Skip to main content

Bicara Inspirasi UMPSA: Been There, Done That dedah rahsia kecemerlangan akademik Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Ashraf Fauri@Fauzi

PAYA BESAR, 9 Oktober 2026 – Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan siri perkongsian ilmiah berimpak tinggi, Bicara Inspirasi: Been There, Done That bertemakan ‘Di Sebalik Kejayaan Top 2% Saintis Dunia’ bersempena dengan Minggu Penyelidikan i-LIB (i-LIB Research Week) yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan UMPSA, Kampus Paya Besar.

Program yang menampilkan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) Fakulti Pengurusan Industri (FPI) UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Ashraf Fauri@Fauzi itu mengetengahkan pengalaman beliau dalam bidang penyelidikan, termasuk strategi dan amalan yang menyumbang kepada kejayaan tersenarai dalam kelompok Top 2% Saintis Dunia.

Dalam sesi perkongsian tersebut, beliau mengupas kepentingan mengimbangi tujuh teras utama tanggungjawab akademik yang dikenali sebagai Model 7P, iaitu pengajaran, penyelidikan, penyeliaan, penerbitan, pentadbiran, perundingan serta khidmat masyarakat dan outreach.

Model ini memberikan gambaran menyeluruh tentang tanggungjawab ahli akademik yang bukan sahaja tertumpu kepada kecemerlangan penyelidikan dan penerbitan ilmiah, malah turut merangkumi pembangunan pelajar, pengurusan institusi, pembinaan jaringan kerjasama serta perkongsian ilmu dengan masyarakat.

Beliau turut memperkenalkan konsep Triple Crown yang menghubungkan tiga tiang utama akademik secara berterusan, iaitu penyelidikan yang melibatkan penjanaan idea dan penulisan geran penyelidikan, penyeliaan melalui bimbingan rapi serta dorongan kemajuan pelajar pascasiswazah serta penerbitan menerusi penghasilan jurnal berkualiti dan perkongsian hasil penyelidikan.

Dari segi pencapaian penyelidikan, Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Ashraf telah menghasilkan lebih daripada 200 penerbitan ilmiah dengan jumlah sitasi melalui Google Scholar sekitar 6000 hingga 7000 rekod, 3,905 sitasi dalam Scopus dan 2,535 sitasi dalam Web of Science (WoS) selain mencatatkan H-indeks sebanyak 35 melalui Scopus dan 27 melalui WoS.

Bicara Inspirasi UMPSA - Been There, Done That dedah rahsia kecemerlangan akademik Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Ashraf Fauri@Fauzi-dlm

Antara fokus utama perkongsian ialah strategi untuk meningkatkan impak penyelidikan dan mencapai pengiktirafan dalam kelompok Top 2% Saintis Dunia iaitu kepentingan menghasilkan penerbitan berkualiti tinggi yang relevan dan berimpak, khususnya artikel ulasan (review paper) yang berpotensi menarik lebih banyak sitasi.

Ujarnya, selain itu, penyelidik disarankan untuk mengukuhkan peranan sebagai pengarang tunggal (single author), pengarang pertama (first author) atau pengarang terakhir (last author), di samping memastikan penglibatan pengarang bersama (co-authors) adalah bersesuaian dengan sumbangan sebenar dalam penyelidikan. 

Beliau turut menjelaskan kepentingan sitasi daripada penyelidik lain kerana sitasi kendiri (self-citations) tidak diambil kira dalam kaedah penilaian tertentu bagi pengiktirafan tersebut.

Katanya, usaha meningkatkan impak penyelidikan ini bukan sahaja dapat memperkukuh profil akademik seseorang penyelidik, malah berpotensi meningkatkan keterlihatan UMPSA di peringkat antarabangsa serta membuka lebih banyak peluang kerjasama penyelidikan global.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pustakawan (Seksyen Sistem dan Repositori), Perpustakaan UMPSA, Amelia Hasan berkata, penganjuran program ini diharap dapat memberi manfaat kepada para penyelidik dan pelajar pascasiswazah melalui perkongsian pengalaman serta strategi penyelidikan daripada tokoh yang telah mencapai kejayaan dalam bidang tersebut.

“Perkongsian seperti ini bukan sahaja dapat memberi inspirasi, malah membantu para penyelidik dan pelajar pascasiswazah dalam menghasilkan penyelidikan dan penerbitan ilmiah yang lebih berkualiti serta berimpak tinggi,” katanya.

Program ini turut menerima maklum balas positif daripada peserta yang melihat perkongsian tersebut sebagai sumber inspirasi dan panduan dalam memperkukuh kecemerlangan akademik serta penyelidikan.

Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Profesor Ts. Dr. Khairunisa Muthusamy berkata, program tersebut sangat bermanfaat kepada pensyarah dan pelajar pascasiswazah, khususnya dalam memahami strategi untuk mencapai pengiktirafan sebagai saintis dalam kelompok Top 2% Saintis Dunia.

“Program ini sangat bermanfaat kepada pensyarah-pensyarah dan pelajar pascasiswazah, terutama tip yang diberikan bagaimana untuk mendapat Top 2% Saintis Dunia yang mana mereka perlu bermula daripada awal kerjaya dan program ini sangat membantu walaupun masa hanya satu jam tetapi maklumat yang diberikan sangat padat,” katanya.

Sementara itu, pelajar Fakulti Pengurusan Industri, Muhammad Amirul Aswad Harun berkata, program tersebut memberikan peluang kepadanya untuk memperoleh maklumat baharu serta memahami kaedah pensyarah melaksanakan tugas dan menjalankan penyelidikan serta turut menjadi inspirasi dan motivasi kepadanya untuk mendalami bidang penyelidikan pada masa hadapan.

Penganjuran program ini diharap dapat menyemarakkan budaya penyelidikan dan penerbitan berkualiti dalam kalangan warga akademik serta pelajar UMPSA sekaligus melahirkan lebih ramai penyelidik berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada kecemerlangan universiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

Bicara Inspirasi UMPSA - Been There, Done That dedah rahsia kecemerlangan akademik Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Ashraf Fauri@Fauzi-dlm

Oleh: Noor Fateeha Mohamad, Perpustakaan UMPSA
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim