Skip to main content

JAY 2.0 himpunkan belia Jepun-ASEAN dan UMPSA@FK perkukuh jaringan antarabangsa

TEMERLOH, 14 Jun 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan melalui penglibatan aktif dalam Japan–ASEAN Youth Program (JAY) 2.0 2026 yang menghimpunkan belia dari Jepun, negara-negara ASEAN dan institusi pengajian tinggi tempatan.

Program yang berlangsung selama empat hari tiga malam di Kampungstay Desa Murni, Temerloh, Taman Negara dan Kuala Lumpur itu dianjurkan oleh Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia (PPHM) dengan kerjasama Persatuan Alumni Program Persahabatan ASEAN–Jepun Abad Ke-21 (PAMAJA) sempena kempen Visit Malaysia 2026.

Lebih 120 peserta telah menyertai program ini yang melibatkan delegasi dari negara Jepun, negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Cambodia, dan para pelajar dari UMPSA dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mewakili Malaysia. 

Program ini memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan belia, pertukaran budaya, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pelancongan komuniti dan pembinaan jaringan antarabangsa.

Penglibatan peserta dari pelbagai negara tersebut telah memperkayakan perkongsian pengalaman dan perspektif rentas budaya serta membuka peluang kepada kerjasama yang lebih erat antara institusi pendidikan, organisasi belia dan komuniti di rantau ASEAN dan Jepun.

Penyertaan UMPSA diketuai oleh Pensyarah Jabatan Pengkomputeran Multimedia, Fakulti Komputeran (FK), Noraniza Samat disokong oleh barisan pensyarah FK yang terdiri daripada Ts. Dr. Tuty Asmawaty Abdul Kadir, Ts. Azlina Zainuddin, Abdullah Mohd Safri, Roslina Mohd Sidek, dan Muhammad Adhwa Mohd Salemi.

Penyertaan dari UPM pula diterajui oleh Timbalan Dekan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM, Profesor Madya Dr. Haslinda Hashim bersama Ketua Program, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM, Dr. Nor Siah Jaharuddin yang turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama akademik dan antarabangsa antara institusi yang terlibat.

Menurut Noraniza, sepanjang program, mereka mengikuti pelbagai aktiviti termasuk pengalaman komuniti di Kampungstay Desa Murni dan penerokaan biodiversiti di Taman Negara.

“Selain itu, kami juga turut mengikuti sesi pembangunan kepimpinan, perbincangan berkumpulan, pembentangan projek berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pertukaran budaya dan aktiviti jaringan profesional yang memperlihatkan kepelbagaian warisan dan identiti negara-negara ASEAN serta Jepun,” ujarnya. 

JAY 2.0 himpunkan belia Jepun-ASEAN dan UMPSA@FK perkukuh jaringan antarabangsa

Dato' Haji Sahariman Haji Hamdan, Pengerusi Pertubuhan PPHM, JAY 2.0 menyifatkan program ini adalah platform strategik yang bukan sahaja memperkukuh hubungan persahabatan antara negara, malah berperanan membentuk generasi pemimpin muda yang memiliki perspektif global dan semangat kerjasama serantau.

“JAY 2.0 bukan sekadar program pertukaran budaya, tetapi merupakan platform pembangunan kepimpinan yang membuka ruang kepada kerjasama akademik, penyelidikan dan jaringan profesional antara peserta, universiti dan organisasi dari rantau ASEAN serta Jepun. 

“Program seperti ini memberi pengalaman pembelajaran yang tidak dapat diperoleh di dalam bilik kuliah dan membantu membentuk graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran global,” katanya.

Program ini telah mendapat sokongan pelbagai pihak terutamanya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Pahang yang diwakili oleh Syarifah Hidayatul Hasanah Syed Affendy serta agensi-agensi pelancongan, komuniti setempat dan rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Tambah Noraniza, penyertaan UMPSA dalam JAY 2.0 memberi peluang memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa, meningkatkan kompetensi global pelajar serta membuka potensi kolaborasi baharu dalam bidang pelancongan pintar, kecerdasan buatan, pembangunan komuniti, transformasi digital dan inovasi berteraskan kelestarian. 

“Program ini juga menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik yang mempunyai kemahiran kepimpinan, komunikasi antara budaya, pemikiran kritis dan keupayaan bekerja dalam persekitaran antarabangsa.

“Selain itu, penglibatan UMPSA dalam program ini berpotensi membuka ruang kepada pembangunan projek bersama dalam bidang Smart Tourism, Kecerdasan Buatan (AI), Community-Based Tourism, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta mobiliti pelajar dan penyelidik antara institusi pendidikan tinggi di rantau ASEAN dan Jepun.

“Susulan kejayaan penganjuran tahun ini, pihak penganjur merancang untuk memperluaskan kerjasama dengan lebih banyak institusi pendidikan tinggi dan organisasi belia di rantau ASEAN serta Jepun melalui program mobiliti pelajar, projek komuniti rentas negara, program pembangunan kepimpinan belia dan inisiatif inovasi sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” ujarnya. 

Program JAY 2.0 membuktikan bahawa kerjasama strategik di antara universiti, industri, komuniti dengan organisasi antarabangsa mampu melahirkan generasi pemimpin muda yang berdaya saing, berfikiran global dan bersedia menerajui pembangunan serantau pada masa hadapan.

JAY 2.0 himpunkan belia Jepun-ASEAN dan UMPSA@FK perkukuh jaringan antarabangsa

Oleh: Ts. Azlina Zainuddin, Fakulti Komputeran
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim