KUANTAN: Prof Dr Kamal Yusoh dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang baharu, berkuat kuasa 20 Mei lalu.
Sebelum ini, beliau adalah Penolong Naib Canselor (Strategi Korporat) yang bertanggungjawab dalam pembangunan Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 bagi merealisasikan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan.
Selain berpengalaman luas dalam pengurusan pembangunan program akademik, akreditasi, jaminan kualiti pengajaran dan pembelajaran, beliau juga terbabit dalam tadbir urus akademik dan pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pengurusan latihan staf dan pembangunan bakat serta pelaksanaan strategi dalam memperluas jaringan dan pengantarabangsaan UMPSA.
Kamal, anak kelahiran Terengganu mula berkhidmat di UMPSA sejak 2 Mei 2003 yang ketika itu dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM).
Dengan mempunyai pengalaman lebih 23 tahun di UMPSA dan dua tahun di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam memberi kelebihan buatnya menerajui bidang akademik, pembangunan TVET serta pengurusan strategik pendidikan tinggi.
Sepanjang perkhidmatan di UMPSA, Kamal memegang pelbagai jawatan strategik dan pentadbiran universiti, antaranya Penolong Naib Canselor (Strategi Korporat), Penolong Naib Canselor (Pembangunan Akademik), Pengarah Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik dan Ketua Kluster Penyelidikan Advanced Materials.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman atas pelantikan itu.
Katanya, dengan pelantikan itu mampu memperkukuh lagi kecemerlangan akademik dan agenda pengantarabangsaan, transformasi TVET Termaju serta Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 selaras Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
"Selain itu, memperkukuh agenda akademik dan pengantarabangsaan universiti serta memainkan peranan penting dalam pembangunan agenda pendidikan tinggi negara khususnya berkaitan TVET Termaju," katanya.