Chan Shi Qi pelajar cemerlang STPM 2025 terima tajaan yuran pengajian UMPSA
PUTRAJAYA, 7 September 2026 - Pelajar cemerlang lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025, Chan Shi Qi, menerima tajaan penuh yuran pengajian bagi melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Analitik Data dengan Kepujian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Beliau merupakan antara 27 pelajar cemerlang STPM 2025 dari seluruh negara yang terpilih menerima tajaan yuran pengajian menerusi inisiatif penajaan pendidikan yang dilaksanakan secara serentak oleh universiti awam (UA) di seluruh negara.
Penyerahan surat tajaan disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam satu sesi penyerahan surat tajaan yuran pengajian yang berlangsung di Dewan Za’aba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.

Inisiatif ini merupakan hasil keputusan Jawatankuasa Naib-naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNC/R UA) serta kelulusan Mesyuarat Khas Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) sebagai satu bentuk penghargaan terhadap kecemerlangan akademik pelajar STPM 2025.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Pengarah Pusat Senat UMPSA, Nor Ashikin Sulaiman.
Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal, inisiatif penajaan ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam menghargai kecemerlangan akademik pelajar serta menyediakan peluang kepada bakat muda berpotensi untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang relevan dengan keperluan masa hadapan.
“UMPSA amat berbesar hati dapat memberikan sokongan kepada pelajar cemerlang seperti Chan Shi Qi.
“Tajaan ini bukan sahaja merupakan satu bentuk penghargaan terhadap pencapaian akademiknya, malah diharap menjadi pemangkin untuk beliau terus mencapai kecemerlangan dalam pengajian serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.
Ujar beliau, inisiatif penajaan ini dilaksanakan melalui Tabung Endowmen Tuanku Canselor UMPSA dan dikhususkan kepada pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang-bidang strategik yang menyokong keperluan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) serta pembangunan bakat berkemahiran tinggi negara.

“Malahan di bawah tajaan ini, penerima akan menerima pembiayaan penuh yuran pengajian bagi setiap semester sepanjang tempoh pengajian, tertakluk kepada syarat dan ketetapan yang ditetapkan.
“Justeru, pemilihan Chan Shi Qi sebagai penerima tajaan dibuat berdasarkan kecemerlangan akademik serta kriteria yang telah ditetapkan di bawah inisiatif penajaan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, bagi Chan Shi Qi, peluang menerima tajaan yuran pengajian tersebut merupakan satu penghargaan yang amat bermakna dan menjadi suntikan semangat untuk beliau meneruskan pengajian dengan penuh dedikasi.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas tajaan yang diberikan.
“Tajaan ini amat bermakna kepada saya dan keluarga serta menjadi penyuntik semangat saya untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pengajian nanti,” katanya yang ditemani ibunya, Liong Nyok King dan kakaknya, Chan Sze Zest.
Pelaksanaan inisiatif ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti, di samping memastikan pelajar cemerlang daripada seluruh negara mendapat peluang untuk mengembangkan potensi diri dalam bidang pengajian yang strategik dan berimpak tinggi.
Disediakan Oleh: Nor Ashikin Sulaiman, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA)
- 23 views
Reports by: