Skip to main content

“¡Hola! SK Fakeh” UMPSA cungkil minat murid kuasai bahasa Sepanyol

KUANTAN, 10 Mei 2026 – Kelab Bahasa Sepanyol Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) buat pertama kali telah menganjurkan program khidmat komuniti yang mengangkat tema 'íHola! SK Fakeh' baru-baru ni di Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad. 

Program sehari itu tampil dengan pendekatan unik apabila memperkenalkan keindahan bahasa Sepanyol kepada murid-murid menerusi kaedah pembelajaran interaktif dan menyeronokkan.

Objektif utama program ini ialah untuk memupuk minat murid terhadap bahasa asing di luar suasana pembelajaran formal. 

Program ini melibatkan 15 fasilitator mahasiswa yang diketuai oleh Najihah Shokri selaku Pengarah. 

Fasilitator-fasilitator ini mengendali 60 orang murid Tahun 5 dan 6 melalui sistem penggiliran lima stesen modul pembelajaran. 

Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti Charades, Simon Says, I Spy, Stand Up!, dan Teka Bunyi Haiwan yang menjadi tarikan utama program ini.  

Di akhir program, murid-murid berjaya menguasai kosa kata asas seperti gato (kucing), cabeza (kepala), manzana (epal) dan lain-lain. 

Keberkesanan kaedah pembelajaran berkonsepkan pergerakan dan permainan ini berkesan dalam menarik minat murid untuk mempelajari bahasa ketiga dalam suasana yang lebih menyeronokkan dan mudah difahami.

Menurut Penasihat Kelab Bahasa Sepanyol UMPSA, Azlina Mohd Arifin, program ini bukan sahaja memperkenalkan bahasa Sepanyol kepada murid sekolah, tetapi juga menggalakkan mahasiswa untuk menyumbang kepada komuniti melalui aktiviti kesukarelawanan.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran Kokurikulum, SK Fakeh Abdul Samad, Faridah Abdullah pula menyifatkan program ini menjadi platform yang baik untuk memperkenalkan bahasa asing kepada murid-murid. 

“Program ini membuktikan bahawa bahasa asing boleh dipelajari dengan cara yang menyeronokkan, sekali gus melahirkan murid yang berfikiran terbuka,” ujarnya.

Pihak sekolah turut menzahirkan penghargaan atas program khidmat komuniti ini yang memberikan pengalaman baharu kepada murid mereka. 

Program diserikan dengan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang dan pertukaran cenderahati yang disempurnakan oleh Penasihat Kelab, Azlina Mohd Arifin dengan diiringi oleh Pembantu Penasihat, Hamizah Zahari. 

Sijil penyertaan turut diserahkan kepada murid-murid sebagai tanda penghargaan atas penglibatan mereka.

Program ini adalah selaras dengan aspirasi UMPSA untuk memperkasakan Agenda Kesukarelawanan dan melahirkan graduan berdaya saing yang prihatin terhadap keperluan pendidikan masyarakat setempat.

Disediakan Oleh: Azlina Mohd Ariffin dan Hamizah Zahari, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri