatan interaktif seperti ini, pelajar bukan sahaja belajar bahasa Korea dari segi teori, tetapi juga menghayati budaya dan nilai masyarakatnya. 

“Saya melihat mereka lebih berani bertutur, lebih terbuka untuk belajar, dan semakin menghargai kepelbagaian budaya global,” ujar beliau.

Program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform bagi pelajar untuk mendalami bahasa asing, membina keyakinan diri dan memperkukuh pemahaman silang budaya dalam suasana yang menyeronokkan dan bermakna.
 

Bengkel Kecemerlangan Bahasa Korea di Kolej Tunku Kurshiah semai cinta kepada Hangul

Disediakan Oleh: Mahzaton Aqma Abu Talip, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim